Diterbitkan pada 29 Julai 2024, 15:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – “Idola yang membawa saya ke puncak dan menjadi seorang pendeklamator ialah Cikgu Zaheera Ibrahim. Daripada dialah saya belajar tentang menjadi pendeklamator yang hebat. Beliau juga merupakan seorang pendeklamator yang dikenali di Kedah dan berjaya membawa nama Kedah ke peringkat kebangsaan”.

Itulah kata-kata yang diluahkan oleh Sarminadira Shaikh A. Rahim, 30 tahun dari Lunas, Kulim, Kedah, pemenang tempat ketiga Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Kedah 2024 yang diadakan di Digital Village, Alor Setar, Kedah pada 27 Julai lalu.

Sarminadira begitu berminat untuk menjadi seorang pendeklamator sejak dari alam persekolahan lagi. Ujarnya,

“Impian saya adalah untuk menjadi pendeklamator yang hebat seperti Cikgu Zaheera Ibrahim. Saya kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh beliau. Saya mahu jadi seperti dia”.

Menurutnya lagi, semasa berada pada zaman persekolahan lagi dia amat meminati sajak. Dari sehari ke sehari beliau amat berminat untuk mendalami erti sajak.

Saya ada masuk pertandingan menulis sajak dan berjaya memenangi pertandingan itu. Dari situlah saya mula mengenali dunia sastera.

Menurutnya, inilah kali kedua beliau bertanding untuk sayembara ini dan pada kali pertama ialah di Pulau Pinang. Semasa bertanding di Pulau Pinang, beliau berjaya mendapat hadiah sagu hati.

Sarminadira yang mendeklamasikan puisi berjudul “Wujud  Yang  Menipis” karya Mohd  Ghazali Taib berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM500, buku dan sijil penghargaan.

Beliau menerima hadiah yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, Encik E Pian A/L Pro Poul.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi