14 Jun 2024, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Muhammad Aiman melihat filem How to Make Millions Before Grandma Dies dan mempertunjukkan cebis-cebis rasanya.

Rasai potongan-potongan kek ini, dan kenyangkan hati dengan secebis ingatan dan perasaan.

 

Ini bukan resensi kek:

Nama kek: How to Make Millions Before Grandma Dies

Perisa: Sepotong Kehidupan (slice of life)

 

Ada kek yang perlu dirasai setiap bahagiannya. Perlu dipotong perlahan-lahan, satu demi satu. Setiap potongan harus tidak dipotong dengan pantas. Gerak perlahan menghiris setiap lapisan.

Kerana hakikatnya, genre sepotong kehidupan tidak menjanjikan kejutan.

Ketika kita membeli kek tadi, kita seolah-olah sudah menjangkakan apa rasa yang ada. Kek pandan? Kek coklat? Kek keju? Pembuat dan penjual kek sudah meletakkan judul perasaan yang akan timbul.

Namun, ketika kita mula memotongnya kepada potongan-potongan halus, kita tidak akan dapat menebak sepenuhnya apa yang akan dikecap lidah.

Mungkin ada cebis-cebis badam dalam setiap potongan. Mungkin ada hiris nipis strawberi terselit di sebalik aising. Mungkin juga ada seketul “bongkah” serbuk kopi yang belum benar-benar lumat dalam adunan, lantas menjadi perasa pahit dalam kek tadi. Kalau kurang bernasib baik, mungkin ada cebisan telur dari adunan yang kurang teliti.

Itulah realiti dalam karya secebis kehidupan. Ketika kita membaca sinopsis di dada Instagram, menonton iklan acah di YouTube, dan membeli tiket di layar berukuran separuh badan, kita hakikatnya merasakan bahawa kita sudah tahu perjalanan cerita.

Namun, hal itu tidak menghalang kita untuk terus menekan butang bayar, lantas mengoyakkan tiket dan melangkah masuk ke dewan panggung.

Kerana kita percaya bahawa yang kita beli bukan semata-mata perasaan, tetapi juga pengalaman. Kita ingin kembali merasakan rasa-rasa biasa yang sudah sering kita alami.

Kita menjangka rasa, dan dalam masa yang sama, tidak menjangka apa yang akan dirasai.

Lantas, ketidakjangkaan itu dipenuhi dengan baik oleh filem ini. Filem How to Make Millions Before Grandma Dies bukan semata-mata slice of cake, namun ialah slices of cake. Himpunan potongan kehidupan yang membentuk sebuah kek lengkap. Adunan daripada beberapa bahan biasa yang berbeza, namun saling memerlukan untuk membentuk sebuah cerita dalam setiap suapan, dan mengajak kita untuk terus mencari kek yang lain.

Mencari sepotong kehidupan dalam pengalaman yang lainnya. Mencari-cari cebisan badam atau perca keju dalam alur cerita yang biasa.

Plotnya sangat perlahan. Seolah-olah melihat kehidupan dengan kelajuan 0.5 sahaja. Tetapi, itulah tujuan dan karakter utama filem ini. Perlahan-lahan membawa kita ke penghujung, merenggut kita keluar daripada realiti, dan memasuki realiti seorang Amah dan memori seorang M.

Bahan utama untuk kek ini, ialah sebuah sisi klise seorang Amah yang dibawa kemas oleh Usha Seamkhum. Soalan sudah makan atau belum yang menjadi pembuka bicara tiap kali bertemu cucu cukup menjadi pengenalan kepada kita bahawa, “Ah, aku sedang melihat secebis masa laluku.”

Ditambah pula reminisensi rambang tentang bagaimana si cucu bersikap ketika kecil, yang menggambarkan bagaimana fikiran seorang tua yang melihat segala cerita yang “sudah” dalam setiap perkara. Hal-hal ini, dan beberapa perincian kecil lain yang wujud pada watak ini, hakikatnya sebuah suatu perkara klise.

Namun, klise tidaklah bermaksud tidak bermakna. Kita hidup dengan perkara klise, perkara rutin, dan perkara biasa. Sampai satu tahap, kita merasakan bahawa perlu ada perkara luar biasa agar hidup ini menjadi bermakna.

