Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI (Mahasiswa) Siri 3/2026 yang disertai mahasiswa Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP) menjadi medan penting untuk memperkasakan jati diri dan melahirkan generasi muda yang mempunyai kesedaran tinggi tentang isu kenegaraan.
Program yang berlangsung di Dewan UCYP, Kuantan pada 27 Jun 2026 merupakan inisiatif murni Seksyen Belia Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Negeri Pahang dan Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama strategik pihak UCYP.
Slot Interaktif Kenegaraan disampaikan oleh Penolong Pegawai Latihan AKM Negeri Pahang, Encik Suhaimi Salleh. Beliau menekankan bahawa pemahaman terhadap sejarah negara bukanlah sekadar menghafal fakta, tetapi satu keperluan untuk membentuk tanggungjawab warganegara dalam usaha memelihara kestabilan negara.
Pendekatan beliau yang santai tetapi padat berjaya menarik perhatian para peserta untuk berfikir secara kritis mengenai peranan mereka sebagai pewaris kepimpinan masa hadapan.
Dalam slot Input Malaysia MADANI Faham Kenegaraan, Encik Nasrul Isyam Abd Hamid selaku Sahabat Penggerak MADANI (SPM) Pahang pula menjelaskan konsep serta pencapaian Inisiatif MADANI dalam konteks yang lebih praktikal, sekali gus membimbing mahasiswa menghayati nilai-nilai tersebut melalui pemikiran dan tindakan yang berintegriti dalam kehidupan seharian.

Penganjuran siri ketiga ini dilihat sebagai kesinambungan kepada usaha memperkasakan kefahaman mahasiswa tentang kerangka kenegaraan dan menyemai nilai-nilai murni dalam falsafah Malaysia MADANI ke dalam sanubari warga kampus.
Penganjuran seminar ini secara tidak langsung menyokong aspirasi negara untuk membentuk generasi muda yang berilmu, berakhlak, berjiwa Malaysia, berdaya tahan dan patriotik.
Dengan bimbingan daripada institusi seperti AKM dan UCYP, mahasiswa diharapkan mampu mendepani cabaran global tanpa meminggirkan jati diri sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara.