Diterbitkan pada 14 Julai 2026, 15:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tenom Pasukan forum dari Sekolah Menengah (SM) Kian Kok berjaya merangkul gelaran johan dalam Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Negeri Sabah 2026 yang berlangsung meriah pada 8 Julai 2026 di Dewan Besar, SM Tshung Tsin Tenom. Pertandingan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah ini disertai oleh lapan buah SM Persendirian Cina dari seluruh Sabah.

Naib johan pertandingan pula menjadi milik pasukan dari SM Tshung Tsin Tenom, manakala pasukan dari SM Tshung Tsin Sabah pula mendapat tempat ketiga.

Bagi anugerah individu, Kenny Tham Zi Cheng dari SM Tshung Tsin Tenom dinobatkan sebagai Ahli Forum Terbaik. Sementara itu, Annabell Jori dari SM Kian Kok menerima anugerah Pengerusi Terbaik.

Peserta Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Negeri Sabah 2026.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.44 Tulid, YB Jordan Jude Ellron.

Sehari sebelum pertandingan diadakan, DBP Cawangan Sabah telah menganjurkan Majlis Makan Malam Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hotel Perkasa Tenom sebagai acara penghargaan kepada peserta, guru pengiring dan para jemputan.

Para peserta pertandingan ketika Majlis Makan Malam Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hotel Perkasa Tenom.

DBP Cawangan Sabah turut merakamkan penghargaan kepada Syarikat Ramindah Sdn. Bhd. atas sumbangan penajaan percetakan kemeja-T untuk semua peserta dan guru pengiring, serta kepada pihak SazaRice Sdn. Bhd. atas sokongan yang diberikan bagi menjayakan program ini.

Yang turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengerusi Lembaga Pengelola SM Tshung Tsin Tenom, Datuk Yong Oi Kiong; Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tenom, Encik Jaini Janteng; Pengetua SM Tshung Tsin Tenom, Encik Teo Chee Jiat; serta Ketua Jabatan Pemasaran SazaRice Sdn. Bhd., Encik Rayner Kilik.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi