Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangWadiassofi Jaafar menampilkan proses kreatif daripada kisah realiti dalam novel remaja Impian dari Lembah Harapan.
Ilham tidak jatuh dari langit; ilham perlu dipetik daripada kehidupan sekeliling. Ilham bukan sesuatu yang terawang-awang, ia sesuatu yang tegap di alam nyata.
Dalam sebuah pertemuan bersama-sama dengan Zulkefle Dollah, penulis novel remaja Impian dari Lembah Harapan (DBP, 2023), beliau menyatakan bahawa “Apabila terhasilnya Impian dari Lembah Harapan dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bagi saya hal ini merupakan suatu kejutan misterius. Saya sendiri menyoal, bagaimanakah terjadinya proses kreatif sehingga lahirnya novel tersebut? Suatu pertanyaan yang saya anggap misterius juga.
“Ramai sarjana sastera beranggapan bahawa proses kreatif ialah rahsia bagi seorang pengarang. Rahsianya boleh dicungkil apabila ada pertanyaan. Tidak pelik apabila pengarang bertanya kepada dirinya sendiri, ‘Bagaimanakah aku boleh menulisnya?’ Bagi menjawab soalan itu, pilihan yang ada tentulah daripada ‘membaca’ dan ‘meneliti’ pendapat pengkaji, kemudian disesuaikan dengan proses kreatif yang dilakukan.
“Tulisan Rahimah A. Hamid (Dewan Sastera Januari 2000) tentang pengarang dan proses kreatifnya membahagikan proses kreatif kepada lima fasa, iaitu: (1) Fasa Sensitiviti dan Cerapan, (2) Fasa Perencanaan dan Persediaan, (3) Fasa Pemendapan, (4) Fasa Penulisan, dan (5) Fasa Penyemakan dan Pengeditan.
Sejujurnya, saya tidak pasti adakah saya mengarang berdasarkan fasa-fasa tersebut. Namun demikian, saya dapat merasakan bahawa memang wujud fasa-fasa tersebut dalam proses kreatif saya. Paling dominan ialah fasa penulisan, penyemakan dan pengeditan. Apabila manuskrip awal dihantar ke DBP, proses kreatif tidak tamat, malah bertambah dengan proses penambahbaikan atas khidmat seorang editor. Demikian sedikit induksi set sebagai rangsangan dan pencerahannya.”
Pengalaman pengarang dalam masyarakat telah memberikan ilham kepadanya untuk menulis sebuah novel. Novel menceritakan segala yang ada dalam realiti masyarakat, dengan tambahan imaginasi sang pengarang.
Apabila novel dibaca oleh seseorang, mereka seolah-olah melihat “dunia buatan”. I.A. Richard menyebutnya sebagai pseudo-statement. Christopher Caudwell pula menyebutnya sebagai ego sosial. Carl Jung menganggapnya sebagai social unconscious, manakala Sigmund Freud melihatnya sebagai super-ego (S.Othman Kelantan, 1986).
Sumber kreativiti (daya cipta) atau ilham lahir daripada realiti kehidupan dan lingkungan persekitaran yang dialami oleh penulis secara sedar. Realiti ini juga disebut sebagai manifestasi kesedaran pengarang terhadap apa-apa yang dialami dan dilihat dalam persekitarannya (Asmiaty Amat, 2018).
Menurut Sasterawan Negara (SN) Usman Awang, ilham tidak jatuh dari langit; ilham perlu dipetik daripada kehidupan sekeliling. Ilham bukan sesuatu yang terawang-awang, ia sesuatu yang tegap di alam nyata. Bagi SN A. Samad Said (1979), ilham terbit daripada bauran cerita-cerita orang lain dan proses pembacaan.
Penulis ialah golongan manusia yang sedar. Jika tidak sedar maka seseorang itu tidak boleh menjadi penulis, khususnya penulisan kreatif, sedar dalam erti kata sedar akan kebolehan diri, bakat yang dianugerahi Tuhan lalu tidak disia-siakan.
Novelis Senjakala, Baharuddin Kahar berkata, beliau menulis kerana dirinya sunyi, malang dan rendah diri, terasa kekurangan, terpinggir dan tidak dihargai (Dewan Sastera Mac 2001).
Bagi Sigmund Freud, penciptaan karya sastera banyak didorong oleh akal bawah sedar yang aktif. Sesungguhnya, proses kreatif amat personal dan menyulitkan. Usaha mendapatkan ilham memang mudah tetapi untuk mengolahnya memang payah (Johan Jaaffar, Dewan Sastera November 1990) Kepayahan itulah suatu nikmat yang sukar untuk digambarkan apabila terciptanya sebuah karya untuk dibaca oleh khalayaknya.
