Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPuncak Perdana – Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Festival Penulisan ke-4: Bitara Kesusasteraan Negara di Ruang Eksperimental FiTA pada 3 Julai lalu.
Festival Penulisan ke-4: Bitara Kesusasteraan Negara perasmian ini telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Filem, Teater dan Animasi, YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Wan Aida Wan Yahaya.
Dalam ucapan perasmian tersebut, beliau menekankan bahawa festival ini bukan sekadar sebuah program akademik biasa, melainkan medan praktikal untuk melatih aspek perancangan, pengurusan, serta pelaksanaan program secara profesional dalam kalangan pelajar.
“Sokongan daripada pihak luar seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, industri, institusi pendidikan, dan media amat penting dalam membuka ruang jaringan, kolaborasi, dan pendedahan sebenar kepada para pelajar,” jelas beliau.
Sepanjang program berlangsung, mahasiswa dilibatkan sceara inklusif menerusi pelbagai aktiviti termasuklah sesi pembacaan skrip dan adaptasi karya sastera, pameran seni penulisan serta deklamasi puisi, sesi perkongsian ilmu bersama tokoh-tokoh industri, serta majlis anugerah sebagai pengiktirafan rasmi pencapaian bakat baharu mahasiswa.
Menurut YBrs. Profesor Madya Ts. Dr.Wan Aida Wan Yahaya, festival pada tahun ini turut mencatatkan lembaran bermakna apabila memilih untuk mengangkat kebitaraan portfolio Sasterawan Negara,YBhg. Dato’ Rahman Shaari sebagai tokoh sastera tanah air.
Inisiatif ini memberikan penghormatan kepada tokoh besar sastera pada peringkat menara gading disifatkan mampu menyuburkan kecintaan terhadap bahasa, selain menyuntik inspirasi tinggi kepada generasi muda untuk terus berkarya dengan lebih berani, berdisiplin, serta bermutu tinggi.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, Encik Azam Juhari yang mewakili Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari menegaskan bahawa penganjuran program berimpak tinggi ini bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan mahasiswa dengan khazanah intelektual serta wadah pemikiran para sasterawan negara.
“Inisiatif seumpama ini selaras dengan hasrat DBP untuk memperluas jangkauan sastera kebangsaan melalui pendekatan yang lebih menyeluruh, dinamik, dan kreatif,” ujar beliau.

Kata beliau, kehadiran dan penghayatan terhadap figura sasterawan negara di institusi pengajian tinggi (IPT) amat kritikal dalam usaha melahirkan generasi intelektual yang bukan sahaja cemerlang, malah kukuh berakar pada budaya serta jati diri bangsa.
“Karya-karya Dato’ Rahman Shaari disifatkan sarat dengan pemikiran yang tajam, estetika bahasa yang indah, serta nilai kemanusiaan mendalam yang mampu mencabar minda sekaligus menyentuh jiwa pembaca.
“Melalui platform ini, mahasiswa dibimbing untuk menyelami realiti kehidupan, sejarah, dan nilai murni yang terangkum di sebalik naskhah kreatif tersebut,” tambahnya.
Pada masa yang sama, majlis turut menyaksikan pelibatan aktif daripada para pelajar dan pensyarah menerusi slot persembahan deklamasi puisi karya SN Dato’Rahman Shaari sebagai tanda penghargaan beliau yang telah banyak menyumbang bakti dalam dunia kesusasteraan tanah air.


Turut hadir dalam festival tersebut ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik, YBrs. Dr. Erman Maharam; Koordinator Prasiswazah Penulisan Kreatif Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Puan Ainaa Atiqah Mohd Ismadi; Pengarah Pengurusan Nurul Nuha Enterprise, Puan Maszura Abdul Aziz serta Pengarah Nusa Centre, Tuan Syed Mohd Zakir Syed Othman.