Diterbitkan pada 30 Jun 2026, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – “Penulisan skrip ialah ilmu kesinambungan antara penulisan kreatif dengan kecekapan editor, yang memerlukan latihan dan ketelitian yang besar.”

Demikian kata Lily Haslina Nasir, selaku penceramah “Program Bimbingan Penulisan: Proses Kreatif Karya Terpilih (Siri VII)” anjuran Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kelab Alumni Kelab Minggu Penulis Remaja (MPR) dengan kerjasama Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 24 Jun lalu, bertempat di Bilik Kotak Hitam, Sanggar Blok C, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM. Program ini di bawah bimbingan Prof. Madya Dr. Kamariah Kamarudin selaku penasihat program merangkap pensyarah Kursus Novel Melayu.

Lily Haslina yang juga merupakan mantan wartawan dan pengarang rencana majalah Jelita, berkongsi pengalamannya berkaitan dengan proses penulisan skrip dokumentari yang memerlukan penggunaan bahasa dan ketelitian yang baik.

Lily Haslina Nasir bergambar kenang-kenangan dengan para peserta.

“Skrip yang baik mesti menggunakan alun bahasa yang baik. Skrip haruslah pendek bagi memudahkan narator menyampaikannya. Selain itu, lebihkan penulisan yang melambangkan masyarakat majmuk di Malaysia,” ujarnya.

Sepanjang sesi perkongsian, beliau turut bercerita tentang proses kreatif beberapa skrip dokumentari dan drama yang pernah diusahakannya untuk beberapa saluran televisyen tanah air.

Lily Haslina Nasir ketika sesi perkongsian bersama-sama dengan anaknya yang juga merupakan penulis muda, Mudin Haiqal.

Menurutnya, pembikinan skrip dokumentari menuntut ketelitian penulis. Aspek penting seperti nama dan jawatan individu tertentu penting untuk disemak berkali-kali agar tidak tersilap sehingga mengguris hati mana-mana pihak.

Di samping itu, sekiranya perlu untuk bertanya soalan peribadi kepada responden, penulis harus memiliki kemahiran memujuk dan kadangkala terpaksa melibatkan pihak atasan bagi memudahkan proses penulisan. Hal ini kerana soalan yang dianggap peribadi kadangkala menjadi topik penting dalam liputan yang dibuat.

Lily Haslina juga menyatakan bahawa para peserta yang berminat untuk mencuba bidang penulisan skrip dokumentari atau drama supaya mengamalkan sifat merendah diri, jangan terlalu cerewet sehingga menyusahkan orang lain serta bijak dalam menuntut bayaran yang berpatutan.

Di akhir sesi, beliau mengingatkan kepada semua peserta untuk banyakkan membaca. Terangnya,

Untuk mendapatkan gaya bahasa yang cantik, hargailah penulisan sajak supaya beroleh ilham dan pengetahuan yang mendalam. Bagi mencapai kepuasan ketika menulis, kerja berkumpulan dan saling bantu-membantu amat diperlukan.

Seterusnya, Prof. Madya Dr. Kamariah Kamarudin selaku penasihat program, menzahirkan rasa syukur kerana program ini telah melabuhkan tirainya bagi tahun 2026 dengan kejayaan membawa sembilan penulis tanah air yang berkongsi ilmu dan kepakaran masing-masing.

Beliau juga turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus memastikan program yang dirancang berjalan dengan lancar dan teratur.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi