Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kandungan berkualiti yang merentas budaya serta kerjasama erat antara kerajaan, ibu bapa, penerbit dan pendidik merupakan faktor penting dalam membentuk generasi pembaca yang berfikiran terbuka, berempati dan mampu memahami kepelbagaian masyarakat global.
Perkara tersebut menjadi fokus sesi “Bridging Worlds: Cross-cultural Storytelling and Reading for the Next Generation” yang berlangsung pada hari pertama The 35th International Publishers Congress (IPC 2026) di Grand Hyatt Kuala Lumpur, semalam.
Kongres yang berlangsung dari 5 hingga 9 Julai itu dianjurkan oleh International Publishers Association (IPA) dengan kerjasama Malaysian Book Publishers Association (MABOPA).
Sesi tersebut dikendalikan oleh perunding penerbitan dari Kanada, Simon de Jocas, dengan menampilkan Pengarah Bologna Children’s Book Fair, Elena Pasoli dari Itali dan Presiden Malaysia Board on Books for Young People (IBBY Malaysia), Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairuddin.
Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada perubahan landskap penerbitan buku kanak-kanak merentas budaya, peranan buku dalam membentuk imaginasi kanak-kanak serta cabaran memupuk budaya membaca dalam era digital.
Elena Pasoli berkata, dunia digital perlu diseimbangkan dengan budaya membaca buku yang sedia ada.
Menurut beliau, pendidikan mengenai penggunaan teknologi secara sihat perlu bermula daripada golongan dewasa kerana ibu bapa dan masyarakat menjadi contoh utama kepada kanak-kanak.
“Kita perlu menunjukkan kepada kanak-kanak bahawa dunia digital bukan satu-satunya ruang untuk berhibur. Perubahan perlu bermula daripada orang dewasa sendiri yang semakin banyak menghabiskan masa dengan telefon pintar walaupun ketika bersama keluarga,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penurunan kadar pembacaan merupakan cabaran global, namun penyelesaiannya bukan dengan menolak teknologi, sebaliknya memastikan kandungan yang disampaikan kepada kanak-kanak menerusi pelbagai platform sentiasa berkualiti.
Menurutnya lagi, masyarakat juga perlu memberi perhatian terhadap usia yang sesuai bagi kanak-kanak menggunakan peranti digital berdasarkan dapatan penyelidikan saintifik mengenai perkembangan otak dan pembelajaran awal.
Sementara itu, Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairuddin berpandangan bahawa teknologi digital berfungsi sebagai pelengkap kepada buku bercetak dan bukan ancaman.
Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab utama penerbit ialah memastikan kandungan yang diterbitkan memenuhi keperluan pembaca, khususnya kanak-kanak dan ibu bapa.
“Saya tidak melihat dunia digital sebagai ancaman dan menghasilkan kandungan berkualiti ialah perkara paling utama. Oleh itu, penerbit perlu memastikan kandungan yang dihasilkan berkualiti dan boleh dinikmati sama ada dalam bentuk buku bercetak mahupun digital,” katanya.
Beliau berkata, ledakan teknologi tidak akan menjejaskan industri penerbitan sekiranya penerbit terus menghasilkan kandungan yang bermutu serta menarik minat pembaca.
Tambah beliau, dunia hari ini menawarkan pelbagai bentuk kandungan yang mampu menjadikan aktiviti membaca lebih menyeronokkan dan relevan kepada generasi muda.
Moderator turut menyentuh bagaimana perkembangan teknologi membuka peluang lebih luas kepada kanak-kanak berkeperluan khas untuk menikmati bahan bacaan melalui buku audio, buku digital dengan saiz teks yang boleh diubah serta kandungan dalam bahasa isyarat yang sebelum ini sukar diperoleh.
Mengulas peranan kerajaan dalam memperkukuh budaya membaca, Elena menyeru pemimpin negara agar melihat promosi pembacaan sebagai satu pelaburan terhadap masa depan negara.
Katanya, kerajaan yang benar-benar mengambil berat tentang masa depan perlu menyokong program galakan membaca dan memperkasakan industri penerbitan kerana penerbit bukan sekadar menjalankan perniagaan, malah menyumbang kepada pembangunan kemanusiaan.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu pengharaman buku yang berlaku di beberapa negara.
“Jika sesebuah kerajaan benar-benar memahami pengaruh buku terhadap masyarakat, mereka seharusnya menyokong penerbit dan bukannya mengharamkan buku,” katanya.
Pada masa yang sama, Dato’ Ahmad Redza menggesa kerajaan mendekati masyarakat di peringkat akar umbi dan melaksanakan reformasi pendidikan yang menjadikan pembacaan sebagai wahana didik hibur serta menimba ilmu sebagai budaya yang perlu dipupuk sejak kecil.
Beliau mencadangkan supaya pelbagai insentif diperkenalkan bagi menggalakkan rakyat membaca, selain menyeru pemimpin negara sendiri membudayakan amalan membaca buku kanak-kanak.
“Kerajaan perlu menggalakkan pembacaan sebagai satu budaya. Apabila masyarakat membaca, industri penerbitan akan berkembang, sekali gus menyokong keseluruhan ekosistem termasuk percetakan, ilustrasi dan pelbagai industri kreatif lain. Membaca ialah kunci kepada pembangunan masyarakat,” katanya.
Beliau menambah bahawa usaha memperkasakan budaya membaca tidak boleh dipikul oleh penerbit semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan menyeluruh daripada kerajaan, institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat.