Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Kisah perjuangan dan ketabahan pelarian Syria, Doaa Al Zamel, kini dapat dihayati pembaca tempatan menerusi pelancaran edisi bahasa Melayu buku Harapan Yang Menggoncang Lautan, terjemahan kepada international bestseller (buku laris antarabangsa) A Hope More Powerful Than the Sea karya Melissa Fleming.

Pelancaran buku itu berlangsung sempena Seminar Selangor Literature and Content Expression Seminar (SLICE) 2026 di Pustaka Raja Tun Uda, Rabu lalu, hasil kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) dan Mahir Publications Sdn. Bhd..
Presiden MBBY, Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairuddin berkata, idea menterjemahkan buku tersebut tercetus selepas beliau menghadiri pelancaran edisi bahasa Mandarin di Pesta Buku Antarabangsa Beijing tahun lalu bersama Pengarah PPAS, Datin Paduka Mastura Muhammad.
Menurut beliau, kisah yang dipaparkan dalam buku itu begitu menyentuh perasaan sehingga mendorong usaha membawanya kepada pembaca berbahasa Melayu, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh Nusantara.
“Kami merasakan kisah ini perlu dibaca oleh lebih ramai masyarakat dalam bahasa kebangsaan supaya mesej kemanusiaannya dapat dikongsi dengan lebih meluas,” katanya.
Beliau berkata, edisi bahasa Melayu yang diterjemahkan oleh Profesor Dr. Md Sidin Ahmad Ishak kini berada pada peringkat akhir penyuntingan.
Sementara itu, Profesor Dr. Md Sidin berkata, tugas menterjemahkan buku berkenaan bukan sekadar memindahkan bahasa, sebaliknya membawa pengalaman, penderitaan dan harapan seorang manusia ke dalam konteks budaya pembaca tempatan.
Beliau yang juga Timbalan Presiden MBBY dan sukarelawan pendidikan pelarian berkata, kisah Doaa mengingatkan masyarakat bahawa seseorang itu ialah seorang anak, saudara dan individu yang mempunyai cita-cita sebelum bergelar pelarian.
“Cabaran terbesar saya bukan menterjemahkan perkataan, tetapi memastikan kemanusiaan yang terkandung dalam kisah ini tidak hilang apabila dipindahkan ke bahasa lain,” katanya.
Menurut beliau, masyarakat sering mengenali pelarian melalui laporan media yang memfokuskan konflik atau kontroversi, sedangkan di sebalik label tersebut terdapat manusia yang kehilangan keluarga, kediaman dan masa depan akibat peperangan.
Pada masa yang sama, Melissa Fleming yang juga Ketua Setiausaha Rendah bagi Komunikasi Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, beliau menulis buku itu ketika bertugas di Agensi Pelarian PBB (UNHCR) sewaktu konflik Syria memuncak.
Katanya, beliau mahu mengubah persepsi masyarakat yang melihat pelarian sekadar angka statistik dengan mengetengahkan kisah sebenar seorang individu.
Melissa turut berkongsi perjalanan getir Doaa yang melarikan diri dari Syria ke Mesir sebelum menaiki bot menuju Eropah bersama tunangnya, Bassem. Namun begitu, bot yang membawa kira-kira 500 pelarian itu diserang penyeludup dan karam di Laut Mediterranean, menyebabkan ratusan penumpang terkorban.
“Doaa yang tidak tahu berenang berjaya bertahan selama empat hari di laut sambil menyelamatkan dua bayi sebelum akhirnya ditemui sebuah kapal dagang dan diselamatkan,” katanya.
Melissa berkata, pengalaman Doaa membuktikan bahawa tiada siapa sepatutnya mempertaruhkan nyawa semata-mata untuk mencari keselamatan dan maruah.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya melihat pelarian sebagai manusia yang memerlukan perlindungan dan layanan bermaruah, tanpa mengira latar belakang atau negara asal.
Majlis diakhiri dengan pelancaran rasmi Harapan Yang Menggoncang Lautan yang dijangka mula dipasarkan pada Ogos ini.