Penulis bukan sahaja menulis untuk memenuhi kehendak diri semata-mata. Dalam proses kreatifnya, penulis juga perlu memikirkan kehendak sosialnya. Oleh sebab itu, penulis memerlukan daya persepsi yang tinggi, tajam dan kritis apabila menanggapi sesuatu keadaan atau kejadian. Terasnya tentulah soal rasa dan deria yang terkumpul dalam pemikiran (kontemplasi) penulis, dan akhirnya membentuk pengalaman estetik bagi pembaca.
Atas kesedaran ini, penulis tidak boleh mengangkat karyanya sendiri melainkan masyarakat (pembaca) yang boleh menilainya.
Impian dari Lembah Harapan ialah kisah realiti yang difiksyenkan. Realiti sebagai sumber idea berbeza daripada idea sebagai realiti dalam fiksyen atau cerita rekaan (Ali Ahmad, 1994). Realiti kehidupan yang dilalui oleh seseorang penulis ialah realiti yang mampu menyentuh emosi, akal dan hati nuraninya.
Penulis ialah manusia istimewa yang bersifat selektif, sensitif,emotif, reflektif, dan konstruktif. Jika penulis mempunyai sepuluh pengalaman, dia hanya memilih satu atau dua pengalaman sahaja untuk diangkat dalam proses kreatifnya, iaitu pengalaman yang benar-benar bermanfaat dan berkesan untuk diri dan khalayaknya.
Novel Impian dari Lembah Harapan ialah sebuah novel yang lahir daripada realiti kehidupan yang dialami oleh penulis. Kisah nyata seorang ibu tua yang kurang waras akibat penyakit kusta (ditempatkan di Lembah Harapan) menjadi sumber ilham yang begitu lama terpendam di dasar kalbu. Baru saat ini, ilham ini dibangunkan secara imaginatif dan konstruktif, mengikut hukum susastera yang struktural lagi formalistik.
Menulis sebuah novel merupakan satu kerja yang sengaja dikerjakan secara paksa. Jika tiada elemen “memaksa diri” atau “memeras akal dan emosi”, nescaya kerja itu tidak mampu ditamatkan kesudahannya. Proses untuk memulakan penulisan ialah sesuatu yang paling sukar. Tanpa iltizam dan komitmen, novel hanya menjadi sebuah angan-angan kosong.
Novel Impian dari Lembah Harapan ialah novel remaja atau sasarannya untuk dibaca oleh golongan remaja. Sepatutnya, novel remaja mestilah dihasilkan oleh remaja. Kisahnya pula ialah kisah “dunia remaja” dan pendukung ceritanya wajarlah 100% terdiri daripada golongan remaja itu sendiri.
Namun begitu, hakikatnya, tidak ramai remaja yang boleh menulis tentang “dunia keremajaan” mereka jika mereka belum lagi melalui asas kematangan. Seorang penulis yang dewasa ialah penulis yang sudah melalui zaman remaja. Dengan berbekalkan pengalaman lalu, aspek kematangan amat diperlukan untuk “mematangkan” diri.
Watak orang tua atau lebih dewasa dalam novel remaja amat perlu kehadirannya kerana daripada merekalah munculnya pedoman, teladan dan nasihat yang diperlukan untuk membina moral (watak dan pembaca) remaja yang baik, jati diri dan kemampuan untuk berfikir secara rasional.
Impian dari Lembah Harapan memaparkan kisah seorang anak yang akhirnya mengakui bahawa perempuan yang kurang waras itu ialah ibunya sendiri. Kesimpulan mudah ini melalui proses yang amat sukar untuk didalami oleh penulis. Kenapakah kisah ibu tua yang kurang waras akibat penyakit kusta begitu menyentuh akal dan emosi penulis? Umumnya, kisah begini bersifat klise dan konservatif. Kisah ini bukanlah kisah yang unik bagi sesetengah orang tapi amat unik bagi penulis.
Unik kerana kisah ini berlaku di hadapan mata, malah orang yang terlibat dalam kisah ini begitu dekat dengan penulis. Dia yang “dekat” itu ialah seorang guru. Guru ini mempamerkan sikap cinta, kasih sayang dan pengorbanan yang tinggi terhadap ibunya yang “hodoh” dan “kurang waras”, malah dimarahi, ditakuti, dibenci, bahkan dicaci maki oleh masyarakatnya sendiri.
Tahun 1970-an, para guru memang disegani dan dihormati oleh masyarakat, apatah lagi guru itu lulusan universiti. Dalam kisah ini, guru ini dihormati, tetapi ibunya ditakuti dan dibenci. Oleh itu, dia tidak membiarkan ibunya menjadi sasaran kebencian tetapi dia juga tidak memusuhi atau memarahi masyarakat yang bersikap begitu. Dia menerima “realiti” hidup ibunya yang kurang waras. Dia juga menerima “realiti” masyarakat yang kritikal terhadap seorang ibu yang hodoh dan kurang waras seperti ibunya. Malah, dia memperlihatkan rasa bangga sebagai seorang anak yang boleh berjaya dalam hidup, meskipun mempunyai seorang ibu yang hodoh dan kurang waras.
Yang pasti, novel ini sarat dengan nilai kasih sayang, cinta, pengorbanan, dan persahabatan. Nilai-nilai yang semakin kering dan usang dalam kehidupan masyarakat kita yang supermaterialistik sekarang.
Dalam kisah Zulkefle ini, sumber daya cipta atau realiti ialah bahan mentah yang diadun lalu disaringkan, bahkan imaginasinya perlu diapungkan, mengikut acuan kreativiti.
Zulkefle Dollah menyatakan, “Semasa aku berumur 13 tahun hingga 18 tahun (tingkatan satu hingga lima), tiap-tiap hari aku berhadapan dengan seorang guru yang menjadi idolaku. Idola bukan kerana kehebatannya mengajar tetapi dia (nama dirahsiakan) ‘hebat’ kerana kesanggupannya menjaga seorang ibu yang ‘kurang waras’.
Bagiku, hal ini merupakan pengalaman spiritual yang turut mendidikku secara tidak langsung. Dia telah membangunkan diriku menjadi seorang yang amat kasih kepada ibuku yang waras dan tidak seperti ibunya. Akhirnya, aku menjadi guru seperti dirinya. Aku pernah memberitahunya bahawa aku menjadi guru kerana dia seorang guru yang hebat. Dia ketawa sambil menepuk-nepuk bahuku.”
Dalam kisah Zulkefle ini, sumber daya cipta atau realiti ialah bahan mentah yang diadun lalu disaringkan, bahkan imaginasinya perlu diapungkan, mengikut acuan kreativiti. Imaginasi ialah teras pada kreativiti. Penulis masuk ke dalam kehidupan guru itu secara kreatif dan imaginatif-konstruktif. Hal yang ada dikekalkan, hal yang tiada ditambah dan dibangunkan sebagai sebuah cerita yang tidak benar secara realitinya, tetapi benar secara imaginasinya.
Realiti sebenarnya mungkin 10% sahaja, 90% lagi ialah kreativiti dan imaginasi. Realiti kehidupan Nawi dan ibunya Mek Siah. Sebagai sebuah karya yang berasaskan kreativiti dan imaginasi, aspek realiti bukan hanya pada isi ceritanya sahaja tetapi tapak realiti yang konkrit tentulah ada pada diri penulis itu sendiri. Aspek pemikiran (rasional), emosi dan keperluan elemen kesusasteraan dalam sesebuah karya ialah sumber realiti yang paling realistik dalam proses kreatif.
Cara atau corak kehidupan seharian banyak diganggu apabila bermulanya proses kreatif. Motivasi diri bagaikan ombak: kadang-kadang datang bergulung-gulung, kadang-kadang sunyi sepi. Apabila datangnya bergulung-gulung, diri jadi ghairah dan idea mencurah-curah bagaikan hujan. Apabila sunyi sepi, motivasi mendap, hilang daya, rasa dan masa. Penulis seakan-akan tidak tahu membuat apa-apa.
Betullah, berkarya sebenarnya “aku sengaja memilih jalan derita” yang seronok dan puas apabila akhirnya “menemui” jalan penyelesaiannya yang penuh dengan hikmah dan kebijaksanaan. Kepuasan, hikmah dan kebijaksanaan itulah puncak keindahan dalam berkarya. Semua ini merupakan dimensi realiti luaran teks yang cukup dominan dalam proses kreatif. Semua penulis mungkin melalui realiti ini, iaitu realiti meneliti diri sendiri ketika proses berkarya. Hendak masuk ke dalam proses kreatif pun ada kesukarannya apabila teks yang dibina ditinggalkan atau diganggu oleh persekitaran yang mendesak.
