Oleh Hafizul Osman
20 Jun 2024, 17:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perubahan zaman yang berlaku menjadikan pembacaan komik dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia semakin meningkat berbanding dengan 15 hingga 20 tahun yang lalu.

Perkara ini dinyatakan oleh Nazry Salam, penulis siri komik Misi dalam program Cakna Bahasa dengan tajuk “Potensi Komik dalam Memupuk Amalan Membaca” yang disiarkan secara langsung di Bernama Radio. Program Cakna Bahasa ini dianjurkan secara bersama antara Bernama Radio dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Menurut Nazry Salam, komik merupakan bahan bacaan loncatan ataupun jambatan kepada kanak-kanak sebelum beralih kepada bacaan yang lebih berat.

Komik turut dapat membantu membina momentum bacaan dalam diri kanak-kanak apabila mereka akan mencari komik lain setelah selesai komik yang dibaca sebelumnya. Ujarnya,

Dari situ, kanak-kanak akan mula beralih kepada bahan bacaan yang mempunyai banyak teks seperti novel detektif, cerpen dan akhirnya kepada novel yang tebal.

Beliau sendiri berkongsi tentang pengalamannya apabila dirinya mula membaca komik-komik dari Hong Kong sebelum perlahan-lahan membaca novel-novel detektif seperti Siri Hardy Boys dan Siri Nancy Drew.

Kemudian, beliau beralih pula kepada novel yang lebih berat dan cerpen. Antara bacaan beliau termasuklah novel Saga Artakusiad yang ditulis oleh Ahmad Patria Abdullah terbitan DBP.

Melalui komik Misi yang ditulis oleh Nazry Salam dan adiknya, Afiq Salam, mereka ingin membawa pembaca terutamanya kanak-kanak menyelami keseronokan membaca dengan memasukkan elemen seperti sedih, komedi dan suspens. Hal ini dapat membantu pembaca menghilangkan stres selepas penat belajar.

Selain itu, beliau turut memberikan saranan kepada ibu bapa agar tidak risau jika anak mereka kurang membaca kerana setiap kanak-kanak mempunyai waktu mereka yang tersendiri untuk memulakan pembacaan.

Beliau juga menyarankan agar ibu bapa membantu tahap pembacaan anak mereka selepas pembacaan komik dengan mendedahkan mereka kepada bacaan lain seperti novel grafik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.