Diterbitkan pada 16 Ogos 2024, 09:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kemerdekaan yang sering diraikan saban tahun pada bulan Ogos bukan hanya bermakna kibaran bendera semata-mata.

Demikianlah ujaran yang tersirat dan bermakna daripada pengarah drama Hari Ini Semalam, Wan Afzam Wan Daud semasa sesi bual bicara seusai pratonton di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam.

Drama tersebut bakal menemui penonton pada 31 Ogos nanti, pukul 9.00 malam.

“Kemerdekaan yang sebenarnya ialah pembebasan ‘diri’ kita sendiri. Kalau diri kita sendiri merdeka, maka masyarakat juga akan turut merdeka. Bukan hanya keadaan yang bersifat fizikal semata-mata.”

Perkara tersebut diterjemahkan oleh Wan Afzam menerusi watak-wataknya dalam drama tersebut. Drama tersebut menceritakan tentang kehidupan tiga watak utama, iaitu Armin (lakonan Iedil Dzuhrie Alaudin), Jamilah (lakonan Kathy Azean) dan Saad (lakonan Raif Irfan).

Dalam drama itu, dua watak utama, iaitu Armin dan Jamilah masing-masingnya mempunyai kisah lampau yang tersendiri. Kisah pahit tersebut dipikul oleh mereka dan turut “membelit” kehidupan mereka serta seterusnya memberikan makna kemerdekaan sebenar yang ingin disampaikan.

Drama ini terinspirasi daripada dua puisi oleh dua Sasterawan Negara (SN), iaitu puisi “Pilihan Usia” nukilan SN Baha Zain dan puisi bertajuk “Masa” karya SN Rahman Shaari.

Menurut Wan Afzam lagi, kedua-dua puisi itu memberinya ilham dalam menjalin plot dan falsafah drama yang ingin disampaikannya buat penonton.

 

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi