Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang bakal menjadi medan pertemuan penggiat seni teater dari Pahang, Terengganu dan Kelantan menerusi Festival Teater Zon Timur 2026 yang akan berlangsung selama sembilan hari, bermula 3 hingga 11 Ogos 2026 di Auditorium Sudirman, Kompleks JKKN Pahang, Kuantan.
Festival yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JKKN itu merupakan sebahagian daripada format baharu Festival Teater Malaysia 2026 yang membahagikan pertandingan mengikut zon sebelum kumpulan terbaik mara ke pertandingan peringkat kebangsaan.
Penganjuran festival ini bertujuan untuk memartabatkan seni teater sebagai warisan budaya negara, di samping memperkenalkan teater tradisional dan moden kepada masyarakat.
Festival ini juga menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan pelakon, pengarah dan penulis skrip, selain memberikan peluang kepada generasi muda mendalami dunia seni persembahan melalui pelibatan secara langsung dalam produksi teater.
Pengarah JKKN Pahang, YBrs. Encik Mohd Rizal Ismail, berkata bahawa Festival Teater Zon Timur 2026 diharapkan menjadi sebuah “kenduri teater” yang menghimpunkan seluruh komuniti seni dan pencinta teater dari seluruh Pantai Timur.
Menurut beliau, sokongan masyarakat amat penting untuk menyemarakkan perkembangan seni teater tempatan dan memberikan penghargaan kepada usaha para penggiat seni yang terus menghasilkan karya berkualiti. Ujar beliau lagi,
Kami menjemput seluruh masyarakat di Kuantan dan di negeri berhampiran untuk hadir memeriahkan Festival Teater Zon Timur 2026. Inilah peluang terbaik untuk menyaksikan pelbagai karya teater yang sarat dengan nilai budaya, pemikiran dan kreativiti pengkarya tempatan. Kehadiran penonton bukan sahaja memberikan sokongan kepada peserta, malah menjadi pemangkin kepada kelangsungan dan perkembangan seni teater negara.
Dengan mengangkat tema “Roh Alam dan Falsafah Hidup”, festival tersebut menghimpunkan lapan buah kumpulan teater yang mewakili institusi pengajian tinggi, sekolah, kelab teater dan pertubuhan seni dari tiga negeri Pantai Timur.
Setiap kumpulan diwajibkan mempersembahkan naskhah yang menepati tema tersebut sebagai usaha mengangkat karya yang menyentuh hubungan manusia dengan alam, warisan budaya, nilai kemanusiaan dan falsafah kehidupan.
Pemilihan tema tersebut mencerminkan hasrat JKKN untuk mengetengahkan hubungan manusia dengan alam sebagai sumber kebijaksanaan, keseimbangan dan keharmonian hidup.
Melalui gabungan kedua-dua elemen ini, karya yang dipersembahkan diharapkan mampu mengajak penonton menghayati hubungan manusia dengan Pencipta, alam sekitar dan sesama insan, di samping menyampaikan mesej yang relevan dengan kehidupan masyarakat kini.
Sepanjang festival berlangsung, semua pementasan akan diadili oleh tiga orang juri profesional yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengarahan, lakonan, penulisan skrip dan seni persembahan.
Festival akan menampilkan penyertaan Kelab Teater Kota Afwah, Politeknik Kuala Terengganu; Persatuan Teater Mahardika Santika, Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu; Kelab Teater Asuma, IPG Kampus Kota Bharu; ComePonk Production, UiTM Kelantan; The QUM Actors Terengganu; Kelab Teater Rajuk Pahang; Senandika UMPSA dan Kelab Estetika Budaya UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka.
Orang ramai dijemput hadir menyaksikan semua pementasan secara percuma di Auditorium Sudirman, Kompleks JKKN Pahang sepanjang festival berlangsung. Maklumat dan jadual pementasan boleh didapati melalui poster rasmi di bawah ini.
