Diterbitkan pada 1 Julai 2026, 16:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tanjong Malim – Bual Bicara Peradaban Siri 3 yang mengangkat tajuk Akar Nusantara, Sayap Dunia: Citra Peradaban dalam Karya M. Nasir telah mengupas keseniman figura tersebut menerusi karya-karyanya.

Program yang menampilkan kehadiran penulis lirik terkenal, Dr. Hairul Anuar Harun sebagai panel jemputan utama berlangsung di platform Facebook Institut Peradaban Melayu UPSI dan TikTok IPM UPSI, semalam.

Beliau menyifatkan kepelbagaian tema dalam karya M. Nasir yang dibantu dengan pemilihan kata dan frasa yang tepat memenuhi ketujuh-tujuh prinsip Akal Budi Melayu.

“Prinsip Akal Budi Melayu yang diperkenalkan oleh Profesor Dr. Supyan Hussin merangkumi gaya hidup, emosi, pemikiran, budaya, falsafah, agama dan sejarah,” jelas beliau yang turut memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Peradaban Melayu dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ujar beliau lagi, karya-karya M. Nasir dipengaruhi oleh pelbagai faktor persekitaran dan pemikiran. Menurutnya, seniman tersebut sentiasa cuba mempengaruhi khalayaknya untuk lebih berfikir tentang memajukan diri, bangsa, agama dan negara.

“Perkembangan pemikiran seniman tersebut dilihat selaras dengan perjalanan seninya dan mengikut kematangan keilmuan serta selari dengan peredaran masa sepanjang beliau berkarya,” tambahnya.

Beliau memanfaatkan 60 buah lagu ciptaan sepenuhnya M. Nasir untuk mengkaji keseniman tokoh tersebut. Daripada jumlah tersebut, 30 buah lagu merupakan lagu Kumpulan Kembara, manakala 30 buah lagu lagi ialah lagu daripada album solo M. Nasir.

Dr. Hairul Anuar merupakan penulis lirik terkenal yang telah menghasilkan lebih daripada 30 buah lagu. Dalam pelibatan seni, beliau amat tersohor dalam industri muzik Malaysia, khususnya dalam genre irama Melayu dan pop etnik. Perkara ini menjadikan beliau seorang penulis lirik yang berbakat, kreatif dan disegani.

Penganjuran program ini diharapkan dapat memupuk minat terhadap kesenian Melayu, sekali gus meningkatkan kesedaran generasi masa hadapan tentang peri pentingnya menghargai warisan peradaban Melayu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi