Oleh Firdaus Mul
14 Jun 2024, 15:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cerita rakyat merupakan satu daripada cabang yang terdapat dalam genre kesusasteraan Melayu tradisional. Cerita rakyat merupakan cerita lisan yang diperturunkan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya yang sarat dengan nilai moral dan budaya.

Perkara ini dijelaskan secara terperinci oleh Prof. Madya Dr. Roslina Abu Bakar yang juga merupakan Pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, dalam temu bual Sembang Tamu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini. Ujarnya;

Cerita rakyat Melayu terhasil sejak zaman tradisi, tetapi kita boleh implementasi dalam konteks moden bersesuaian dengan teras Madani.

Beliau membuka tirai perkongsiannya dengan menegaskan kekuatan yang dimiliki oleh cerita rakyat. Walaupun terhasil pada masa lampau, namun cerita rakyat tersebut masih berupaya untuk diterapkan dalam kehidupan generasi kini.

Hal ini demikian kerana, cerita rakyat memainkan fungsi yang besar dalam ruang lingkup sosial.

Cerita rakyat mampu menjadi saranan advokatif, budaya, sosial dan sebagainya. Individu yang mendengar atau membaca cerita rakyat akan memperoleh pengetahuan sejarah, budaya, pengajaran dan nilai moral, tradisi adat istiadat, serta menguatkan lagi identiti kolektif.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa cerita rakyat juga mampu menjadi penyumbang kepada keseimbangan jati diri dan keintelektualan generasi kini.

Hal ini kerana cerita rakyat Melayu bersifat universal dan mempunyai intipati menarik mewakili bangsa Melayu. Secara tidak langsung hal ini dapat menyuntik jati diri serta mengembangkan kreativiti dan identiti.

Cerita rakyat Melayu ini dapat menyuntik elemen jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah individu.

Sementara itu, beliau turut berpendapat bahawa penyampaian cerita rakyat juga merupakan proses interaktif dan komunikasi yang pada akhirnya akan meninggalkan kesan kepada pembaca atau pendengarnya.

Kesan itulah yang akan diaplikasikan dalam kehidupan seharian untuk menjadi insan yang berguna.

Beliau juga mencadangkan agar cerita rakyat Melayu dibugar dalam kalangan kanak-kanak kerana proses mendidik bermula dari zaman kanak-kanak.

Cerita Rakyat Melayu mempunyai unsur kecerdikan dan inovatif khususnya dalam cerita Pak Pandir dan Si Luncai.

Bagi beliau, untuk membentuk semangat dan jiwa bangsa generasi Madani melalui cerita rakyat bukanlah sesuatu yang mustahil. Melalui pemupukan kebanggaan terhadap warisan budaya, implementasi dalam bentuk baharu dan tidak meninggalkan penyampaian nilai moral dan etika, generasi kini bukan sahaja mengetahui perihal cerita rakyat Melayu, malah berupaya membentuk etika mulia.

Pada akhir temu bual, beliau sempat menegaskan bahawa cerita rakyat Melayu dilihat begitu selari dengan enam teras masyarakat Madani, yakni kemampanan, hormat, kesejahteraan, keyakinan, daya cipta dan ihsan.

Semuanya sarat terkumpul dalam cerita rakyat Melayu yang seharusnya dihadam dan ditelaah oleh masyarakat di Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.