Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Perempuan (SMKAP) Alawiyah, Ainul Husna Narizam muncul sebagai juara dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah Menengah Peringkat Negeri Perlis menerusi persembahan deklamasi sajak yang bertajuk “Maruah Bangsa Kekal Diperkasa”, 27 Jun lalu.
Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh Nur Zulaikha Saiful Zuhuri yang mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi, manakala tempat ketiga menjadi milik Nur Asmawati Rizduan dari SMK Sanglang.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dengan kerjasama Persatuan Penulis Perlis, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara serta Kementerian Pendidikan (KPM) ini telah berlangsung dengan meriahnya di Auditorium Perpustakaan Awam Kangar, Perlis.
Program ini bertujuan untuk mencungkil bakat pelajar dalam bidang deklamasi puisi, di samping memupuk kecintaan terhadap bahasa dan sastera Melayu.
Pertandingan yang menghimpunkan peserta terbaik daripada sekolah menengah di seluruh negeri Perlis itu menyaksikan persaingan yang sengit apabila para peserta mempersembahkan deklamasi puisi dengan penuh penghayatan, teknik vokal yang mantap serta penguasaan pentas yang mengagumkan.
Penganjuran sayembara ini bukan sahaja menjadi medan melahirkan pendeklamasi puisi muda yang berbakat, malah turut memperkukuh usaha memartabatkan bahasa Melayu serta menyemarakkan apresiasi terhadap karya sastera dalam kalangan generasi muda.