Diterbitkan pada 9 Julai 2026, 09:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (ICaRehab), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Unit Perkhidmatan & Sokongan Orang Kurang Upaya (UPS OKU) UKM, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan Hari Ekspresi Puisi OKU 2026 bersempena dengan Sambutan Hari OKU Sedunia pada 12 November depan.

Program ini akan berlangsung secara hibrid, iaitu secara dalam talian dan secara fizikal di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP, Kuala Lumpur.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk menyediakan platform inklusif kepada golongan OKU bagi mengekspresikan bakat, pengalaman dan kreativiti melalui seni deklamasi puisi.

Penyertaan terbuka kepada pelajar OKU peringkat sekolah, kolej, universiti serta institusi pendidikan awam dan swasta.

Peserta berpeluang mendeklamasikan pelbagai genre puisi tradisional dan moden, termasuklah sajak, pantun, syair, gurindam dan nazam.

Yang menariknya, peserta yang mendaftar turut berpeluang mengikuti Bengkel Persediaan Puisi yang menawarkan sesi latihan deklamasi bersama-sama dengan jurulatih bertauliah bagi meningkatkan kemahiran persembahan mereka.

Program ini turut menawarkan hadiah dan cenderamata menarik kepada semua peserta dengan penyertaan secara percuma sebagai usaha menggalakkan mereka menyertai aktiviti kesusasteraan dan kebudayaan.

Peserta yang berminat perlulah membuat pendaftaran melalui kod QR pada poster rasmi atau menerusi pautan ini sebelum 15 September 2026 bagi mengesahkan penyertaan dalam program tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi