Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Program Pahang Lead terus membuktikan keberkesanannya dalam usaha memperkukuh citra kepimpinan generasi muda yang berkualiti, berdaya saing dan berjati diri tinggi.
Program yang berlangsung selama empat hari tiga malam di Kompleks Yayasan Pahang ini merupakan inisiatif strategik anjuran Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dengan kerjasama erat Yayasan Pahang (YP).
Program ini diadakan untuk mencungkil potensi kepimpinan dalam kalangan anak muda Pahang, di samping membentuk sahsiah diri yang berwibawa, beridentiti teguh dan mempunyai rasa cinta yang mendalam terhadap tanah air, khususnya negeri Pahang Darul Makmur.
Menerusi pelaksanaan modul komprehensif ini, Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan sebanyak 66 orang pelajar sekolah menengah dari seluruh pelosok negeri untuk dikenal pasti sebagai pemimpin muda berbakat.
Siri pertama program telah digerakkan bagi Daerah Kuantan dengan melibatkan sebanyak 40 orang pelajar tingkatan lima yang dipilih berdasarkan kecemerlangan akademik dan kepimpinan mereka.
Para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti holistik yang merangkumi aspek fizikal, intelek dan pengukuhan jati diri kenegaraan.

Antara pengisian utama program termasuklah slot pengurusan strategik, simulasi pilihan raya kepimpinan, penulisan kertas kerja projek komuniti dan kelas pengukuhan akademik.
Aspek kecergasan fizikal turut diuji melalui aktiviti “Jejak Daerah Pahang” yang disusuli dengan sesi interaktif berimpak tinggi seperti “Projek Khas: Kome vs Komuniti” dan sesi Town Hall bersama-sama dengan pemimpin Kerajaan Negeri Pahang.

Dalam ucapan perasmian penutupan program, Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Tuan Haji Shaiful-Azizi Sukri Mohd Kassim, menegaskan peri pentingnya persediaan minda dan kemahiran insaniah bagi mendepani cabaran kepimpinan masa hadapan. Ujarnya lagi,
Menjadi pemimpin memerlukan kebijaksanaan untuk mengurus organisasi, mempunyai pemikiran yang kritis, pandai menyelesaikan masalah dan bijak membuat keputusan.
Kem Komander bagi Siri 1 2026, Nasrul Isyam Abdul Hamid pula berkata bahawa program ini dapat merealisasikan hasrat negeri untuk melahirkan barisan kepimpinan muda yang bukan sahaja bijak berwacana, malah tangkas bertindak demi kesejahteraan masyarakat.
Dengan berakhirnya siri pertama ini, Program Pahang Lead dijangka akan terus memacu momentum cemerlang dalam usaha membina modal insan berkualiti tinggi.