Diterbitkan pada 27 Mei 2024, 15:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Para tetamu kehormat ketika mempamerkan dua karya terbaharu Kepten (B) Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob. Dari kiri: Encik Mohd Azam Juhari (Ketua Editor Bahagian Buku Sastera), Kepten (B) Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob (Penulis), Dr. Haji Hazami Jahari (Ketua Pengarah DBP), SN Dato’ Rahman Shaari, Puan Fauzilahyatun Mustafa (Pengarah Jabatan Penerbitan DBP) dan Puan Noriyani Yusoff (Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja).

Kuala Lumpur – Dewan Tun Hussein Onn yang menempatkan reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 dimeriahkan dengan gesekan biola cucu kepada Kepten (B) Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob, Mantan Naib Canselor, Universiti Malaya, pada pagi tadi.

Gesekan biola oleh Alanna Inessa tersebut mengiringi bacaan puisi oleh Hashim Yaacob (Penulis). Pilihan puisi yang dibaca oleh beliau adalah daripada dua buku terbaharunya, iaitu buku Kumpulan Puisi Kanak-kanak Sejahtera Nanda dan buku Kumpulan Puisi Laut Biru.

Buku Kumpulan Puisi Kanak-kanak Sejahtera Nanda.
Buku Kumpulan Puisi Laut Biru.

Kedua-dua buku tersebut juga turut dilancarkan oleh Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari sempena PBAKL pada kali ini. Ketika mengulas tentang keperibadian dan karya Hashim Yaacob, SN Rahman Shaari mengatakan bahawa Hashim Yaacob bukan sahaja merupakan seorang penulis puisi tetapi juga merupakan pentadbir, pakar pergigian dan pandai menjadi dalang wayang kulit. Lanjutnya:

Kedinamikan kerjaya Hashim Yaacob wajar dijadikan contoh buat generasi akan datang. Selain itu, hal ini juga membuktikan bahawa orang yang bukan bidang sastera boleh menulis karya kreatif dengan baik.

SN Dato’ Rahman Shaari ketika memperkatakan tentang karya-karya Hashim Yaacob.

Ketika mengulas tentang buku Kumpulan Puisi Laut Biru, beliau mengatakan bahawa kebanyakan puisi yang terdapat dalam buku ini bersifat metaforikal dan simbolik.

Sebelumnya, Ketua Pengarah DBP, Dr. Haji Hazami Jahari menerusi ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa kebanyakan buku sastera yang laris dalam PBAKL kali ini merupakan buku yang ditulis oleh orang yang bukan bidang sastera.

Hal ini merupakan suatu fenomena yang menarik. Orang yang bukan berlatarkan bidang sastera menulis buku sastera dan bukunya laris. Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob boleh dijadikan ikon berkaitan dengan hal ini.

Ketua Pengarah DBP, Dr. Haji Hazami Jahari ketika memerihalkan peranan orang bukan sastera yang boleh menulis karya sastera yang berkualiti.

Kepten (B) Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob dalam ucapannya menyatakan bahawa walaupun buku Kumpulan Puisi Kanak-kanak Sejahtera Nanda ditulis khas untuk kanak-kanak, namun begitu buku ini juga sesuai dibaca oleh semua pihak.

Kepten (B) Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob ketika membaca puisi yang dinukilnya.

Uniknya, buku ini juga turut memaparkan gambar, sajak dan pantun yang mengiringi setiap lukisan dan puisi. Antara paparan menarik yang terdapat dalam buku Kumpulan Puisi Kanak-kanak Sejahtera Nanda termasuklah seperti yang berikut:

Para pengunjung PBAKL boleh mendapatkan buku ini di reruai DBP yang terletak di Dewan Tun Hussein Onn, Aras 2, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi