Diterbitkan pada 9 Julai 2026, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Muadzam Shah – Langit petang Bandar Muadzam Shah bergema dengan lantunan deklamasi dan bacaan puisi daripada pengunjung yang hadir ke program Gemacitra Pahang 1st Daerah Rompin di Dataran Bandar Muadzam Shah, 4 Julai lalu.

Program ini dianjurkan oleh Majlis Kebudayaan Negeri Pahang dengan kerjasama Kelab Deklamator Pahang (KDP), Persatuan Karyawan Muzik Pahang, Majlis Daerah Rompin dan Hit Skills Sdn. Bhd.

Pengerusi KDP, YBrs. Puan Amaruszati Noor Rahim menyatakan bahawa pihak KDP menyambut baik galakan dan sokongan pihak kerajaan negeri Pahang yang sentiasa terbuka dengan penganjuran program kesusasteraan, khususnya berkaitan dengan seni deklamasi puisi.

“KDP komited untuk menyemarakkan seni deklamasi puisi di negeri Pahang dengan pelibatan secara langsung dan tidak langsung dalam apa-apa jua acara kesusasteraan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak demi mencapai matlamat yang sama,” tambah beliau.

“Hargai dan nikmatilah puisi pada setiap hari seperti kita membaca buku-buku lain. Biar puisi sebati dalam jiwa kita sebagai insan yang cinta akan sastera,” ujarnya lagi yang turut mendeklamasikan puisi pada petang tersebut.

Pengerusi KDP, YBrs. Puan Amaruszati Noor Rahim ketika mendeklamasikan puisi di program Gemacitra Pahang 1st Daerah Rompin.

Selain penyediaan pentas secara terbuka untuk pengunjung mendeklamasikan dan membaca puisi, KDP turut menampilkan beberapa orang deklamator Pahang yang lain seperti HM Nordin, Zulaikha Adam dan Azah Jalil.

Yang menariknya, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim turut meluangkan masa untuk bersama-sama membacakan puisi pada petang tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim tidak melepaskan peluang untuk membacakan puisi.

Penganjuran program santai ini membuktikan bahawa usaha membudayakan acara berkaitan dengan deklamasi dan bacaan puisi terus diperluas ke seluruh pelosok negeri Pahang dengan membuka peluang kepada penduduk setempat untuk berpuisi secara terbuka dan tidak hanya tertumpu di bandar-bandar utama.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi