Oleh Ramlee Wahab
26 Julai 2024, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ramlee Wahab membicarakan tentang kobaran semangat dan nyala jiwa penulis muda dalam meluahkan suasana hati dalam karya.

Kemampuan daya kreativiti mereka dalam berkarya bersifat rencam, provokatif dan bebas batas sempadan pengkaryaan.

Pengarang itu pejuang. Memang, kalau tidak sedepa, mungkin sejengkal atau sehasta terselit semangat juang dalam dirinya. Semangat itu wujud secara materi atau sebaliknya.  Tetapi, bukan semua pejuang itu pengarang.

Perkara asas berkaitan dengan pengarang sebagai pejuang melibatkan dua perkara utama, iaitu pena menjadi senjata pilihan dan kertas sebagai medan perjuangan.

Sejauh mana ampuhnya senjata menjadi alat dan luasnya kertas menjadi medan perjuangan, hal tersebut bergantung kepada ilmu pengetahuan dan pengalaman pengarang.

Sebagai manusia kreatif, mental pengarang amat sensitif dan reaktif terhadap pelbagai perkara dan situasi yang berlaku dalam kehidupan seharian. Albert Einstein, ahli sains teragung berbangsa Jerman menyatakan, “tindakan ialah bersamaan dengan reaksi” (action is equal to reaction).

Istilah “radikalisasi” atau “radikalisme” berasal daripada perkataan “radikal”. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, radikalisasi bersinonim dengan pengertian “ekstrem, pelampau, revolusioner, subversif”. Universiti Cambridge melalui laman rasmi juga mendefinisikan radikalisme sebagai “keyakinan bahawa harus ada perubahan sosial atau politik yang besar atau ekstrem”.

Perjuangan pengarang di sini juga bermaksud “mengkreatifkan” idea penulisan yang lazimnya agak agresif dan radikal. Sekadar memetik beberapa nama pejuang sastera yang tersohor dan menonjol seperti Zainal Abidin Ahmad (Za’aba), Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Ahmad Boestaman, Kamaluddin Muhamad (Keris Mas), Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), A. Samad Said, Usman Awang, Baha Zain dan Muhammad Haji Salleh.

Kepengarangan mereka terserlah dalam setiap karya, sekali gus memancarkan aura perjuangan yang kental.

Sementelah pula perjuangan sebahagian daripada mereka seperti Za’ba, Pak Sako, dan Boestamam itu terasnya luhur murni, iaitu bertujuan membebaskan bangsa dan memerdekakan tanah air daripada belenggu penjajahan.

Melalui pascakemerdekaan, rentetan semangat dan prihatin terhadap isu bahasa dan ekonomi, maka lahirlah ramai pejuang sastera melalui dua buah buku antologi puisi, iaitu buku Keranda 152 dan Teluk Gong (1967).

Hal ini jelas menandakan bahawa wujudnya gerakan kumpulan penulis yang bermatlamat memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu dan masalah ekonomi dan sosial masyarakat.

Menurut Victor Pogadev, pensyarah berbangsa Rusia di Universiti Malaya,

Para penyair Melayu selalu bertindak balas dengan cergas terhadap peristiwa sosial politik di sekitar mereka. Mereka selalunya memprotes terhadap hal-hal yang dianggap tidak wajar, tidak patut atau tidak adil. Kelakuan mereka itu sering dikecam oleh ‘pihak tertentu.’ Menurut pihak itu, para penyair tidak harus mencampurkan politik dengan seni dan puisi tidak perlu mengandungi unsur propaganda dan protes. Tetapi para penyair pandai menggarap setiap tema termasuk tema politik dengan sedemikian rupa sehingga puisi tidak kehilangan kecantikan bahasa puitisnya.

Dalam zaman kecerdasan buatan kini, masih wujudkah pengarang atau penyair yang sedemikian?

Menjadi pejuang dan radikal tetapi bermoral dalam mengarang bukanlah suatu kesalahan atau dosa. Cuma, mungkin api semangat yang radikal sudah berbaki bara, namun hangatnya masih terasa.

Demi membuktikannya, saya cuba melakukan retrospeksi diri terkait dengan buku sebuah antologi puisi. Buku tersebut ialah buku antologi puisi Bahasa Tuhan Sudah Mati.

Sebelumnya, sastera Malaysia ditandai oleh zaman kebangkitan penulis muda seawal tahun 1980-an; berdarah muda, berjiwa muda dan berfikiran muda. Kemampuan daya kreativiti mereka dalam berkarya bersifat rencam, provokatif dan bebas batas sempadan pengkaryaan.

Mereka mahu “memerdekakan” tema apabila berkarya dan bebas menyatakan apa-apa yang terbuku dalam hati, bergelora dalam jiwa dan mengasak minda.

Merka menghargai nikmat bereksperimen dalam suasana hati yang merdeka dan penuh kebebasan berekspresi. Mereka juga berani memanipulasi seni puisi tanpa melewati batas sempadan peradaban dan masih subur dengan prinsip kepengarangan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.