29 April 2024, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh: Amal Sayyidah Mohd Amin

Melaka Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui kerjasama pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Gabungan Persatuan Alumni Sekolah Berasrama Penuh buat ulung kalinya telah mengadakan Bengkel Karya Futuristik Sekolah Berasrama Penuh Tahun 2024.

Penganjuran Bengkel Karya Futuristik bersempena dengan penganjuran Sayembara Penulisan Karya Futuristik (cerpen dan puisi) Sekolah Berasrama Penuh yang bermula pada 9 Jun hingga 10 Julai 2024 ini diadakan bertujuan untuk mendedahkan anak-anak muda dengan penulisan jenis futuristik yang menekankan aspek gambaran negara pada masa hadapan dalam bentuk penulisan cerpen dan puisi.

Bengkel Penulisan Karya Futuristik yang mengandungi 6 siri ini turut melibatkan semua Sekolah Berasrama Penuh Malaysia yang bermula pada 18 April hingga 20 April yang disertai sebanyak 16 buah Sekolah Berasrama Penuh di Zon Selatan bertempat di Sekolah Menengah Sains Alor Gajah, Melaka sebagai tuan rumah.

Siri kedua bengkel penulisan ini pula akan diadakan di Sekolah Menengah Sains Sabah, diikuti Sekolah Menengah Sains Kepala Batas, Sekolah Menegah Sains Sultan Mahmud, Sekolah Menegah Sains Kuching Utara dan Sekolah Seri Puteri/Sekolah Sultan Alam Shah.

Bengkel penulisan ini turut menjemput doktor falsafah dari Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia, Dr. Shamsuddin Othman. Seorang tokoh penulis tanah air dan telah menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara atau SEA Write Award untuk tahun 2019, 2020 dan 2021.

Dalam bengkel tersebut, Editor dan Penolong Editor Dewan Bahasa dan Pustaka turut dijemput bagi memberikan taklimat tentang penerbitan majalah-majalah Dewan Bahasa dan Pustaka, E-Tunas Cipta dan penghantaran karya penulisan ke Dewan Bahasa dan Pustaka bagi menggalakkan lebih ramai pelajar dari Sekolah Berasrama Penuh untuk menonjolkan lagi bakat mereka dalam penulisan.

Selaku Ketua Penolong Pengarah BPSBP, Puan Siti Mazlin Abdul Rahman, turut menasihatkan para pelajar untuk mula merangka karya mereka bermula sekarang bagi memberikan lebih banyak masa untuk mereka menghasilkan karya yang terbaik.

Penyertaan sayembara ini tidak terhad kepada peserta Bengkel Karya Futuristik sahaja, namun juga terbuka kepada semua pelajar Sekolah Berasrama Penuh.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.