31 Julai 2024, 16:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 melabuhkan tirainya lebih kurang dua bulan yang lalu. Dalam 10 hari berpesta—dan beberapa bulan sebelumnya—banyak hal yang diutarakan dalam laman media sosial oleh para pempamer dan tidak terlepas juga ada desas-desus komentar yang dilontarkan daripada pengunjung dan peminat industri buku tanah air.

Pandangan dan cadangan daripada mereka ini tidak ditepis dengan melulu oleh pihak penganjur. Minggu lalu, penganjur mengadakan sebuah program pascanilai untuk membaiki dan menambahbaik isu yang berbangkit di PBAKL2024 untuk ditangani bersama dalam PBAKL yang akan datang.

Dalam majlis tersebut juga, Pengerusi Pengelola PBAKL atau lebih dikenali sebagai “Bapa Buku Kebangsaan”, iaitu Encik Mohd Khair Ngadiron mencadangkan tiga nama orang muda sebagai ahli jawatankuasa jemputan bagi mewakili suara rakan-rakan pempamer dalam Jawatankuasa Pengelola PBAKL2025 kelak.

Tunas Cipta turut berbesar hati dengan hal ini dan tidak melepaskan peluang untuk menemubual mereka yang sebenarnya bukan “kecil-kecil anak” dalam arena perbukuan negara. Mereka yang dimaksudkan ialah Ahmad Saifuddin Amran (Pelita Dhihin), Nabieh Rahmat (Buku Nusantara) dan Izzat Amir (Rabak-Lit).

Ikuti wawancara ini.

________________________________________________________

TC: Tahniah atas pelantikan kalian sebagai jawatankuasa jemputan bagi PBAKL2025. Nama kalian bukan asing lagi dalam arena perbukuan dan kedai atau penerbitan kalian mempunyai auranya yang tersendiri dalam mana-mana pesta buku tempatan malahan antarabangsa. Baik, kita boleh mulakan dengan soalan pertama. Mungkin saudara Nabieh boleh memberikan pandangan awal mengenai isu utama yang timbul semasa PBAKL 2024. Adakah terdapat kekurangan tertentu yang perlu diperbaiki serta kejayaan yang boleh diperluaskan?

Nabieh: Isu utama PBAKL ialah tempat yang terhad di WTCKL (Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur), sedangkan peminatnya—baik pempamer atau pengunjung kian bertambah. Tahun 2024 merekodkan jumlah pengunjung tertinggi iaitu 1.8 juta, bertambah secara organik dari tahun sebelumnya sejak PBAKL kembali pasca Covid-19. Jumlah reruai tahun lalu juga mencapai 1,000 buah.

TC: Jika begitu, adakah kita perlu kembali ke MAEPS Serdang? Atau ada cadangan lain di manakah PBAKL perlu diadakan sebenarnya pada tahun mendatang?

Nabieh: Cubaan memindahkan lokasi PBAKL pernah dibuat sebelum Covid-19, iaitu di MAEPS, Serdang tetapi jualan merudum dan ramai pengunjung mengeluh mengenai lokasi yang sukar dijangkau. MITEC pula walaupun terletak di tengah-tengah bandar, namun tempat itu juga sukar dijangkau melalui pengangkutan awam. Makanya, WTC tetaplah menjadi pilihan yang lebih strategik berbanding KL Convention Centre yang memiliki capaian yang baik tetapi kadar sewanya yang lebih mahal.

TC: Mungkin saudara Izzat ada pandangan lain berkenaan penempatan PBAKL akan datang?

Izzat: Hal membawakan PBAKL ke lokasi lain adalah tidak sesuai. Pengalaman tahun 2016 di MAEPS dan pesta buku anjuran Popular Bookstores di Kuala Lumpur Convention Centre mengajar para penerbit bahawa mencadangkan PBAKL ke lokasi lain tidak harus lagi dicadangkan apatah lagi didebatkan.

Tiada tempat yang sempurna kemudahannya termasuklah WTC tetapi WTC merupakan lokasi hampir sempurna dan sesuai untuk PBAKL. Melibatkan situasi punggahan barang, WTC merupakan tempat yang paling efektif untuk pempamer. Setiap dewan ada pintu untuk memuatkan barang. Jika lori tersalah tingkat untuk memuatkan barang, hal tersebut tidak menjadi masalah kerana ada lif yang agak besar ruangnya bagi digunakan untuk membawa barang ke tingkat yang sepatutnya.

Pengunjung sudah biasa dengan pintu masuk, lokasi dewan mahupun juga tiang tanda yang memudahkan mereka mencari dewan tertentu. Bagi pengunjung yang berkenderaan, ada banyak tapak letak kereta di sekitar WTC.

Ada pelbagai kemudahan tempat makan dan minum, tandas dan ruang untuk berehat bagi menenangkan para pengunjung yang membawa anak-anak mereka.

Anda mahu ubah PBAKL ke lokasi lain? Tunggu sehingga anda terpaksa berjalan kaki dengan buku penuh di tangan dari dewan ke tempat letak kereta yang jarau jauhnya memakan masa 15 minit berjalan. Menunggu bas atau Grab satu jam, dari dewan ke satu dewan yang lain jauh malah kelihatan hampir sama, tempat makan hanya bergantung kepada penganjur yang menyediakannya sahaja, maka tidak banyak pilihan.

Sesudah menghadapi pengalaman itu, pasti anda akan katakan WTC adalah sempurna.

TC: Bagaimana dengan infrastruktur acara PBAKL? Hal ini termasuklah kemudahan dan ruang pameran. Ada apa-apa cadangan untuk meningkatkan kualiti pameran buku untuk pengunjung dan penjual?

Nabieh: Pempamer terdiri daripada penulis mandiri, penerbit kecil di bawah lima reruai, penerbit gergasi, kedai-kedai buku, penerbit universiti sehinggalah kepada agensi kerajaan. Masing-masing ada KPI tersendiri, terutamanya berkaitan soal keuntungan dan aliran trafik yang maksimum.

Namun, apabila dilihat pelan lantainya, pasti akan ada pihak yang terpencil, misalnya terlempar ke belakang tangga atau di penghujung jalan. Hal inilah yang menimbulkan ketidakpuasan, prasangka dan sebagainya. Seakan-akan ada “kartel” atau keistimewaan tertentu kepada pihak yang lebih besar.

PBAKL sendiri merupakan acara yang dibiayai sepenuhnya oleh pempamer, jadi perancangan yang strategik diperlukan untuk mengoptimumkan ruangan dan pulangan. Penganjur memerlukan dana besar berbulan-bulan lebih awal untuk menyewa tempat. Tentu pihak yang lebih bermodal dan membeli lebih banyak reruai akan diutamakan. Mereka sekali gus menjadi “penyewa sauh” (anchor tenant) untuk menarik kunjungan.

Saifuddin: Saya menyokong pandangan oleh Nabieh—seperti ada kartel atau keistimewaan tertentu kepada pempamer tertentu.

TC: Boleh saudara ulas hal ini?

Saifuddin: Pada pandangan saya, penganjur masih tidak menyelesaikan isu utama yang menjadi punca pertikaian para penerbit, iaitu berlakunya salah tatakelola yang serius dalam amalan penawaran reruai PBAKL.

Walau bagaimanapun, saya memahami kekangan di pihak penganjur yang tidak memungkinkan rombakan penempatan reruai besar-besaran dibuat.

Saya berharap, pada PBAKL 2025, insiden seperti ini dapat dicegah dan dielak lebih awal melalui mekanisme penawaran reruai yang lebih telus dan adil.

Izzat: Bagi saya pula, tiada isu besar yang timbul semasa—bukan sebelum—PBAKL. Perkara kecil seperti dewan sesak apabila peminat penulis berkumpul, anak hilang, sehinggalah ke aspek pengunjung makan sehingga tumpah makanannya di tepi dewan, hal itu semua merupakan perkara luar kawalan. Walau boleh diperbaiki, tidaklah mengganggu keseluruhan acara.

Hal dewan bunyi bising seperti pasar pula bergantung kepada pendapat sesetengah pengunjung dan pempamer. Berlainan pendapat kita dengar, ada sesetengah pempamer mempunyai pandangan pesta buku harus ada aras kelas yang tinggi, tidak merasa selesa situasi bunyi bising, tetapi ada pula yang berasakan seronok dan meriah, baru kena dengan konsep pesta.

Perkara yang boleh diperbaiki pada pendapat saya adalah daripada segi promosi. Isi kandungan sosial media terlalu berfokuskan ke arah mempromosi novel. Situasi ini menimbulkan pandangan bahawa pesta buku ini sepertinya hanya khas untuk peminat novel sahaja, manakala genre lain dan penerbit bukan novel tidak mengambil bahagian.

TC: Mungkin ada dalam kalangan kalian yang ada strategi lain yang mahu dicadangkan untuk memperluaskan keterlibatan penulis tempatan dan antarabangsa. Adakah terdapat cara untuk meningkatkan kerjasama antara penerbit dengan penulis untuk memastikan kepelbagaian dan kualiti kandungan yang dipamerkan? Mungkin soalan ini lebih tepat kepada saudara Nabieh selaku pengedar buku Indonesia ke Malaysia dan Saifuddin dengan Pelita Dhihin yang mempamerkan buku berkualiti dari luar negara.

