17 Julai 2024, 10:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Fasyali Fadzly memperkatakan tentang kejiwaan teater Persiapan Seorang Aktor, tulisan Saat Omar dan arahan Syahrul Musa.

Persiapan Seorang Aktor adalah tentang suami dan isteri, tentang fantasi dan realiti, tentang menghidupkan dan mematikan, tentang obsesi dan kompromi, tentang yang arkaik dan kontemporari, tentang yang lekeh dan autentik, tentang puris dan modenis, tentang yang kekal dan beranjak.

Saya pernah menonton teater Persiapan Seorang Aktor, tulisan Saat Omar lama dahulu ketika pertama kali dipentaskan. Tidak pasti tahun bila. Ingatan saya tidak begitu jelas. Yang saya ingat, teater itu dipentaskan di perkarangan terbuka di UiTM Puncak Perdana.

Ada adegan mandi tab, pelakon Saddiq M. Jamil dan arwah Mazlan Tahir, serta malam gelap dengan bunyi trafik sekitar Puncak Perdana semasa menonton cerita tersebut. Ceritanya saya langsung lupa kecuali pokok ceritanya – cerita seorang pelakon dalam proses menyediakan watak untuk pementasan baharunya.

Teater ini kemudiannya dipentaskan untuk penilaian pelajar – yang saya tidak tahu menahu pementasannya. Diarahkan oleh Syahrul Musa dan dilakonkan oleh pelajar UiTM sebagai projek tahun akhir mereka. Untuk pementasan mutakhir, ia diarahkan sekali lagi oleh Syahrul Musa tetapi dilakonkan oleh Aloy Paradoks (sebagai Saddiq Saufy), Fazleena Hishamuddin (sebagai Nina) dan Syahrul Musa (sebagai Pengarah). Dipentaskan di Studio Sedar Ruang milik Walid Ali pada 26 – 30 Jun 2024. Saya menonton sekali lagi teater ini pada 29 Jun 2024.

Persiapan Seorang Aktor yang menampillkan gandingan mantap Aloy Paradoks dan Fazleena Hishamuddin sebagai pasangan suami isteri.

Menonton teater berulang kali tidak sama pengalamannya dengan menonton filem berulang kali. Filem akan kekal bentuknya setiap kali kita menontonnya. Mungkin perspektif kita yang berubah dan semakin membesar apabila menonton filem. Filem tersebut kekal sama.

Tetapi tidak teater. Teater yang sama – jika dipentaskan berulang kali – akan berubah. Sentiasa berubah dan membesar dari saat ke saat, minit ke minit, hari ke hari, produksi ke produksi. Tidak akan sama dan sentiasa mengalami remediasi (remediation).

Saya kira, Syahrul faham akan hal ini – sebab itu dia mengambil keputusan untuk mementaskannya sekali lagi dengan mengambil pelakon-pelakon yang lebih matang.

Sebagai pengarah, Syahrul sedar bahawa teater ini ada potensi yang sangat besar untuk menjadi “besar” di luar skop penilaian pelajar. Dia memilih untuk dipentaskan di ruang kecil untuk mengembangkan potensi skrip ini. Suatu paradoks – membesarkan naskhah di ruang kecil – tetapi berkesan.

Saya pula, menonton buat kali kedua daripada versi yang pertama, turut membesar menelaah naskhah ini. Teater ini bukanlah satu-satunya teater tempatan pertama yang saya tonton berulang kali. Saya tidak teragak-agak menonton naskhah teater yang bagus untuk ditonton berulang kali.

Seperti yang dinyatakan oleh Syahrul dalam buku program, kerjasama mereka bertiga adalah setelah sekian lama tidak berproduksi bersama. Masing-masing, setelah 14 tahun, membawa pengalaman kolektif dan perkembangan peribadi di dalam teater ini sejak pertama kali mereka bekerjasama dalam teater 1 Plastik Hitam, 14 tahun lalu. Oleh itu, Persiapan Seorang Aktor yang kita tonton ini terhasil daripada banyak kematangan yang dilalui oleh mereka.

