Oleh Shaufi
30 Ogos 2024, 16:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mohamad Shaufi Kambaruddin dan Farah Natasya melihat penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam hal-hal melibatkan kesusasteraan.

Sememangnya penghasilan karya haruslah daripada idea asal oleh pengkarya berkenaan.

Sastera merupakan cerminan budaya dan sejarah manusia yang menggambarkan kehidupan, emosi, dan pengalaman manusia dalam bentuk tulisan kreatif. Manusia menzahirkan dan menyampaikan emosi atau berkongsi pengalaman melalui sastera.

Dengan perkembangan pesat teknologi masa kini, kecerdasan buatan (AI) mula memainkan peranan penting dalam dunia sastera, terutamanya dalam aspek gubahan dan penciptaan karya sastera itu sendiri. AI bukan sahaja mengubah cara karya sastera dicipta, tetapi juga bagaimana sastera tersebut dianalisis dan diapresiasi.

Teknologi AI telah membuka peluang baharu dalam penciptaan sastera. Algoritma AI yang dibangunkan oleh syarikat OpenAI seperti GPT-3 dan GPT-4.0 mampu melatih ribuan, malah jutaan kata daripada pelbagai teks untuk menghasilkan karya sastera yang hampir setanding dengan hasil ciptaan manusia.

Lantaran itu, AI seolah-olah boleh menjadi rakan kolaboratif penulis dan pembaca sastera dalam penciptaan sastera seperti puisi dan cerpen.

Melalui teknologi AI, puisi yang penuh emosi dan indah dapat dihasilkan berdasarkan arahan atau tema tertentu. Sebagai contoh, penulis sastera boleh memberi arahan kepada AI untuk menulis puisi bertemakan kesedihan. AI mampu menghasilkan puisi yang menggambarkan perasaan kesedihan tersebut dan menyerahkannya kepada penulis berkenaan. Di bawah merupakan contoh puisi yang dihasilkan oleh AI berdasarkan tema “kesedihan”.

Dalam gelapnya malam yang kelam,

Hati merintih, tiada lagi tenang,

Tangisan jiwa yang tiada terhenti,

Membawa beban yang tak terperi.

 

Setiap langkah seakan berat,

Mengusung derita yang tak terlewat,

Dalam bayang-bayang mimpi yang pudar,

Rindu terpendam, cinta tersasar.

 

Di bawah langit yang tiada bintang,

Kesedihan mengalir, jiwa melayang,

Seperti ombak yang tak berhenti,

Memukul pantai sunyi tanpa simpati.

 

Setiap kenangan menjadi duri,

Menusuk kalbu yang kian sepi,

Namun dalam duka yang menghimpit,

Terbitlah harapan, walau sedikit.

Selain boleh menghasilkan puisi, AI juga boleh digunakan dalam penulisan bersifat kolaboratif (seorang penulis dan AI boleh bekerja secara bersama-sama). AI dapat membantu mempercepatkan proses kreatif dengan menyediakan draf kasar manakala penulis (manusia) dapat menambah sentuhan artistik dalam memperhalusi sastera yang diciptakan.

Kolaborasi ini membolehkan penulis bereksperimen dengan gaya dan struktur baharu yang mungkin sukar dicapai secara manual oleh seorang penulis (manusia).

Mengambil petikan Felo Kanan Google Ai, Jeff Dean dalam laman sesawang https://www.washingtonpost.com/technology ,kecerdasan buatan menjadi alat penting dalam memanfaatkan kehidupan manusia’. Jelaslah bahawa dengan wujudnya kecanggihan teknologi terkini, pengaplikasian AI dalam kehidupan manusia memberikan banyak manfaat, terutamanya dalam penghasilan karya sastera yang bermutu tinggi.

Walaupun begitu, terdapat juga cabaran dan etika yang perlu dititikberatkan dalam penggunaan AI. Pertamanya adalah tentang isu hak cipta. Hak cipta menjadi cabaran utama bagi pengkarya sastera.

Hal ini kerana karya yang dihasilkan oleh AI mungkin sukar untuk ditentukan hak miliknya, terutama apabila sumber yang digunakan tidak semestinya tepat dan perlu disemak dengan teliti sebelum diterbitkan.

Selain itu, penggunaan AI juga menimbulkan persoalan tentang keaslian dan nilai artistik karya yang dihasilkan oleh teknologi berbanding manusia. Sememangnya penghasilan karya haruslah daripada idea asal oleh pengkarya berkenaan.

Kesimpulannya, walaupun terdapat cabaran yang perlu diatasi, kelebihan yang ditawarkan oleh AI dalam memperkayakan sastera dan memudahkan proses penghasilan karya sememangnya tidak dapat dinafikan.

AI telah merevolusikan dunia sastera, daripada penciptaan sehinggalah melibatkan analisis karya. Dunia sastera kini berada di ambang transformasi besar. Kreativiti manusia dan kecerdasan buatan berganding bahu untuk menghasilkan karya yang dapat menginspirasikan pembaca. AI boleh menjadi alat yang berkuasa dalam membantu penulis menjelajahi idea baharu.

___________________________________

Ts. Mohamad Shaufi Kambaruddin dan Farah Natasya Mad Hassan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.