Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJitra – Muaz Rifqie Md Nizam dinobatkan sebagai johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Negeri Kedah Kali Kedua Tahun 2026, sekali gus dipilih untuk mewakili negeri tersebut ke Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan 2026. Sayembara ini berlangsung di Auditorium Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara (IABCU), 11 Julai lalu.
Johan pertandingan itu melahirkan rasa syukur dan terharu atas kemenangan yang diraih. Menurutnya, kejayaan tersebut merupakan hasil latihan berterusan dan pelibatannya dalam pelbagai pertandingan deklamasi puisi pada peringkat negeri sebelum ini. Ujarnya lagi,
Saya sudah beberapa kali menyertai pertandingan deklamasi puisi di Kedah dan setiap penyertaan menjadi medan pembelajaran serta persediaan untuk sayembara ini. Kemenangan ini saya dedikasikan kepada ibu bapa, guru pembimbing dan rakan-rakan yang tidak pernah jemu memberikan dorongan. Saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa nama Kedah dan mempertahankan kejuaraan pada peringkat kebangsaan.

Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh Zahra Qistina Mohamad Yusoff, manakala Ilham Luqman Hakim Nor Aznan meraih tempat ketiga. Tempat keempat hingga keenam masing-masing dimenangi oleh Nurdalili Afiqah Mohd Farihan Sidiq, Nur Syalyana Ismail dan Adila Danisya Ahmad Rashidi. Tempat ketujuh hingga kesepuluh pula, Farah Nur Auni Najihah Azizan, Muhammad Ammar Dhiyauddin Mohd. Nasir, Muhammad Adief Hakim Abdullah dan Kirthigah Santhiavoo.
Penganjuran sayembara anjuran bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Utara, Angkatan Sasterawan Nasional Negeri Kedah (ASASI), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah itu berjaya menghimpunkan bakat-bakat muda dari seluruh negeri Kedah dan menyemarakkan semangat cinta akan negara melalui penghayatan puisi kemerdekaan dalam kalangan generasi muda.
Sebanyak 36 orang peserta berusia antara 14 hingga 17 tahun daripada sekolah-sekolah menengah di seluruh negeri Kedah telah mengambil bahagian dalam saringan awal pertandingan. Daripada jumlah tersebut, hanya 10 orang peserta terbaik berjaya ke peringkat akhir setelah dinilai berdasarkan aspek penghayatan, vokal, sebutan dan interpretasi puisi.
Majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah DBP Cawangan Utara, Encik Sharrul Rizal Hashim.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen para peserta dan para guru pembimbing yang sentiasa menyokong perkembangan sastera tanah air.
Beliau berkata bahawa Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi wahana penting untuk membentuk generasi muda yang menghargai sejarah perjuangan negara, mencintai bahasa kebangsaan serta menghayati nilai patriotisme melalui seni deklamasi. Tambah beliau lagi,
Kedah telah membuktikan keupayaannya apabila berjaya merangkul kejuaraan peringkat kebangsaan buat kali pertama. Saya berharap agar para peserta yang bakal mewakili negeri Kedah akan berusaha bersungguh-sungguh demi mengekalkan kejuaraan dan sekali lagi mengharumkan nama Kedah di pentas kebangsaan.
Kejayaan Muaz membuktikan bahawa kesungguhan, disiplin dan minat yang mendalam terhadap seni deklamasi mampu melahirkan bakat muda yang petah mengungkapkan puisi serta mampu menghidupkan semangat kemerdekaan dalam jiwa generasi muda. Dengan semangat dan kesungguhan beliau, Kedah sekali lagi meletakkan harapan tinggi agar dapat terus mengharumkan nama negeri di pentas kebangsaan.
Yang turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Satu ASASI, Dr. Husairi Hussin; wakil GAPENA, Profesor Madya Abu Hassan Morad; serta wakil Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Puan Zaheera Ibrahim.