Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dua nukilan puisi daripada dua Sasterawan Negara (SN) direalisasikan menjadi sebuah drama yang memiliki muatan falsafahnya yang tersendiri.
Dua puisi tersebut ialah puisi “Pilihan Usia” nukilan SN Baha Zain dan puisi bertajuk “Masa” karya SN Rahman Shaari.
Drama Hari Ini Semalam memperlihatkan kehidupan tiga watak utama, iaitu Armin (lakonan Iedil Dzuhrie Alaudin), Jamilah (lakonan Kathy Azean) dan Saad (lakonan Raif Irfan).
Bait-bait puisi “Pilihan Usia” bergema dalam drama itu melalui dialog yang diujarkan oleh tiga watak utama tersebut.
Setiap watak mengujarkan serpihan bait puisi yang akhirnya akan membawa penonton berasa makna yang mendalam hasil daripada renungan terhadap penghayatan puisi dan dialog sekali gus.
Dalam puisi itu, terdapat baris puisi yang memperlihatkan fasa kehidupan manusia. Setiap fasa tersebut yang bermula dari “lapan belas”, “dua puluh”, “tiga puluh” dan “empat puluh” diterjemahkan ke dalam drama melalui usia watak Armin, Jamilah dan Saad.
Pengarah drama, iaitu Wan Afzam Wan Daud ketika ditanya mengapa kedua-dua puisi itu yang menjadi pilihannya dalam sesi bual bicara pratonton di DBP, semalam menyatakan bahawa:
Pada awalnya, saya mempunyai 12 puisi untuk dipilih. Tetapi akhirnya saya memilih dua puisi ini. Saya menulis skrip di atas landasan puisi “Pilihan Usia” tetapi dalam masa yang sama puisi “Masa” ada dalam pemikiran saya.
Terbitnya drama ini yang akan menemui penonton pada 31 Ogos nanti secara tidak langsung juga memberitahu khalayak bahawa karya sastera yang bermutu dan berkualiti mempunyai tempatnya dalam media visual dan bukannya hanya dibaca dalam bentuk teks semata-mata.
Drama ini bakal menemui penonton menerusi Slot Panggung RTM, pukul 9.00 malam dalam saluran TV1 dan RTMKlik.