Naskhah drama ini membentangkan kepada kita kisah pelakon teater bernama Saddiq Saufy yang begitu obses dengan gaya lakonan The Method. Dia perlu menderita untuk menyelami dan memerankan watak Hamlet untuk produksi terbaharunya. Obsesi Saddiq difahami oleh isterinya, iaitu Nina yang sangat memahami kerjaya suaminya. Dia juga mencintai suaminya dan sanggup melakukan apa-apa sahaja demi menyokong kerja kreatif suaminya.

Ada satu adegan, Nina putus asa dan bertindak keluar rumah meninggalkan suaminya, tetapi dia kembali semula kerana tidak sanggup meninggalkan suaminya. Mereka memang nampaknya saling memerlukan walaupun hakikatnya rumah mereka tidak mempunyai makanan. Ini seperti sindiran bahawa orang teater tidak boleh buat duit dan kekal bersusah payah walau bersemangat macam mana sekalipun.

Dinamik cerita berubah apabila watak Pengarah hadir ke rumah memujuk Saddiq untuk kembali hadir ke latihan (rehearsal). Ruang privasi yang selama ini menjadi ruang bertolak ansur dan perundingan bertukar menjadi ruang asakan dan intimidasi. Pengarah sehingga satu ketika meninggikan suara untuk memaksa Saddiq kembali berlatih dan meninggalkan obsesinya berlakon menggunakan gaya lakon The Method.

Masing-masing kemudiannya meninggalkan Saddiq di atas pentas keseorangan dan perlahan-lahan Saddiq melontarkan solilokui (soliloquy) penting Hamlet – to be or not to be – dalam bahasa Melayu, menggunakan petikan daripada Hamlet yang diterjemahkan oleh Ahmad Yatim, iaitu “bertindak atau tidak” sebagai ganti “to be or not to be”.

Babak Pengarah (kiri, lakonan Syahrul Musa) datang memujuk Saddiq Saufy (lakonan Aloy Paradoks) untuk kembali menjalani latihan teater.

Saat Omar meneroka tema obsesi dalam karyanya. Dia menggunakan drama Hamlet sebagai alat untuk meneroka tema ini. Hamlet, seperti yang kita ketahui mengisahkan tentang seorang putera raja Denmark yang mahu membalas dendam terhadap kematian bapanya. Dia sangat berdendam dan begitu obsesif untuk membunuh orang yang menyebabkan kematian bapanya.

Yang menarik dalam Persiapan Seorang Aktor ialah konsep binari dalam watak Saddiq dan Hamlet – obsesi watak Hamlet mahu membunuh watak lain iaitu bapa saudaranya, manakala dalam Persiapan Seorang Aktor obsesi watak Saddiq untuk menghidupkan watak lain, iaitu Hamlet.

Tema obsesi ini bukan setakat wujud di dalam watak Hamlet dan Saddiq sahaja, tetapi menerusi watak Nina yang sangat obsesif terhadap kerjaya suaminya. Nina mandikan suaminya, menyediakan makanan untuk suaminya (walaupun dapur mereka tidak punya apa-apa), sedia berlatih lakon bersama dan apa-apa sahaja yang dapat membantu suaminya menjayakan lakonannya.

Hubungan intim suami isteri ini dilakonkan dengan baik sehingga kita percaya bahawa kejayaan Saddiq adalah kerana sokongan Nina yang tidak berbelah bahagi. Nina digambarkan sebagai seorang wanita yang tidak materialistik. Tidak sekalipun mereka bergaduh kerana ketiadaan makanan di rumah kecuali melibatkan hal-hal lakonan dan kerja kreatif. Mereka boleh berkompromi tentang hal itu demi obsesi kedua-duanya terhadap kerja-kerja seni.

Malah, di dalam dialog ada memetik bahawa kejayaan teater Malaysia bergantung kepada sokongan Nina terhadap kerjaya suaminya. Sesuatu yang lucu dan agak melampau tetapi berkesan dalam konteks cerita ini.

Kegemilangan teater Malaysia bergantung kepada sokongan Nina terhadap kerjaya suaminya.
Babak Saddiq Saufy melontarkan solilokui penting naskhah Hamlet dalam bahasa Melayu dengan penuh penghayatan.

Mungkin watak yang tiada obsesi ialah Pengarah – yang dilihat lebih realistik dalam menangani permasalahan ini. Pengarah sanggup berkompromi dengan prinsip The Method demi meneruskan produksi teater. Meninggalkan formula atau teknik lakonan yang arkaik demi kelancaran produksi. Dia meminta Saddiq untuk tidak terlalu obsesif dengan gaya lakonan The Method demi kelancaran produksi.

Hal ini malah menunjukkan yang Pengarah mungkin mempunyai pendekatan lakonan yang lain untuk menyampaikan ceritanya – asal sahaja produksi dapat berjalan dengan lancar.

Sebagai konteks, buku An Actor Prepares tulisan Stanislavsky yang diterbitkan pada tahun 1936 menjadi kitab utama sistem lakonan moden pada ketika itu sehingga menjadikan The System (atau orang Amerika menyebut, The Method) gaya lakon terpenting abad ke-20. Namun, usia teknik lakonan ini sudah hampir mencapai usia satu abad dan kini dianggap sebagai suatu teknik lakon yang lapuk dan arkaik.

Watak Pengarah dalam Persiapan Seorang Aktor menyedari akan hal ini, tetapi tidak Saddiq. Saddiq masih dengan fahaman tradisi tersebut. Malah dalam dunia seni lakon di Malaysia sekarang pun, masih ada lagi pelakon yang menganggap The Method ialah teknik lakon yang paling unggul. Inilah yang menjadikan pertembungan tradisi-moden dalam konteks ilmu lakonan di dalam naskhah ini.

Kekuatan Persiapan Seorang Aktor bukan sahaja terletak terhadap pemaparan tema-tema yang struktural tetapi bagaimana pelakon-pelakon menterjemahkannya di atas pentas. Gandingan Aloy Paradoks dan Fazleena Hishamuddin sebagai pasangan suami isteri dalam naskhah ini merupakan gandingan yang tepat.

Kedua-duanya bukan sahaja memahami kehendak naskhah tetapi memahami konteks teater ini yang banyak mengkritik landskap seni teater dan hiburan di Malaysia. Terdapat banyak rujukan-rujukan kontemporari yang dibuat secara terus sehingga mengundang gelak tawa para penonton. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa lakonan Aloy Paradoks adalah yang paling matang setakat ini yang pernah saya tonton.

Mungkin kematangan lakonan Aloy disebabkan penglibatannya bukan sahaja di pentas teater tetapi terlibat sebagai pelakon skrin, jurulatih lakon, penulis dan karyawan yang menceburi pelbagai bidang seni arus perdana dan juga mandiri membuatkannya mempunyai perspektif yang luas.

Persiapan Seorang Aktor adalah tentang suami dan isteri, tentang fantasi dan realiti, tentang menghidupkan dan mematikan, tentang obsesi dan kompromi, tentang yang arkaik dan kontemporari, tentang yang lekeh dan autentik, tentang puris dan modenis, tentang yang kekal dan beranjak.

Pertembungan-pertembungan binari ini menjadi inti untuk diketawakan oleh penonton dan kita semua. Walaupun dipersembahkan dalam nada yang lucu, ia membawa wadah yang besar untuk kita tekuni bersama tentang perihal seni dan kesenian di Malaysia.

Saya mendengar ura, ada yang meminta untuk teater ini dipersembahkan di ruang yang lebih besar untuk dihadiri penonton yang ramai. Namun saya berpendapat, biarlah ia membesar dalam ruang yang kecil dari mengecil dalam ruang yang besar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.