Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Alor Setar – “Ramai penulis muda yang terdiri daripada kanak-kanak menghantar karya berupa puisi dan cerpen serta cerita rakyat untuk disiarkan dalam majalah Dewan Pelajar. Pelajar boleh mendapatkan majalah ini untuk tujuan penghantaran karya dan setiap karya ada bayaran honorarium,” ujar Joe KAS dalam Program Bengkel Penulisan Kreatif Kanak-Kanak.
Para pelajar darjah satu hingga enam dari lima buah sekolah rendah dalam daerah Kota Setar, Baling, Sik, Pokok Sena dan Kubang Pasu terpilih menyertai program tersebut sempena Festival Sastera dan Seni Kanak-Kanak 2024.
Festival tersebut yang berlangsung selama dua hari tersebut diadakan di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah, Alor Setar.
Mohd Zulkamal Ismail atau lebih dikenali sebagai Joe KAS yang merupakan Ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dijemput khas untuk membicarakan tentang penulisan kreatif kanak-kanak melibatkan puisi, cerpen, novel, cerita rakyat dan buku cerita bergambar kanak-kanak.
Ujarnya,
Untuk menulis puisi atau sajak mahupun membacanya, puisi atau sajak itu mestilah bermatlamatkan nasihat dan juga kebaikan. Jangan angan-angan semata-mata kerana boleh membawa kesan yang tidak baik. Dengan meluahkan perasaan, cinta dan kasih sayang, maka itu merupakan bahasa puisi.
Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa mengarang atau menulis sebuah puisi perlu mengetahui tentang tekniknya.
Kita perlu banyak membaca puisi yang ditulis oleh penyair yang sudah lama berkecimpung dalam dunia sastera.
Tambahnya, para pelajar perlu terlebih dahulu memahami pengertian tentang cerpen dan novel. Beliau juga menyarankan agar para pelajar membaca karya-karya kreatif yang diterbitkan dalam majalah terbitan DBP, terutamanya majalah Dewan Pelajar.
Ramai penulis muda yang terdiri daripada kanak-kanak menghantar karya berupa puisi dan cerpen serta cerita rakyat untuk disiarkan dalam majalah Dewan Pelajar. Pelajar boleh mendapatkan majalah ini untuk tujuan penghantaran karya dan setiap karya ada bayaran honorarium.
Bengkel yang diadakan itu diharapkan akan menjadi landasan terbaik dalam melahirkan lebih ramai penulis muda yang boleh menghasilkan karya yang lebih baik dan sempurna.