Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta badan gabungan GAPENA telah menganjurkan program Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah-sekolah Menengah (SDPKSM) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2, 2026 yang berlangsung di Wisma DBP, pagi tadi.
Penganjuran program ini memainkan peranan penting sebagai wadah untuk membina jati diri, menyemarakkan nilai patriotisme serta memperkukuh kecintaan terhadap bahasa dan sastera dalam kalangan generasi muda, sekali gus mencungkil, mengasah dan memupuk bakat deklamator muda.
Program SDPKSM ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan bahawa kemerdekaan merupakan anugerah yang amat berharga dan tidak harus dipandang ringan oleh generasi masa kini, sebaliknya perlu difahami dan dihayati secara mendalam.
Menurut beliau, sejarah panjang penjajahan negara yang bermula dengan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511 sehingga negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, wajar dijadikan pengajaran penting oleh generasi muda.
“Dalam tempoh ratusan tahun itu, pelbagai bentuk pengorbanan telah dilakukan oleh pejuang tanah air. Ada yang terkorban, diseksa dan terpaksa melarikan diri demi memastikan negara ini bebas daripada penjajahan,” ujar beliau.
Beliau menegaskan bahawa generasi pada hari ini perlu disedarkan tentang nilai sebenar kemerdekaan agar mereka tidak alpa dan terus berjuang mempertahankan kedaulatan negara.
Lantaran itu, beliau menghargai usaha GAPENA dan DBP menganjurkan sayembara ini yang dilihat sebagai satu pendekatan berkesan dalam pembinaan negara bangsa melalui kesusasteraan.
“Program seperti ini bukan sekadar pertandingan, tetapi merupakan satu ikhtiar besar dalam membentuk jiwa dan pemikiran generasi muda agar lebih menghargai bahasa, budaya dan negara,” ujarnya.
Program SDPKSM ini menampilkan sebanyak 15 orang peserta yang mewakili negeri masing-masing dari seluruh Malaysia, serta memperlihatkan kepelbagaian latar belakang, bakat dan gaya deklamasi puisi dalam kalangan generasi muda.

Untuk rekod, saudara Muhammad Aidil Firdaus Mohd Khairul Jasri dari Pahang dinobatkan sebagai johan Program SDPKSM Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2, 2026 menerusi persembahan puisi bertajuk Tanah dan Langit Tanah Air karya Razali Mohd Yussof. Beliau membawa pulang wang tunai sebanyak RM1, 000, Piala Pusingan Presiden GAPENA Malaysia, hadiah iringan serta sijil penghargaan.

Naib johan pula disandang oleh saudara Muhamad Said Sulaiman Sumardi dari Sabah melalui persembahan puisi Dermaga, Menara dan Maruah Kita karya Meriam Awang Lah, sekali gus melayakkan beliau menerima wang tunai sebanyak RM700 berserta hadiah iringan dan sijil penghargaan.
Seterusnya, tempat ketiga diraih oleh Ainul Husna Narizam dari Perlis dengan persembahan puisi bertajuk Persada Tempat Kita Memeta Hidup karya Zainuddin Abdul, dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM500 berserta hadiah iringan dan sijil penghargaan.
Tempat keempat pula dimenangi oleh Muaz Rifqie Md Nizam dari Kedah menerusi persembahan puisi Di Tengah Persada Tanah Berdaulat karya Jasni Matlani dan menerima wang tunai sebanyak RM400, trofi serta sijil penghargaan.
Sementara itu, tempat kelima disandang oleh Aliff Haiqal Muhamad Hisham melalui persembahan puisi Akad Bangsa di Sarwajagat Nusa karya Aflieza Arshad, sekali gus melayakkan beliau membawa pulang wang tunai sebanyak RM300 berserta trofi dan sijil penghargaan.
Di samping itu, peserta lain turut menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai sebanyak RM150, trofi dan sijil penghargaan sebagai tanda penghargaan atas penyertaan, serta komitmen mereka dalam sayembara ini.
Anugerah Busana Terbaik turut disampaikan sebagai pengiktirafan terhadap penampilan peserta. Bagi kategori lelaki, anugerah ini dimenangi oleh Muaz Rifqie Md Nizam dari Kedah, manakala bagi kategori perempuan dimenangi oleh Nur Aisyah Darwisya Mohd Zawawi dari Terengganu.

Program ini telah diadili oleh barisan hakim yang terdiri daripada tokoh penulis puisi dan deklamator berpengalaman tanah air, yang diketuai oleh YBrs. Dr. Shamsudin Othman, serta dianggotai oleh Encik Saifullizan Yahaya, Encik Ahmad ‘Asri Khalbi, Encik Maroof Seman dan Puan Amaruszati Noor Rahim.
Pada masa yang sama, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed menyatakan bahawa penghayatan terhadap erti kemerdekaan tidak seharusnya terbatas pada sambutan luaran semata-mata.
“Bahasa dan sastera merupakan wahana penting untuk menyemai nilai patriotisme, memperkaya pemikiran, serta menghubungkan generasi masa kini dengan nilai dan aspirasi kemerdekaan,” ujar beliau.
Menurutnya, DBP sentiasa komited melaksanakan pelbagai program bahasa dan sastera seperti bengkel penulisan, program deklamasi puisi, serta aktiviti kesusasteraan lain bagi mencungkil potensi dan mengasah bakat generasi muda.
Yang turut hadir ialah Presiden GAPENA, YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Dauk Wira Haji Borhan; Penolong Setiausaha GAPENA, Encik Ahmad Zauawi Che Cob; dan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP, Puan Roziah Md Yunus.