24 Mei 2024, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penerbit buku Kata-Pilar Books dan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menyifatkan buku judul sama yang mereka terjemahkan dan terbitkan serentak bukan merupakan suatu masalah.

Buku Hayy bin Yaqzan karya Ibnu Tufail mendapat perhatian peminat sastera tanah air sekitar Mei lalu apabila dua penerbit ini mula berkongsi sampul depan buku ini dalam satu rentang waktu yang sama.

Pengurus Jualan dan Pemasaran IBDE, Ainunl Muaiyanah Sulaiman berkata judul ini sudah lama berada dalam senarai buku Siri 1 Pencerahan Selangor lagi.

“Pasukan yang memilih Siri 1 Pencerahan Selangor sudah lama memilih judul Hayy bin Yaqzan ini, tetapi belum jumpa penterjemah yang sesuai. Kebetulan pula ketika awal tahun lalu, judul ini disuguhkan kepada kami (IBDE), dan kita merasakan peri pentingnya ada terjemahan yang baik dan kebetulan Ustaz Razif menterjemahkan dengan sangat baik dan membuat rujukan terhadap karya penting ini,” katanya kepada Tunas Cipta ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL2024), Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Ainunl yang juga merupakan penulis berkata bahawa pihak IBDE sememangnya tidak mengetahui langsung Kata-Pilar Books juga mempunyai hasrat dan dalam proses menterjemah karya yang sama.

Ini adalah perkara yang biasa sebenarnya sebab buku ini sudah menjadi hak awam. Mana-mana negara maju contohnya Turki ada beberapa versi Little Prince yang diterjemahkan. Itulah cabaran apabila satu-satu karya sudah menjadi hak awam.

Ainunl juga menyatakan pihaknya tidak membuat sebarang dakwaan menyatakan terjemahan mereka ialah terjemahan pertama buku tersebut di negara ini.

“Buku ini pernah diterbitkan oleh Akademi Jawi Malaysia (AJM). Diterbitkan dengan transliterasi daripada jawi yang berusia lebih 100 tahun lalu oleh Ahmad Abd al-Qadir ibn Abd al-Rahman Filfilani kepada tulisan rumi. IBDE ada pembaharuan dari sudut bahasa dan sebagainya, jadi mungkin berbeza dengan transliterasi yang dibuat oleh Akademi Jawi.

Dalam satu kenyataan, penterjemah versi IBDE, Mohamad Razif Mohamad Fuad berkata dalam transliterasi edisi AJM, terdapat beberapa bahagian pada teks asal tidak diterjemahkan. Berkemungkinan penterjemah memilih untuk tidak menterjemahkan bahagian perbahasan falsafah yang agak mendalam.

Dalam pada itu, pemilik rumah penerbitan Kata-Pilar Books, Dr. Fahd Razy berkata pihaknya mula menterjemahkan karya ini pada tahun 2018 tanpa mengetahui adanya penerbit lain yang mengintai-intai peluang terjemahan untuk karya ini.

“Target waktu itu pada tahun 2019 atau 2020 akan terbit. Tapi kerana masa itu ada beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan terutama dari sudut kewangan dan manuskrip tersebut belum lagi dimurnikan, maka kita tak sempat terbit dan kemudian kita dilanda Covid. Agak sayang kalau tidak diteruskan manuskrip yang dah ada tu sebab penterjemah dah berusaha keras. Kami rasa kami perlu terbitkan jugalah Hayy bin Haqzan ini,” katanya ketika ditemui di program yang sama.

Beliau yang pernah merangkul Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) tidak merasakan kejutan apabila IBDE juga menterjemah karya ini.

“Saya rasa benda itu sudah dijangkakan. Bila dapat tahu IBDE terjemah dan terbit juga, ini satu benda yang menarik juga sebab fenomena yang begini biasa berlaku. Mungkin dari sudut pandang penerbit ia satu persaingan, tapi untuk pembaca ia satu peluang untuk kita bandingkan pendekatan penterjemah menterjemah satu-satu karya.”

Fahd mengulas bahawa karya ini dilihat sebagai satu karya yang dipandang rendah oleh masyarakat tempatan, tetapi popular di peringkat global kerana buku ini merupakan karya Arab ketiga yang paling banyak diterjemah selepas al-Quran dan Hikayat 1001 Malam.

Penterjemah versi Kata-Pilar, Ahmad Muziru Idham Adnan dalam satu kenyataan berkata tidak dinafikan bahawa menterjemah Hayy bin Yaqzan merupakan perkara yang sangat mencabar.

Selain hal penggunaan bahasa Arab klasik dan kreatif oleh Ibn Thufail, hal paling mencabar adalah untuk memahami hal-hal falsafi terutamanya soal perenungan terhadap alam tabii.

Bercakap mengenai penerbitan serentak, Ainunl berkata bahawa jika dilihat dari sudut penerbit, mereka sendiri sebenarnya tidak mahu ada judul sama yang diterbitkan dengan penerbit lain.

Kita sebagai penerbit di negara yang kecil, kalau boleh kita tak mahu berselisih judul sebab kita nak perbanyakan lagi judul yang diterbitkan, tetapi sekarang ini sudah berselisih, nak buat macam mana lagi?” ulasnya.

Lebih menarik adalah apabila dua penerbit yang semakin menjadi buruan para pembaca pada tahun ini bergabung di bawah satu reruai di PBAKL tahun ini.

Bagi Kata-Pilar, Fahd menyatakan tidak ada isu untuk dua penerbit buku yang sama itu berkongsi reruai.

“Saya rasa menarik untuk pembaca sebab bila mereka datang ke reruai kami, mereka ada pilihan untuk menilai terjemahan yang mana mereka mahukan. Kalau contoh kami di aras lain dan IBDE di aras lain, pembaca mungkin susah sikit untuk membuat perbandingan itu. Cuma untuk penerbit, kita kena redalah,” ujarnya berseloroh.

Buku Hayy Bin Yaqzan ini boleh didapati di reruai IBDE x Kata-Pilar (4053–4060), Dewan Tun Razak 4, WTCKL. Mungkin inilah masa untuk para pelajar, pengkaji dan peminat sastera falsafah mula mencari tiga buah terjemahan karya agung ini di PBAKL kali ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.