Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Novel yang berunsurkan fiksyen sains, Noari 8 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), merupakan sebuah karya nukilan Ilyani Alias, yang mempunyai nilai sentimen yang cukup tinggi terkait pengalaman peribadi yang dilalui olehnya.
Novel Noari 8 dilihat sebagai sebuah novel remaja yang mempunyai pengisian kisah-kisah menarik yang berupaya menjadi santapan minda pembaca di luar sana. Perkara ini turut dijelaskan sendiri oleh Ilyani Alis dalam siri temu bual Bicara Karyawan anjuran DBP baru-baru ini.
Ilyani Alias merupakan seorang penulis yang mula berkecimpung dalam dunia penulisan seawal berumur 15 tahun. Bagi beliau penulisan ataupun penghasilan karya merupakan satu proses terapi diri. Dunia penulisan beliau dimatangkan oleh rakan-rakan penulis yang banyak membantu dari segi proses penulisan.
Penghasilan novel Noari 8 tercetus daripada pengalaman beliau sewaktu melahirkan anaknya yang ketiga. Menurut Ilyani, dunia seakan terhenti sewaktu melahirkan anaknya yang down sindrom dan peristiwa itu yang membuatkan penulis berada pada satu tahap beliau ingin menghasilkan sebuah karya.
“Saya perlukan kekuatan untuk saya katakan dia akan berjaya. Saya hasilkan satu watak yang mana saya jadikan dia adalah saintis berperwatakan down sindrom”, ujar beliau lagi.
Bagi beliau, seseorang penulis akan menulis sesebuah karya yang terasa dekat dengan diri mereka.
“Ini adalah buku yang memberikan saya semangat. Buku Noari 8 lahir daripada kekuatan yang saya ambil sejak saya melahirkan anak saya,” tambah beliau lagi.
Elemen-elemen Sains yang diterapkan dalam novel ini lebih memfokuskan perihal nuklear, padi, dan sejarah seperti peristiwa pengeboman nuklear yang berlaku di luar negara. Bagi penulis kesemua ini adalah inspirasi dan menjadi nilai tambah yang digarap dalam karya tersebut.
Penulis novel Noari 8 percaya bahawa kekuatan dan keistimewaan yang dimiliki oleh karya tersebut dapat dinikmati oleh pembaca sebermula halaman pertama hingga halaman yang terakhir.
“Agak rumit tapi boleh di hadam oleh semua pembaca, Penggunaan diksi yang digunakan dalam naskhah ini sesuai untuk semua golongan pembaca,” tegas beliau lagi.
Pada akhir temu bual beliau sempat menyatakan harapan agar masyarakat di luar sana dapat memiliki novel Noari 8 dan membacanya kerana banyak perkara-perkara istimewa yang bakal menanti mereka.