5 Ogos 2024, 17:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-38 Peringkat Negeri Johor yang dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) melalui kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), Persatuan Penulis Johor (PPJ), Kerajaan Negeri Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), telah berlangsung di Perpustakaan Sultan Ismail pada 25 Julai 2024 dengan penyertaan sebanyak 26 orang peserta di peringkat akhir.

ADUN Permas bersama-sama urusetia dan peserta SDPK ke-38 Peringkat Negeri Johor 2024.

Penganjuran SDPK pada kali ini turut mengetengahkan enam bakat terbaik pemuisi antaranya termasuklah, Johan SDPK ke-38 Peringkat Negeri Johor, Norafiah Saini dengan puisi bertajuk “Wujud yang Menipis” nukilan Mohd Ghazali Taib.

Semangat yang ditonjolkan beliau melalui pendeklamasian puisi ini telah berjaya melayakkan beliau menyandang gelaran juara dengan membawa pulang wang tunai bernilai RM1000, piala pusingan dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Manakala, naib johan menjadi milik Abd Malik Mohamad Shah dengan tajuk puisi “Pelantaran Jagat” nukilan Akmal Aizat Abdul Aziz dan tempat ketiga pula dirangkul oleh Muhamad Syahmi Samsudin yang mendeklamasikan puisi bertajuk “Peneguh Bumi Berdaulat” nukilan Abdul Karim Gullam.

Peserta peringkat akhir SDPK ke-38 Peringkat Negeri Johor 2024.

Bagi penerima naib johan dan tempat ketiga, masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM700 dan RM500. Selain itu, bagi penerima sagu hati pula diberikan kepada Siti Nurulain Taham, Ain Sophiah Salleh dan Akilul Nazar Arbain dengan hadiah wang tunai bernilai RM200 setiap seorang.

Kesemua peserta yang menyertai sayembara berjaya menonjolkan semangat patriotik yang tinggi dengan mendeklamasikan puisi berkaitan kemerdekaan dan perjuangan bangsa.

Majlis penutupan sayembara ini telah disempurnakan oleh YB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Tuan Haji Baharudin Mohamed Taib, sekali gus turut menyampaikan hadiah kepada barisan pemenang.

Johan SDPK ke-38 Peringkat Negeri, Norafiah Saini bakal berentap dalam SDPK ke-38 Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada Ogos nanti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.