Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAliff Awan selesai membaca buku kumpulan cerpen Farahin W, Komedi Orang Minyak dan mengajak pembaca turut resah bersama-sama dengan segala “bala” yang terselit dalam cerpen-cerpen beliau.
Mungkin penulis boleh menganggap bahawa dia bukan seorang pengarang yang bersungguh-sungguh untuk menulis cerita dengan segera, namun dia ialah penulis yang bersungguh untuk memberitahu nasib perempuan di Malaysia ini.
Ada banyak kejahatan yang berlaku. Kita memerhati dan hati kita berempati, namun hukuman tetap murupakan keputusan hakim di mahkamah. Mungkin kita sering tidak bersetuju, tapi akhirnya kita cuma individu yang sedang duduk di kerusi rumah, menonton berita dan memberi reaksi.
Rasa tidak setuju merupakan sebuah reaksi. Di sebalik kaca TV, kita berharap kejahatan tidak lagi disembunyikan atau diberikan hukuman yang tidak memberi kesan. Kita mengharapkan sesuatu yang lebih celaka menimpa orang jahat. Kita mengharapkan sengsara yang menyinggah atau bala yang akan turun.
Kita mungkin seperti Farahin W.
Hadir dengan buku himpunan cerpen pertama Komedi Orang Minyak yang diterbitkan oleh Rocky Press, Farahin W secara terang-terangan memberikan reaksi dan respons terhadap isu semasa, terutamanya hal sekitar keluarga dan kedudukan wanita di mata masyarakat.
Dengan. Menurunkan. Bala.
Ketika sekolah dahulu, kita perlu belajar tentang ragam beberapa kaum jahiliah pada zaman nabi. Antaranya ialah tentang kelahiran anak perempuan yang sering tidak diredai dan bayi-bayi yang tidak berdosa ini akan dibunuh. Peristiwa ini sempat dirakam dalam cerpen “Sumpah Halimah”.
Suatu malam, Halimah telah melahirkan seorang bayi perempuan lalu seluruh penduduk Kampung Jantan bertempik dan melempar batu ke rumahnya kerana dianggap membawa petaka. Selepas rumahnya diludah dan dilempar najis, isteri Haji Baharom itu bersumpah bahawa apabila anaknya itu menjadi perempuan, dengan nama Tuhan, Kampung Jantan bukan lagi Kampung Jantan.
Sumpahannya itu membawa hujan yang tidak lagi damai. Malah, selepas Halimah, ada beberapa lagi isteri yang melahirkan anak perempuan. Hal itu membuatkan suasana kampung sikit pun tidak tenteram dek hujan yang menurunkan titisan darah dan ketulan-ketulan darah beku.
Kampung berbau hanyir sebelum banjir hadir, menenggelamkan semua yang dewasa. Bayi-bayi perempuan terapung di atas air sebelum diselamatkan bot penyelamat.
Secara ringkas, hal ini yang berlaku di Kampung Jantan. Farahin W menolak idea bahawa bayi perempuan merupakan satu petaka untuk komuniti yang berfikiran sempit. Lalu, sebagai tuan kepada cerita-ceritanya, dia menurunkan bala maha dahsyat, supaya masyarakat di situ terseksa dengan kejahatan yang dibuat oleh mereka sendiri.
Dari jauh, mungkin isu yang dibawa penulis asal Johor ini telah lapuk. Malah, kalau kita lihat media sosial dan menyelak akhbar, sekarang memang tidak ada bayi perempuan yang dibunuh kerana alasan yang sama.
Namun, dalam apa-apa cara pun, baik berpakaian, berinteraksi, hatta berbuat baik atau menyantuni budi, selangkah tingkah perempuan, maka mereka ini akan dipersoalkan. Biarpun apa-apa tindakan yang dibuat mirip dengan gerak-geri seorang lelaki.
Sebuah kampung. Sebuah peristiwa. Sebuah bala akan diturunkan. Ini adalah formula tulisan Farahin W dalam himpunan cerpen kali ini.
Formula ini turut dipakai dalam cerpen (i) “Cerita Orang Mengandung” dan (ii) “Kisah Milah Taat Suami”. Menerusi cerpen (i), semua ibu anak satu yang mengandung tidak dibenarkan bersalin kerana ketua kampungnya mengharamkan sesebuah keluarga beranak dua. Mereka terpaksa menanggung bunting lebih daripada 11 bulan. Suatu hari, seorang dara dikahwinkan dengan ketua kampung dan akhirnya dibenarkan beranak dua.
Cerpen (ii) pula mengisahkan Milah yang melarikan diri dari rumah. Seluruh kampung menggesanya untuk kembali ke pangkuan suami, termasuklah ibunya. Selepas didesak, maka Milah pun kembali ke rumah suami, menjahit bahunya dan bahu lelaki itu supaya dia memenuhi permintaan orang kampung, supaya dia kekal “setia” di pangkuan suami.
Cerita (ii) ini terlalu jelas akan bala yang diturunkan. Resah penduduk kampung membawa sengsara kepada Milah sebelum dia menurut kehendak supaya orang kampung gembira. Pendapat penduduk ini merupakan sebuah bala yang Milah perlu pikul sendirian.
Sementara dalam kisah (i) pula, balanya telah diturunkan lebih awal apabila para ibu ini tidak dibenarkan bersalin biarpun bunting. Ini ialah seksaan yang ditanggung seorang wanita apabila nafsu suami dan isteri dilempiskan. Untuk menghapuskan bala, para ibu terpaksa bersepakat memperkenalkan seorang gadis kepada ketua kampung supaya mereka tidak lagi tersiksa.
Segala “bala” dalam cerpen-cerpen ini ialah sebuah hukuman yang penulis harapkan menimpa kepada semua pelaku kejahatan. Ia mungkin mirip dengan hukuman yang kita sering harapkan ketika memberikan reaksi tidak setuju terhadap apa-apa kes salah laku yang tersiar dalam TV.
Secara keseluruhan, Komedi Orang Minyak cukup untuk memperlihatkan bahawa Farahin W mahu menjadi penulis yang bagaimana dalam konteks konsistensi penceritaan dan isu yang diketengahkan.
Namun, apa yang merisaukan ialah ada masanya ketika penulis ini terlalu ingin mengetengahkan isu, terdapat cerita yang gagal digarap dengan baik. Misalnya dalam cerpen “Mencari Wagyu Di Daerah Kemiskinan”.
Malah, sekalipun kita boleh bersetuju penulis yang sering berbaju kurung ini boleh bercerita dengan elok, kita juga boleh menganggukkan kepala bahawa bahasa tulisannya tidaklah istimewa. Mungkin sebab genre “kebenaran” yang sering ditulis, jadi tidaklah juga tulisannya perlu berbunga.
Di awal buku, penulis mencatat sedikit nota. Katanya,
…proses menulis saya selalu panjang. Antara sebuah cerpen dengan yang satu lagi ada jeda yang lama. Jadi, saya bukanlah seorang pengarang yang bersungguh.
Lebih baik kalau kita katakan bahawa Farahin W berhadapan dengan masalah ini adalah kerana dia cenderung untuk mengungkapkan isu semasa dalam cerita-ceritanya. Malah, bukan semua isu semasa akan dijadikan sebuah cerita secara membuta-tuli. Hanya yang tertentu. Hanya yang menjentik hati Farahin W.
Terutamanya isu sekitar perempuan. Mungkin penulis boleh menganggap bahawa dia bukan seorang pengarang yang bersungguh-sungguh untuk menulis cerita dengan segera, namun dia ialah penulis yang bersungguh untuk memberitahu nasib perempuan di Malaysia ini.