Sedangkan, perkara rutin inilah yang menjadi tiang kita setiap hari. Kesempurnaan yang kerap kali kita terlepas pandang kerana pengulangan hakikatnya sebuah perkara yang membosankan.

Namun, mungkin juga kita terlepas pandang tentang mengapa berulang. Hal ini kerana ia ialah sebuah kemestian dan keperluan. Nasi putih yang kita kecap saban hari pasti akan dirasakan bosan. Namun di akhir hari, ketika peluh titik ke bumi dan perut sedang rancak bergendang, yang kita cari ialah sesuap nasi. Nasi putih, kosong, dan tawar. Kekosongan dan ketawaran inilah keperluan yang ditawarkan oleh watak Amah. Kita kembali mengecap rasa yang pernah kita lalu ketika masih bertatih untuk berlari.

Si cucu yang berlari tadi pula, telah pun dewasa. Putthipong Assaratanakul berjaya membawa watak M yang inginkan keseronokan, jalan pintas, dan keselesaan. Pembinaan karakter si cucu digarap dengan sangat perlahan dan tidak terlalu memaksa.

Walaupun pembangunan watak ini mudah ditebak – iaitu seorang cucu yang ingin mendapatkan perhatian si Amah bagi memperoleh bahagian wasiat namun akhirnya insaf di penghujung – ia masih menyisipkan beberapa pandangan belas dan hakikat kasih seorang cucu kepada nenda.

Meneliti beberapa perbualan antara M dan Amah akan membuatkan kita terasa seakan, “Eh, yang ni macam dah disebutlah tadi,” sambil tersenyum. Ini lantas mewujudkan kesan telur Easter yang bukan sahaja dalam bentuk plot, bahkan dialog itu sendiri.

Bahan-bahan lain kek ini  juga memainkan peranan masing-masing, juga dengan kadar yang bersederhana. Konflik yang sangat tidak asing tentang perebutan harta, si anak yang kuat membantah dan hanya menghabiskan beras, ataupun mungkin lebih sesuai disebut sebagai congee iaitu bubur yang dijual Amah saban hari.

Malah, plotnya bukan sekadar perlahan, malah juga perlahan-lahan. Kesannya, tanpa kita sedar juga, ia dengan senyapnya memudarkan juga warna Amah daripada layar kaca. Daripada kehidupan M dan keluarga. Tetapi warna itu tidak hilang begitu sahaja. Ia mengalir perlahan sebagai warna baharu dalam kanvas M, dan alam sekaliannya.

Warnanya tidak terlalu pekat atau sarat. Ia tidak sekuat kek Red Velvet yang penuh dengan perisa, atau biskut Biscoff yang datang dengan manisnya. Tetapi tanpa kita sedar, ketika semua cerita sudah tamat, warna sudah kelam, skrin bertukar hitam dan mula melayarkan nama pelakon dan kru, mata kita yang sarat. Kesal dan rindu mula timbul pada wajah yang kesat.

Itulah yang saya alami seusai tamat filem ini. Sarat dengan tangis jantan di mata, dan juga sarat dengan rindu di dada. Rindu kepada mereka yang menjadi tempat diluahkan cinta. Ketika itu jugalah saya menyedari sebuah perkara.

Judul How to Make Millions Before Grandma Dies pada awalnya disangkakan sebagai sebuah motif yang ingin dicapai si M di sepanjang alur cerita. Namun seolahnya, ia merupakan sebuah impian si nenda untuk memenuhi cita-cita cucunya. Lantas, sekali lagi air mata tumpah membanjiri mata. Menghanyutkan bersama kenangan saya bersama-sama dengan kedua-dua nenda.

Semua perisa di atas tidak penulis rangkumkan dengan perinciannya. Seperti kek-kek di pasaran, hanya dengan membaca iklan tidak akan membuat mulut kita penuh dan perut jadi kenyang. Bangunlah perlahan-lahan semua. Buka layar Internet anda, dan tempah satu tiket untuk anda, dan beberapa tiket untuk yang tersayang. Rasai potongan-potongan kek ini, dan kenyangkan hati dengan secebis ingatan dan perasaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.