Nabieh: PBAKL merupakan acara “B2C” (business to consumer) dan “B2B” (business to business). Penganjuran ASEAN Rights Fair dalam PBAKL dapat memberikan ruang B2B untuk penerbit tempatan berinteraksi dengan penerbit luar negara dari seluruh negara Asia Tenggara.

Untuk B2C, ada saranan agar penerbit antarabangsa membuka reruai lebih besar supaya para pengunjung dapat membeli secara terus karya-karya asing. Namun, cabarannya ialah kos logistik yang terlalu besar oleh pihak luar selain berdepan risiko kerugian jika stok tidak laku.

Jika kita ke Frankfurt Book Fair, Beijing atau Seoul, memang penerbit luar jarang membawa stok pukal yang banyak untuk pameran pesta buku tempatan atas faktor-faktor yang dinyatakan tadi. Hanya Indonesia Book Fair sahaja yang agak banyak buku asing dari Timur Tengah, itu pun disebabkan mereka ialah pengedar untuk pasaran Indonesia dan memang memiliki kedai di sana.

Barangkali ada ruang yang lebih banyak perlu diwujudkan untuk meramaikan penulis berbangsa Cina dan India selama PBAKL, sama ada untuk acara bedah buku, temu penulis atau pelancaran buku.

Saifuddin: Formulanya kembali kepada asas, iaitu kurasi (curation). Sebagaimana sebuah pusat membeli-belah memilih jenama yang dapat menarik pelanggan sebagai penyewa sauh (anchor tenant), begitu jugalah halnya dengan penganjuran PBAKL.

Perkara ini dapat dilaksanakan melalui kerjasama dengan pengimport dan pekedai buku yang sudah mempunyai hubungan baik dan jaringan yang luas dengan penerbit antarabangsa. Mereka mempunyai data jualan yang membolehkan mereka memberikan buah fikiran kepada penerbit dan judul antarabangsa yang sesuai dibawa masuk.

TC: Mungkin saudara Izzat ada pandangan juga?

Izzat: Hal tentang kandungan buku saya tidak mahu sentuh kerana setiap penerbit lain falsafah atau mazhab mereka. Berilah 1,000 cadangan sekalipun tidak akan berguna kerana setiap penerbit sudah ada cara pembangunan isi kandungan buku mereka.

Persoalan yang lebih sesuai tentang penglibatan penulis dalam PBAKL adalah persoalan kepada pempamer. Penganjur telah menyediakan pelbagai medium untuk mempromosikan penglibatan penulis mereka di PBAKL. Penerbit membuat hantaran dalam sosial media dan penganjur meuar-uarkan hantaran tersebut. Penerbit hantar info kehadiran penulis mereka, maka penganjur bantu membuat hebahan dalam medium telegram dan sosial media mereka. Inginkan pentas untuk perjumpaan, penganjur sediakan pentas dan juga bilik untuk perjumpaan.

TC: Apakah langkah yang patut diambil untuk memastikan PBAKL 2025 dapat memenuhi atau melebihi standard industri buku tempatan dan antarabangsa?

Nabieh: Bagi menangani isu pokok PBAKL saban tahun, iaitu permintaan tinggi berbanding ruangan yang terhad, maka semua pihak perlu berlapang dada mencari penyelesaian yang harmoni. Mungkin pempamer gergasi (penerbit dan kedai buku) perlu meletakkan had diri supaya pihak yang lebih kecil dapat peluang yang lebih baik. Sementara pihak lebih kecil juga perlu sanggup membayar harga dan berjuang lebih kuat untuk meramaikan pengunjung.

Penggunaan teknologi interaktif dan rekaan reruai yang lebih menarik boleh menaikkan imej PBAKL. Kita boleh ambil contoh reruai daripada pelbagai pameran antarabangsa. Selain itu, PBAKL boleh menarik segmen pasaran warga asing sekiranya kita menyiapkan buku-buku yang menarik.

Kita ada tiga juta warga asing di Malaysia, terutamanya dari Indonesia, Bangladesh, Nepal, China dan lain-lainnya. Sama ada mereka penduduk tetap, pekerja atau pelajar, PBAKL boleh menjadi destinasi kunjungan sehingga bersifat “semakin antarabangsa.”

TC: Baik, terima kasih semua kerana sudi meluangkan masa untuk diwawancara.

__________________________________________________________

Dengan adanya jawatankuasa jemputan daripada kalangan orang muda ini, maka kita sama-sama berharap agar PBAKL2025 dan pesta buku yang akan datang akan diraikan dengan jayanya dan mendapat sambutan yang menggalakkan, tidak kira dari pengunjung atau pempamer.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.