Diterbitkan pada 6 Julai 2026, 09:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila berjaya mengekalkan kejuaraan dalam Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan Peringkat Negeri Perlis yang berlangsung di SMK Dato’ Ali Ahmad pada 2 Julai lepas.

Kejayaan tersebut menyaksikan SMK Derma mempertahankan gelaran juara buat kali keempat berturut-turut, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pasukan debat terbaik di negeri ini.

SMK Derma muncul sebagai juara selepas berjaya mempertahankan hujah menerusi usul “Pembayaran Tanpa Tunai Mendatangkan Manfaat”.

Naib juara pula menjadi milik Sekolah Agama Al-Islahiyah (Menengah) yang turut mempamerkan persembahan mantap dan penuh berwibawa sepanjang pertandingan berlangsung.

Lebih membanggakan, Amsyar Tahqif Zulkefle dari SMK Derma dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Piala Menteri Pendidikan dan Pendebat Terbaik Keseluruhan hasil penguasaan fakta, gaya penghujahan yang meyakinkan serta penyampaian yang berkesan.

Amsyar Tahqif Zulkefle dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Piala Menteri Pendidikan dan Pendebat Terbaik Keseluruhan.

Sementara itu, Lim Jing Xuan pula berjaya merangkul anugerah Pendebat Terbaik Generasi MADANI atas keupayaan menampilkan hujah yang mencerminkan nilai, pemikiran kritis dan semangat Malaysia MADANI.

Lim Jing Xuan berjaya merangkul anugerah Pendebat Terbaik Generasi MADANI.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembangunan Murid), YBrs. Encik Hamidi Md Saad, diiringi oleh Pengetua SMK Dato’ Ali Ahmad, YBrs. Puan Maslisa Nadzeri.

Kejayaan SMK Derma diharapkan menjadi inspirasi kepada sekolah-sekolah lain untuk terus memperkasakan budaya perdebatan sebagai wadah membina kepemimpinan, keyakinan diri dan pemikiran intelektual dalam kalangan generasi muda.

Pertandingan tersebut menghimpunkan pasukan debat sekolah menengah dari seluruh negeri Perlis dengan matlamat memupuk budaya berfikir secara kritis, berkomunikasi secara berhemah serta melahirkan generasi muda yang berani menyuarakan pandangan secara berfakta dan beretika.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi