Diterbitkan pada 15 Julai 2026, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Adib Haikal Mohamad Asri dinobatkan sebagai johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Ke-2 Sekolah Menengah Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi tahun 2026.

Kemenangan tersebut sekali gus melayakkan beliau untuk membawa cabaran mewakili zon berkenaan ke SDPK Peringkat Kebangsaan kelak.

Aksi Adib Haikal Mohamad Asri ketika mendaklamasikan sajak untuk SDPK Sekolah Menengah Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya baru-baru ini.

Pertandingan tahunan anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Persatuan Penulis Nasional (PENA) itu telah berlangsung di Rumah PENA pada 11 Julai lalu.

Majlis perasmian bagi acara yang menghimpunkan sebanyak 28 orang peserta itu telah disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron, Tokoh Perbukuan dan penyiaran Malaysia.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan rasional penganjuran pertandingan pada peringkat sekolah itu dengan menyatakan, “Kita mengadakan pertandingan ini kerana merasakan mahu melentur buluh biarlah dari rebungnya.”

“Kalau selama ini kita mengadakan sayembara tanpa had usia, tetapi kali ini kita rasakan bahawa kita kena pupuk semangat mendeklamasi puisi kemerdekaan dalam kalangan pelajar sekolah juga sebab kita mahu anak-anak kita merasai denyut nadi semangat kemerdekaan,” jelas beliau.

Barisan deklamator yang menjuarai Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah Menengah 2026

Beliau turut menyifatkan sayembara tersebut sebagai platform penting bagi melatih pelapis deklamator yang mampu menguasai nada, intonasi dan penekanan suara yang betul, di samping membina daya ingatan yang tajam.

Menyentuh mengenai cabaran kemerdekaan masa kini, beliau memuji inisiatif proaktif GAPENA yang menampilkan naskhah antologi baharu bertajuk Atma Berdaulat untuk dijadikan teks rujukan deklamasi para peserta.

“Kita inginkan semangat kemerdekaan ini bukan sekadar dilaungkan dengan kata merdeka sahaja, tetapi cabaran paling besar untuk menyemarakkan kemerdekaan adalah cara kita mengisi kemerdekaan,” tegas beliau di hadapan khalayak yang hadir.

Sementara itu, naib johan bagi sayembara tersebut telah disandang oleh Adriana Nafishah Adi Rizalman dan tempat ketiga pula berjaya dirangkul oleh Nordiyana Suffiyah Rosli.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Presiden PENA, YBhg. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, wakil keluarga Allahyarham Sasterawan Negara Usman Awang, iaitu Puan Haslina Usman serta Pengarah DBP Wilayah Tengah, YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry.

Kredit Foto: Farid Johari
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi