Oleh Suyuthi Yusuf
29 Mei 2024, 18:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Siti Zainon Ismail berharap agar setiap kedutaan Malaysia di luar negara memiliki buku sastera kanak-kanak tempatan.

Beliau berkata demikian dalam Forum Sastera Kanak-kanak sempena Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja Ke-13 yang berlangsung di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, DBP, pada petang semalam.

Tambahnya lagi, jika kedutaan negara lain boleh mempamerkan karya sastera kanak-kanak untuk negara lain kenal dan tahu tentangnya, maka mengapakah pula kita tidak boleh berbuat hal yang serupa?

Dalam forum tersebut juga, SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail berkongsi pengalaman beliau dalam menulis buku sastera kanak-kanak.

Menjelang persaraan, saya terasa seperti kehilangan kehidupan dan jiwa. Semasa perasaan tersebut muncul, maka saya teringat akan kehidupan semasa saya kecil dan segala kenangan tersebut saya tumpahkan dalam buku sastera kanak-kanak saya.

Antara buku sastera kanak-kanak yang ditulis oleh beliau termasuklah Rumah Semut Kuala Abai, Kebun Rama-rama, Mimpi Si Ikan Kaloi, dan Kampung Pulau Kelapa.

Selain itu, beliau turut berkongsi cerita bagaimana buku sastera kanak-kanak beliau dihargai di Jepun.

Ada orang Jepun yang begitu menghargai buku saya, iaitu buku Angsa Istana Si Jambul Desa sehingga dia memeluk buku tersebut dan menangis kerana tidak dapat memahaminya dalam bahasa Melayu.

Beliau juga berharap agar lebih banyak penulis menghasilkan buku sastera kanak-kanak dan turut sama belajar melukis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.