Kadang-kadang, tempoh yang diambil begitu lama, teks dibiarkan sepi dan tersembunyi dalam hati dan minda sedar. Situasi ini kadang-kadang amat baik untuk kematangan karya, tapi kadang-kadang boleh melemahkannya (menjadi lupa dan buntu). Apabila berada dalam teks (sedang menulis), ada kesukaran untuk keluar daripada realitinya kerana ada keghairahan dan tenggelam dalam realiti teks. Sebagai penulis, secara jujurnya, saya pernah mengalami kedua-dua situasi di atas.
Derita hidup Mek Siah dalam Impian dari Lembah Harapan ialah takdir Tuhan terhadapnya. Tanpa menonjolkan sebab mengapa Mek Siah mendapat penyakit kusta yang kemudian ditempatkan di Lembah Harapan (Pusat Kusta Negara), Mek Siah berkahwin dengan Imad Lah lalu mendapat anak, Nawi. Nawi (semasa kecil) tidak dapat menerima kenyataan bahawa Mek Siah itu ibunya. Dia tidak dapat menerima secara luarannya, tetapi secara dalaman (psikologi), Nawi tidak membenci Mek Siah, malah kasih sayangnya terhadap Mek Siah tetap wujud. Begitulah sebaliknya, kalbu seorang ibu walaupun tidak sempurna akal fikiran, dia tetap “kenal” bahawa Nawi itu anaknya.
Sebagai penulis, memang ada kesukaran untuk menyelami batin manusia seperti itu dengan diksi yang wajar. Keutamaan penulis lebih pada soal hikmah atau kebijaksanaan untuk menyelesaikan konflik tersebut. Di sinilah harus ditampilkan watak-watak sampingan yang lain, seperti Pak Soh, Mak Som, anak-anaknya, Cikgu Norhayati, Zahari, dan Shamsul. Watak-watak yang bertindak untuk menyelesaikan kekusutan.
Saya percaya bahawa penulis ada tanggungjawab moral yang besar, iaitu tanggungjawab menyelesaikan masalah atau konflik yang dia sendiri bangunkan. Novel sebagai sebuah karya seni harus menghiburkan di samping tebal dengan unsur didaktiknya. Pembaca tidak boleh dibebankan dengan rumit konflik dan derita yang membosankan. Tingkah laku Mek Siah, iaitu tingkah laku manusia yang kurang waras memang menghiburkan. Namun dalam tingkah laku itu, ada sesuatu yang boleh difikirkan oleh pembaca.
Pemilihan judul Impian dari Lembah Harapan terlebih dahulu wujud dalam minda penulisnya. ‘Impian’ yang dimaksudkan ialah impian seorang ibu (Mek Siah) terhadap anaknya Nawi. Timbul persoalan, bolehkah manusia yang kurang waras mempunyai impian sebegitu? Realitinya, tidak boleh. Akan tetapi, realiti dalam proses kreatif tentu dibolehkan atas faktor imaginasi yang tidak terbatas dalam daya cipta penulis.
Namun begitu, lebih jelas apabila impian itu dikaitkan dengan Nawi sebagai seorang anak yang berazam untuk memberikan kejayaannya sebagai anugerah kepada ibunya. Penulis membenarkan hal ini terjadi kepada Nawi. Realitinya, kejayaan begitu bukanlah sesuatu yang mustahil. Dan secara realitinya (bukan realiti kreatif atau imaginasi), hal ini benar-benar terjadi. Dalam era 1970-an, tidak ramai anak Melayu di kampung yang berjaya ke universiti. Dia (Nawi/anak Mak Da) menjadi contoh, bahkan motivasi kepada diri saya secara peribadinya.
Novel Impian dari Lembah Harapan ini merupakan hasil daripada Projek Penulisan Cerpen kepada Novel oleh Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara. Pada 15 Mac 2021, manuskrip awal telah dihantar ke Bahagian Penerbitan DBP Kuala Lumpur dan kemudian diterima oleh Bahagian Buku Sastera Remaja dan Kanak-kanak. Novel remaja ini ditangani dengan sukses oleh Puan Noreena Zulkeplee. Terdapat beberapa kali proses penambahbaikan bagi menyempurnakannya. Hal ini bermakna, proses kreatif tidak hanya melibatkan penulis sahaja. Sang editor pun memainkan peranan yang penting dalam proses kreatif ini.
Novel Impian dari Lembah Harapan boleh dibeli di sini.
Artikel ini diubah suai daripada kertas kerja yang dibentangkan dalam Dialog Puncak Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) di Hotel Bayu, Baling, Kedah pada 17 November 2023.