28 Mei 2024, 18:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kembali lima tahun ke belakang, statistik pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019 berjumlah 1 juta. Menurut beberapa laporan akhbar tempatan, Pengerusi 1 Jawatankuasa Pengelola, Abd. Wahab Ibrahim menyatakan bahawa jumlah tersebut gagal mencapai sasaran pengunjung seramai 1.5 juta orang.

Setahun kemudian, kita mengalami wabak Covid-19 dan pesta buku dibuat secara dalam talian sehinggalah tahun 2021.

Pada tahun 2022, peningkatan pengunjung yang agak memuaskan dengan data sebanyak 1.24 juta pengunjung dan pada tahun lalu, PBAKL telah menerima kunjungan seramai 1.5 juta pengunjung.

Persoalan pada setiap tahun yang cuba dibangkitkan dalam laman maya—bagaimana penganjur mengira jumlah pengunjung yang hadir? Persoalan ini dilihat sebagai satu persoalan yang tidak signifikan tetapi ia menimbulkan tanda tanya yang menarik.

Beberapa hari lalu, PBAKL 2024 hadir dengan satu lautan manusia yang cukup memberangsangkan. Beberapa laporan yang boleh dipercayai yang saya terima menyatakan 45 peratus daripada jumlah reruai sudah dapat membayar penuh harga tapak dengan jualan hari pertama sahaja. Ini kerana jumlah pengunjung pada tahun ini meningkat mendadak.

Bagaimana laporan “pengunjung meningkat” boleh dikeluarkan? Soalan ini hanya boleh dijawab oleh penganjur PBAKL dan penulis sempat untuk mengorek trivia yang menarik ini.

Penulis masih ingat lagi ketika bertugas sebagai Duta Buku di PBAKL 2017, ada dalam kalangan kami yang ditempatkan di pintu-pintu masuk bersama-sama alat membilang digital. Setiap kali pengunjung masuk, petugas akan menekan alat tersebut. Jika pengunjung tersebut hadir secara berkumpulan—kebiasaannya rombongan sekolah—petugas akan menyapa guru pengiring dan bertanyakan berapakah jumlah rombongan mereka. Petugas akan menulis di satu kertas dan akan menambahnya nanti.

Kaedah lapan tahun lalu itu masih digunakan di PBAKL2024 ini. Tetapi penganjur kali ini membawakan satu teknologi yang lebih tepat untuk mengira jumlah pengunjung.

Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron yang cukup dikenali sebagai pemuka pesta buku sempat berkongsi bagaimanakah jumlah pengunjung pada tahun ini dikira?

Beliau berkata bahawa memang kiraan cara tradisional dengan menggunakan alat tersebut dilakukan oleh petugas. Tetapi tahun ini, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), penganjur memasang kamera infra di enam pintu masuk utama yang dianggap lokasi paling strategik.

“Kamera infra tersebut disediakan oleh kami (penganjur), bukan WTCKL. Untuk memastikan ketepatan pengiraan, kita sediakan kamera ini. Kita juga yakin ketepatan kamera itu mengira pengunjung ialah 90 peratus kadar ketepatannya,” katanya ketika ditemui di PBAKL2024.

Kamera infra yang memastikan ketepatan pengiraan pengunjung PBAKL.

Keupayaan kamera tersebut termasuklah mengenal pasti pengunjung yang betul-betul hadir ke pesta buku sahaja.

“Kamera tersebut hanya mengira pengunjung yang hadir lebih 10 minit ke dalam WTCKL. Jika kurang daripada tempoh itu, kamera tersebut tidak akan mengiranya,” jelasnya.

Mohd Khair yang pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) itu juga berkata, pelan asal untuk menggunakan kamera infra tersebut bermula dari dua tahun lalu lagi dan akhirnya boleh digunakan pada tahun ini.

Antara lain keupayaan kamera tersebut ialah mengenal pasti jantina berdasarkan rambut seseorang dan dapat diintegrasikan jika pengunjung masuk dan keluar melalui pintu yang berbeza.

Walau bagaimanapun, beliau menyatakan hal berkenaan bagaimana penganjur mengira jumlah pengunjung ini bukanlah satu hal yang penting untuk dibicarakan secara terperinci.

“Kita memang ada sistem dan sistem itu keluarkan data. Daripada dulu lagi memang kita sudah mengira jumlah pengunjung secara manual. Kini kita ada sistem yang lebih baik dengan kos yang tinggi untuk dapatkan ketepatan data. Sebenarnya ini bukan isu besar sangat pun.”

Menjawab persoalan adakah penganjur pernah memanipulasi data jumlah pengunjung PBAKL, Mohd Khair berkata mereka tiada sebab untuk memanipulasi data tersebut.

“Selama ini dengan kiraan manual pun kami tiada sebab untuk manipulasi data. Kalau kiraan itu dianggap manipulasi, ia tidak menggambarkan apa-apa dalam industri buku,” katanya.

Akhirnya persoalan kecil—tetapi menarik—berkenaan cara mengira jumlah pengunjung PBAKL telah dirungkaikan di sini. Apa yang kita harap ialah pengunjung pada tahun ini bertambah dan jualan di semua reruai juga meningkat dengan signifikan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.