Oleh Shield Sahran
11 Mei 2024, 12:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Cerita rakyat merupakan satu daripada bentuk sastera tertua yang disampaikan secara lisan daripada satu generasi ke generasi yang seterusnya. Maka, pendokumentasian cerita rakyat amatlah penting bagi memastikan supaya setiap cerita rakyat tidak hilang ditelan zaman dan generasi akan datang masih dapat menikmati cerita rakyat khususnya melalui bahan bacaan.

Menerusi kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) dan Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja (BKR), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Bengkel Perolehan Manuskrip Cerita Rakyat Kanak-kanak (buku bergambar) telah diadakan di Bilik Wacana, DBP Cawangan Sarawak selama dua hari, bermula pada 29 dan 30 April 2024 yang lalu.

Bengkel manuskrip cerita rakyat pelbagai etnik di Sarawak yang kaya dengan budaya dan adat resam ini turut memberikan fokus kepada penulisan cerita rakyat Sarawak dalam bentuk buku bergambar kanak-kanak bagi pembaca sasaran dalam lingkungan usia tujuh hingga 12 tahun.

Puan Noreena Zolkeplee menyampaikan taklimat tentang penerbitan buku kanak-kanak dan remaja kepada peserta bengkel.

Bengkel pada hari pertama yang dimulakan dengan taklimat penerbitan buku kanak-kanak dan remaja yang disampaikan oleh Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja DBP, Puan Noreena Zolkeplee, merupakan pendedahan awal peserta mengenai peluang penerbitan bersama-sama DBP yang bakal memberikan ruang dan peluang kepada mereka untuk berkarya.

Cikgu NAI berkongsi ilmu tatacara penulisan sastera kanak-kanak dan ilustrasi kepada peserta bengkel.

Encik Nor Azhar Ishak atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu NAI selaku pembimbing yang tidak asing lagi dalam dunia sastera kanak-kanak dan ilustrasi, turut memberikan penekanan dalam tatacara penulisan sastera kanak-kanak dan ilustrasi yang sesuai serta bagaimana sesebuah proses menyiapkan sesebuah buku bergambar kanak-kanak ini berlaku dalam dunia penerbitan.

Usaha DBPCS dan BKR untuk mengumpul dan mendokumentasikan cerita rakyat yang selama ini tidak diketahui dapat mempergiatkan lagi kepercayaan bagi memastikan cerita rakyat iniĀ  dapat diketengahkan sekali gus berupaya mengangkat nilai jati diri etnik itu sendiri.

Pada akhir bengkel, pembimbing sekali lagi mengingatkan peserta bahawa cerita rakyat dalam buku bergambar kanak-kanak mestilah menarik perhatian pembaca sasaran, iaitu kanak-kanak, bersifat kreatif, dapat meningkatkan daya imaginasi, pengakhiran cerita juga memberikan impak positif dan dapat memupuk minat kanak-kanak terhadap cerita rakyat Sarawak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.