Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIpoh – Karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Encik Saifullizan Yahaya (Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera) telah memenangi dua kategori dalam Hadiah Sastera Darul Ridzuan (HSDR) ke-8 bagi kategori Karya Perseorangan (puisi dan cerpen).
Karya beliau yang memenangi kategori tersebut ialah puisi “Kematian Antara Dua Khamis” (Dewan Sastera, 2022) dan cerpen “Perempuan yang Membunuh Anjing pada Suatu Senja Nan Hening” (Dewan Sastera, 2023).
Kemenangan ini membuktikan bahawa karyawan DBP berkemampuan dalam menulis karya yang berkualiti. Sebelumnya, mantan staf DBP, Siti Zaleha M Hashim juga dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Perak 2024 dalam majlis yang sama.
Ketika ditemu bual tentang pandangannya berkenaan dunia kesusasteraan tanah air, beliau berkata bahawa:
Dunia sastera tanah air sekarang ini semakin bersemarak dengan kegiatan yang dapat membina bakat penulis. Contohnya pelbagai sayembara termasuk yang dianjurkan oleh DBP baru-baru ini menawarkan peluang untuk kelahiran karya baharu yang berkualiti dan bermutu serta menjadi medan uji kepada pengarang dalam menghasilkan karya yang baik.
Tambahnya lagi, sokongan daripada pihak kerajaan dengan pelbagai insentif penting dalam menggalakkan penerbitan karya sastera juga merupakan antara perkara yang penting dalam membina ekosistem sastera yang sihat.
Mengulas tentang perancangannya dalam bidang penulisan, beliau menyatakan bahawa beliau akan berehat terlebih dahulu daripada menulis sekarang dan akan menumpukan kepada pembacaan dan tugas hakiki di DBP.
Hadiah Sastera Perak Darul Ridzuan yang diadakan pada tahun kelapan ini bertujuan untuk mengiktiraf karya sastera terbaik yang dihasilkan oleh penulis yang berasal dari negeri Perak dan yang telah bermastautin di sini selama lima tahun dari tarikh karya dihasilkan.