Diterbitkan pada 30 Jun 2026, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Remaja Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), China dan Rusia 2026 telah diadakan di Dewan Wesley, Sekolah Methodist Wesley Kuala Lumpur (Antarabangsa), pagi tadi dengan pelibatan sebanyak 21 orang pemuisi remaja mewakili negara ASEAN, iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Brunei serta China dan Rusia.

Program yang bertemakan “Suara Kemanusiaan Sejagat” ini merupakan anjuran pihak Sekolah Methodist Wesley Kuala Lumpur (Antarabangsa) dengan kerjasama Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Tuan Yuneswaran Ramaraj ketika memberikan ucapan perasmian menyatakan bahawa generasi muda perlu memainkan peranan sebagai agen perpaduan dan suara kemanusiaan sejagat dalam dunia yang semakin mencabar kini.

Beliau berkata,

Pentas seni seperti puisi bukan sekadar medium ekspresi, sebaliknya mampu menjadi wadah penting untuk menyatukan masyarakat merentasi perbezaan bangsa, bahasa dan budaya. Dunia hari ini memerlukan pemimpin yang mampu menyatukan manusia, bukan memecahbelahkan mereka. Gunakan puisi sebagai wadah untuk menyebarkan mesej perpaduan dan kemanusiaan.

Menurut beliau, pelibatan remaja dalam bidang sastera perlu diperkasakan kerana puisi mempunyai keupayaan untuk membina pemikiran, menyemai nilai murni serta mengukuhkan hubungan antara masyarakat pelbagai latar belakang.

Tambah beliau, program seumpama itu juga mampu menarik minat golongan muda untuk lebih menghargai seni dan warisan bangsa, sekali gus membentuk jati diri yang kukuh dalam kalangan generasi akan datang.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Tuan Yuneswaran Ramaraj ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Program Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Remaja ASEAN, China dan Rusia 2026 ini menyaksikan pasukan Malaysia muncul sebagai johan yang diwakili oleh Bryan Goh Ze Ming, Joshua Lim Kai Jun, Chew Xuan Zhen, Loke Yee Mun dan Armaan Ziyad Mohamed Saleem.

Kelima-lima ahli pasukan dari Malaysia ini telah mempersembahkan persembahan puisi bertajuk “Suara Kemanusiaan Sejagat” karya Sundarappandian V. Mereka membawa pulang hadiah piala platinum, sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM3,000.

Johan pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Remaja ASEAN, China dan Rusia 2026 disandang oleh pasukan Malaysia.

Seterusnya, naib johan pula disandang oleh pasukan dari Indonesia yang terdiri daripada Gea Angeline Hinna, Agatha Hasya Wika, Meishyabilla Aqila dan Muhammad Zaky Yusuf yang membawa pulang hadiah piala emas, sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM2, 000. Pasukan dari Indonesia ini telah mempersembahkan puisi bertajuk “Kalah dan Menang” karya Sutan Takdir Alisjahbana.

Pasukan dari China telah mendapat tempat ketiga yang diwakili oleh Lu Yuping, Gao Na dan Zhang Yanhan dengan persembahan puisi bertajuk “Bintang Milik Semua Insan” karya Gao Na, Lu Yuping dan Zhang Yanhan sendiri. Mereka membawa pulang piala perak, sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM1, 000.

Sementara itu, kesemua pemuisi dari pasukan Thailand, Brunei dan Rusia turut menerima piala gangsa berserta sijil penghargaan dan wang tunai bernilai RM500 sebagai tanda penghargaan atas penyertaan dan komitmen terhadap sayembara ini.

Pengiktirafan ini mencerminkan bahawa setiap peserta berjaya menampilkan persembahan yang berkualiti serta menyumbang kepada kejayaan penganjuran program di peringkat antarabangsa.

Selain itu, anugerah Persembahan Terbaik telah dimenangi oleh pasukan Malaysia, manakala pasukan Indonesia telah meraih anugerah Busana Terbaik, dengan kedua-dua kategori tersebut menerima sijil penghargaan dan wang tunai bernilai RM200.

Naib johan pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Remaja ASEAN, China dan Rusia 2026 disandang oleh pasukan Indonesia.

Program ini telah diadili oleh barisan juri berpengalaman yang diketuai oleh Sasterawan Negara, YBrs. Dato’ Dr. Rahman Shaari, Tokoh Pemuisi Sedunia, Dr. Victor Pogadaev, Penasihat Kehormat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Datin Siti Sarah Insyirah Hj. Abd Rashid, pesyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Dr. Shafa’atussara Silahudin dan pensyarah UiTM Cawangan Selangor, Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman.

Pada masa yang sama, Pengetua Sekolah Methodist Wesley Kuala Lumpur (Antarabangsa), Puan Gan Swit Peng dalam ucapannya menyatakan bahawa penganjuran sayembara berkenaan bukan sahaja sekadar pertandingan, tetapi platform untuk memupuk nilai kemanusiaan dalam kalangan pelajar.

“Melalui puisi, para peserta menyampaikan suara hati generasi muda tentang keamanan, kasih sayang dan harapan. Perkara ini membuktikan bahawa remaja hari ini bukan sahaja berbakat, malah peka terhadap isu sejagat,” ujar beliau.

Beliau menegaskan bahawa pendidikan tidak seharusnya tertumpu kepada kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya perlu membentuk karakter, empati dan tanggungjawab sosial dalam diri pelajar.

Yang turut hadir ialah Bishop Methodist Church di Malaysia, Bishop Dr. T. Jeyakumar; Duta Besar Rusia ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Naiyl M. Latypov; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP mewakili Ketua Pengarah DBP, Encik Abang Haliman Abang Julai; Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim; Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah-Sekolah Methodist Wesley, Encik Tan Ay Zing; Pengarah Pendidikan Methodist Council of Education, Encik Lim Ka Cheng; dan Pegawai Khas kepada Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) mewakili Pengerusi BERNAMA, Puan Azlinda Zainudin.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi