Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangWan Nor Azriq (kolumnis Tunas Cipta) tabuh senarai buku terbaik abad ke-21 The New York Times.
Sepatutnya kita ketengahkan buku-buku terbaik dari rantau kita yang memang tidak akan mendapat liputan media antarabangsa. Bilakah kali terakhir anda lihat pembaca kongsi kumpulan cerpen Roslan Jomel? Atau novel Anwar Ridhwan? Atau kumpulan cerpen Julya Oui? Atau novel Saat Omar?
Siapa yang patut memberitahu pembaca buku apa untuk dibaca?
Antara buku puisi terawal yang saya beli dan baca ialah Segugus Embun oleh Hilmi Rindu. Saya membelinya di Perpustakaan Awam Alor Setar ketika Dewan Bahasa dan Pustaka membuat jualan buku. Saya tidak kenal siapa Hilmi Rindu. Umur saya 19 tahun pada ketika itu.
Pengalaman saya dengan puisi hanya terbatas terhadap puisi-puisi yang saya baca untuk menjawab kertas peperiksaan KOMSAS. Tapi saya tertarik kepada puisi pendek dan objek-objek harian yang dibawa oleh Hilmi. Saya tidak pernah tahu sebuku roti, sepasang kasut, sudu dan garpu boleh menjadi imej kepada sesuatu yang bermakna dan indah. Justeru, pada masa itu, saya menganggap Segugus Embun sebagai sebaik-baik buku puisi yang pernah ditulis oleh mana-mana penyair.
Waktu kemudian perlahan-lahan memantangkan usia dan pengalaman pembacaan saya. Di universiti saya diajar dan dilatih untuk membaca secara dekat karya Franz Kafka, Emily Bronte, Joseph Conrad, Ivan Turgenev, William Faulkner, Ernest Hemingway, dan Albert Camus.
Setiap pengarang ini membawa saya kepada pintu pembacaan yang baru. Kafka membawa saya kepada Kierkegaard dan Murakami. Turgenev membawa saya kepada Chekhov dan Dostoyevsky. Sebahagian besar waktu saya dihabiskan di atas lantai perpustakaan universiti sambil menyandar pada rak buku. Duit poket saya hanya cukup untuk bayar yuran, isi minyak kereta, dan makan. Saya tidak ada duit lebih untuk membeli buku-buku terbitan Penguin Modern Classics.
Saya masih ingat memegang novel Italo Svevo, Zeno’s Conscience dengan imej dekat empat putung rokok pada kulit depannya. Disebabkan harganya terlalu mahal, maka saya memendam keinginan untuk suatu hari nanti memiliki edisi Zeno’s Conscience yang sama. Italo Svevo secara tidak langsung masuk ke dalam senarai pengarang yang saya ingin baca. Saya tidak tahu pun siapa Svevo dan bagaimana beliau menulis, tapi imej empat puntung rokok itu melekat di fikiran saya.
Tujuan saya kongsi pengalaman di atas adalah untuk menunjukkan bahawa jalan menuju ke dalam sastera ada pelbagai dan bercabang-cabang. Kerap kali penemuan paling bermakna – seperti menemui sahabat baru – ialah penemuan yang berlaku secara tidak sengaja. Kita tidak minta ia datang, namun ia hadir seperti ombak yang meruntuhkan tembok dan memadamkan api.
Salah satu ombak itu ialah Virginia Woolf. Saya menemui Woolf kali pertama bukan melalui novel atau eseinya, tapi melalui sekeping foto yang mengiringi ulasan Mrs. Dalloway dalam buku katalog 1001 Books You Must Read Before You Die susunan Peter Boxall.
Fotonya hitam putih. Kita memandang Woolf dari sisi; matanya melihat sedikit ke bawah seolah-olah mencari sesuatu atau fikirannya sedang melayang ke suatu tempat jauh. Foto itu membangkitkan rasa ingin tahu dan mendorong saya untuk mula membaca karya beliau.
Dengan demikian, apabila The New York Times (TNYT) baru-baru ini menyiarkan senarai berjudul “100 Best Books of the 21st Century”, saya mengeluh panjang kerana saya tahu ia pasti akan mengecewakan.
Menurut TNYT, senarai ini dibuat berdasarkan undi 503 pengarang dan pencinta buku. Antaranya termasuklah Stephen King, Sarah Jessica Parker, Jonathan Lethem, Bonnie Garmus, malah Karl Ove Knausgaard. Barangkali ramai akan kata, kenapa nak serius sangat?, senarai hanya hiburan, peluang untuk meraikan buku dan membuka perbincangan di meja kopi.
Betul, saya memang tidak pernah memandang dengan sebelah mata pun apa-apa senarai yang dikeluarkan oleh media arus perdana. Tapi apa yang berlaku ialah komuniti pembaca di serata, termasuk pembaca kita di Malaysia, meraikan senarai ini seolah-olah mereka bersetuju bahawa inilah buku-buku terbaik pada abad kedua puluh satu.
Sebagai rujukan pembaca makalah ini, saya turunkan 10 buku terbaik dalam senarai itu:
Berdasarkan senarai 10 terakhir ini sahaja kita boleh nampak ada beberapa masalah besar.
Pertama, yang paling jelas, majoriti buku yang diundi ialah novel. Maka, kenapa senarai ini disebut sebagai “buku” terbaik, padahal sah-sah novel yang paling banyak. Di mana buku puisi, kritikan, falsafah, atau kajian sains? Adakah sidang editor TNYT memberi sebarang panduan kepada pengundi atau mereka membiarkan sahaja pengundi membuat pilihan sewenang-wenangnya?
Katakanlah senarai ini memang ingin mengetengahkan genre novel; baiklah, ayuh kita lihat kualiti novel-novel yang terpilih. 2666? Lepas. Austerlitz? Lepas. Tapi The Corrections? Never Let Me Go? Meragukan, malah perut saya memulas melihat nama Jonathan Franzen ada dalam senarai 10 terbaik.
Kita berilah peluang. Saya selongkar novel-novel dalam baki 90 buah buku: The Road (bukan novel terbaik Cormac McCarthy), The Amazing Adventures of Kavalier & Clay (memualkan), Lincoln in the Bardo (membosankan), Atonement (bolehlah), On Beauty (lepas), The Flame Throwers (terlalu biasa), The Plot Against America (bukan novel terbaik Philip Roth), The Copenhagen Trilogy (terlalu biasa). Buku George Saunders sahaja ada sampai tiga buah dalam senarai ini.
Tapi tidak ada satu pun buku daripada Don DeLillo, Joyce Carol Oates, Steven Millhauser, David Foster Wallace, Ben Marcus, atau Thomas Ligotti? Itu baru pengarang Amerika Syarikat. Di mana buku Karl Ove Knausgaard, Cesar Aira, Mathias Énard, Enrique Vila-Matas, Anne Carson, atau Orhan Pamuk?
Saya sebut nama-nama pengarang yang memang ada bukunya dalam terjemahan bahasa Inggeris dan keberadaan mereka di pentas sastera dunia tidak dinafikan lagi.
Barangkali anda akan mencelah sambil sebelah tangan masih mengemas kini gambar di Instagram Stories , “Oh, senarai ini disiarkan untuk pembaca di Amerika Syarikat.” Makanya…, kita patut abaikan terus dan bukannya buat status rasa bersalah dalam media sosial seolah-olah hendak mengejar sangat 100 buku pilihan TNYT tersebut.
Sepatutnya kita ketengahkan buku-buku terbaik dari rantau kita yang memang tidak akan mendapat liputan media antarabangsa. Bilakah kali terakhir anda lihat pembaca kongsi kumpulan cerpen Roslan Jomel? Atau novel Anwar Ridhwan? Atau kumpulan cerpen Julya Oui? Atau novel Saat Omar?
Sebenarnya tidak ada sesiapa yang boleh memberitahu apa buku kita patut baca. Senarai terbaik masih koleksi buku di perpustakaan rumah masing-masing. Setiap satu buku mempunyai sejarah dan memori pertemuan yang manis dan membahagiakan. Itu sahaja sudah cukup.