Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangNaim, dengan nukilan berdakwatkan air mata, bercerita pengalamannya membuat kajian tentang Anak Alam, dan berkisah tentang arwah Pyanhabib.
Tugas kalian kini adalah menghamburkan segala hal berkenaan Anak Alam supaya saya, anak saya, generasi saya tahu kewujudan komuniti seni yang dikatakan paling berjaya dalam sejarah seni di negara ini.
Pemergian Pyanhabib menyentak hati saya. Saya tidak mengenalinya sebagaimana orang lain mengenalinya. Saya mengenalinya agak lewat berbanding rakan-rakan saya yang lain. Saya mula berhubung dengan Pyanhabib pada Januari tahun lalu. Tujuannya adalah untuk meminta “restu” beliau bagi menyiapkan tesis Ijazah Sarjana Seni Kreatif berkenaan Anak Alam.
Panjang jika saya ingin nyatakan di sini bagaimana saya tertarik untuk membuat tajuk tersbut. Mungkin memerlukan nukilan warkah yang lain. Bukan mudah untuk meneruskan atau menyelesaikan pengajian di tahap ini dan bukan suatu perkara yang enteng untuk menyelidik mengenai topik ini.
Dan lagi, saya jarang untuk menceritakan tajuk tesis saya dalam ruang terbuka sebegini. Tetapi saya fikir inilah masanya untuk memberitahu kalian bahawa ada seorang budak kecil yang sedang menyiapkan tesisnya dengan tajuk “Penghasilan Biografi Seniman Anak Alam Berdasarkan Pendekatan Sejarah Lisan.”
Sebolehnya, saya ingin menemui semua “ahli” Anak Alam untuk menyelesaikan kajian ini. Tetapi apabila saya berada dalam ruang lingkup akademik, saya perlu objektif dan akhirnya kajian ini membawa kepada pemilihan lima orang ahli Anak Alam sahaja, dan salah seorangnya Pyanhabib.
Rakan-rakan Anak Alam,
Beza umur saya dengan kalian mungkin sekitar 40 tahun, bahkan mungkin lebih. Sepanjang yang saya tahu, kajian secara tuntas tentang sejarah penglibatan kalian bersama-sama dengan Anak Alam masih tidak dibuat lagi.
Tetapi adalah satu hal menarik apabila saya berada di mana-mana pentas program, bibir kalian tidak lari dari menyebut kalimah “Anak Alam.” Ia seolah-olah satu legenda yang tidak bertulis.
Bertitik tolak dari itulah, saya tertarik dengan kalian. Pemilihan tajuk untuk ijazah sarjana ini bukan sahaja untuk saya mendapat sekeping sijil, tapi merupakan sebuah penghormatan kepada kalian untuk saya meneruskan “legenda” itu tadi.
Sahabat Anak Alam,
Saya yang berumur baru hampir hendak mencecah 30-an ini tidak tahu banyak mengenai kalian. Bahkan jika ditanya di tapak Studio Anak Alam yang kini telah menjadi ASWARA, mereka langsung nihil berkenaan kalian.
Situasi ini membentuk gerak hati saya selaku penekur dunia akademik untuk memberitahu bahawa ASWARA terjadi bukan sahaja dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, bahkan sebelum itu lagi ia sudah dibentuk sebagai institusi seni.
Dalam melengkapkan kajian sejarah, terdapat beberapa masalah. Untuk sekarang, masalah paling kanan ialah kalian semua sudah berusia dan ada yang tidak lagi sihat untuk meneruskan aktiviti seharian.
Kalian hendak tahu? Antara kalian, saya memang mahu berjumpa Mustapa Haji Ibrahim. Kajian saya untuk Tapa banyak didapati daripada buku-buku yang ada. Dan sekali lagi, buku yang kita miliki sangatlah tidak tuntas.
Beberapa bulan lalu, kita dikejutkan dengan pemergian Tapa. Saya reda dengan pemergiannya. Saya dan penyelia sudah bersepakat, sewaktu Tapa ada dulu pun, kami tidak mahu mengganggunya atas faktor kesihatan. Saya difahamkan banyak arkib Tapa kini berada di Balai Seni Visual Negara dan di situlah menjadi destinasi individu seperti saya nanti.
