Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang – “Malam Tradisi Sastera Rakyat ke-42 (MTSR 42) bukan sekadar pementasan seni, malah merupakan manifestasi kecintaan terhadap khazanah sastera rakyat yang terbukti menjadi cerminan identiti bangsa.
“Program ini turut menjadi saksi yang merakam sebuah detik signifikan bagi memastikan denyut nadi sastera rakyat terus berdegup kencang dalam jiwa generasi muda.”
Demikian kata Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Generasi Malaysia, YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar dalam ucapan perasmiannya pada MTSR 42, 22 Jun lalu di Panggung Percubaan UPM.
Program ini dianjurkan oleh Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Persatuan Teater Malaysia.
Malam Tradisi Sastera Rakyat yang memasuki penganjuran kali ke-42 pada tahun ini terus menjadi medan untuk menggalakkan mahasiswa menghargai cerita rakyat melalui pentas persembahan.
MTSR 42 membawa sedikit kelainan apabila Produksi Mahligai Niskala mempersembahkan tiga naskhah cerita rakyat, iaitu Batu Belah Batu Bertangkup, Pak Kaduk dan Puteri Gunung Ledang.
Ketiga-tiga cerita rakyat yang disajikan kepada para penonton memperlihatkan nilai kehidupan, budaya dan pemikiran masyarakat Melayu tradisional yang diwariskan secara turun-temurun.

Penasihat MTSR 42, Profesor Madya Dr. Roslina Abu Bakar menzahirkan kekaguman terhadap komitmen, semangat dan kerjasama yang hebat dalam kalangan pelakon dan kru produksi. Ujarnya lagi,
Program ini menjadi medium penting untuk kita menghargai cerita rakyat, pantun dan seni lisan yang mencerminkan identiti masyarakat. Sastera rakyat tidak seharusnya terperam di dalam bilik kuliah sahaja, tetapi wajib dipelihara, dihayati nilai murninya dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Ketua Jabatan Bahasa Melayu, FBMK, UPM, Dr. Fazilah Husin pula berkata bahawa pelibatan mahasiswa dalam program seumpama ini mampu membentuk sahsiah, daya kepemimpinan dan keterampilan komunikasi yang tinggi, selaras dengan aspirasi UPM untuk melahirkan graduan holistik dan berdaya saing.
Program ini adalah di bawah bimbingan Profesor Madya Dr. Roslina Abu Bakar selaku pensyarah kursus BBK 3305 Kesusasteraan Rakyat Melayu bersama-sama dengan 40 pelajar semester 1, Bacelor Sastera Kesusasteraan Melayu dengan Kepujian yang turut dibantu dan dilatih oleh Presiden Persatuan Teater Malaysia, Sakrani Shamsuddin.
Pementasan juga diserikan dengan kehadiran alumni MTSR 41, barisan pensyarah, keluarga dan para pelajar UPM.