Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus giat dalam menyemarakkan program berkaitan dengan bahasa dan sastera dalam kalangan masyarakat. Kali ini, NU Sentral menjadi tempat pilihan DBP dalam merealisasikan hal tersebut.
NU Sentral, terletak di tengah kota Kuala Lumpur dan sering menjadi tempat persinggahan dan aktiviti orang ramai bakal menjadi tempat masyarakat melihat bacaan puisi dan terlibat dalam aktiviti yang berkaitan dengan buku dan pembacaan.
Hasil daripada pertemuan antara wakil DBP dengan NU Sentral, maka kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama menganjurkan Sayembara Jiwa Merdeka bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini.
Sayembara ini berkonsepkan penulisan puisi dalam bahasa Melayu yang bertemakan “Jiwa Merdeka”. Menariknya, sayembara ini menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM7 ribu untuk para peserta yang terlibat.
Selain itu, DBP juga merancang untuk mewujudkan sudut bacaan di premis pusat beli-belah NU Sentral bagi menyokong kempen Dekad Membaca Kebangsaan pada tahun 2024.
Potensi kerjasama ini diharapkan mampu untuk menyemarakkan lagi usaha membudayakan bahasa dan sastera melalui sasaran kelompok yang pelbagai.
Dalam pertemuan tersebut, DBP diwakili oleh Puan Roziah Md Yunus, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Aninah Janang, Timbalan Ketua Editor Bahagian Majalah dan Encik Mohd Hafizi Ahmad, Perancang Bahasa. Manakala NU Sentral pula diwakili oleh Puan Liyana Norazmi, Eksekutif Pemasaran (Perhubungan) NU Sentral dan Encik Muhammad Iliya Muhammad Zaki, Eksekutif Pemasaran NU Sentral.