Saya juga terkilan apabila saya lewat untuk mengetahui pemergian K. Tagarajoo. Saya difahamkan beliau meninggal dunia tahun lalu. Sebenarnya nama beliau berada dalam senarai kajian awal saya, tetapi terpaksa digugurkan atas faktor akademik.
Terbaru, kita semua dikejutkan dengan pemergian Pyanhabib. Saya tidak dapat menulis panjang—bahkan dalam apa-apa tajuk sekalipun—selepas mendapat berita Pyanhabib. Saya menangis seorang diri di surau, di tempat kerja, selari dalam rentang waktu Pyan dikebumikan di tanah pusara.
Dalam masa itu juga saya memberitahu penyelia saya bahawa saya seorang yang bodoh dan sombong. Saya bodoh kerana tidak mempercepatkan kajian saya ini. Saya cukup terkilan kerana tidak sempat menemuramah Pyan dan ada kalanya sengaja untuk melewat-lewatkannya.
Naim, topik ini kau kena buat cepat. Mereka dah tak lama.
Jika saya menceritakan kajian apa yang sedang saya lakukan kepada rakan-rakan, itulah ayat wajib yang mereka katakan. Sehinggalah saya sedar, ayat tersebut memakan jiwa saya sendiri. Kerisauan yang tidak dapat dibendung apabila mereka ini meninggal dunia dan tidak ada lagi rekod lisan yang boleh dicapai.
Rakan-rakan Anak Alam,
Mungkin yang saya akan cakapkan ini menyakitkan. Tetapi saya terpaksa juga beritahu. Saya memahami apabila ada pengkaji yang mengkaji mengenai diri kita tetapi ada kesalahan dalam kajian tersebut, kita akan menjadi marah dan tidak ingin lagi orang lain meneruskan kajian.
Tetapi harus diingatkan, dengan kesalahan itulah, akan timbulnya antitesis dan berubah menjadi tesis kembali. Dalam dunia akademik—lagi-lagi dalam dunia seni—susah untuk mendapatkan hasil yang absolut.
Jadi, kalian yang masih ada lagi kini, membumilah. Berilah sebanyak-banyaknya kepada anak-anak muda untuk menulis berkenaan kalian.
Sejarah Anak Alam berada dalam minda kalian. Kalian sudah berada di umur penghujung, mungkin tidak lagi mampu menulis dan bercerita dengan baik, maka berilah peluang kepada rakan-rakan seusia saya untuk mendokumentasikan perihal Anak Alam.
Sebenarnya tiada ada apa-apa yang rugi jika kalian berbuat sebegitu. Kesilapan yang sikit dalam penulisan kajian mengenai kalian itu, mungkin ada orang lain yang akan betulkan.
Tugas kalian kini adalah menghamburkan segala hal berkenaan Anak Alam supaya saya, anak saya, generasi saya tahu kewujudan komuniti seni yang dikatakan paling berjaya dalam sejarah seni di negara ini.
Entah-entah Anak Alam ini hanya sekadar mitos.
Ada yang berkata demikian. Sebab itulah saya berharap semua antara kalian tidak berkecil hati apabila orang bercakap salah mengenai Anak Alam, kerana mereka itu tidak mendapat satu jawapan yang tuntas—lebih-lebih lagi daripada kalian yang ahlinya sendiri.
Kajian saya sudah mencapai lebih 100 halaman, pun masih tidak bertemu dengan bab Hasil Perbincangan. Wacana Anak Alam banyak yang kabur di mata saya. Banyak hal yang masih tidak terjawab. Banyak data yang masih tidak lengkap. Banyak ruang kosong yang masih perlu diisi.
Pemergian Pyanhabib sangat mengesankan diri saya. Mungkin ada yang akan berkata saya terkilan dan sedih kerana “menginginkan” Pyan hanya untuk memenuhi keperluan akademik saya sahaja. Tetapi sekali lagi saya beritahu, saya mahu menjadi sebahagian daripada kalian selepas 50 tahun ini.
Rakan-rakan,
Saya berharap kita akan bertemu nanti. Saya akan datang kepada kalian. Berceritalah!