Diterbitkan pada 22 Mei 2026, 13:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong Beaufort dan Sekolah Menengah (SM) Sains Labuan sekali lagi muncul sebagai johan Pertandingan Forum Remaja MADANI Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan baru-baru ini, di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.

Selain muncul sebagai johan keseluruhan menerusi forum bertajuk “Kod Versus Kata: Peranan Bahasa Melayu pada Era Algoritma”, SMK Gadong Beaufort turut memenangi kategori Montaj Terbaik dan Pengerusi Terbaik yang disandang oleh Norhafizah Musnin.

Sekolah tersebut membawa pulang Piala Pusingan Kerajaan Negeri Sabah, wang tunai, sijil penghargaan dan beras tajaan daripada Syarikat SazaRice Sdn. Bhd.

Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing dimenangi oleh SMK Bum Bum Semporna dan SMKA Tun Ahmadshah. Nurul Atira Ellam dari SMK Bum Bum Semporna turut dinobatkan sebagai Ahli Forum Terbaik.

Bagi peringkat Wilayah Persekutuan Labuan pula, SM Sains Labuan menjadi johan keseluruhan dengan tajuk forum “Penghayatan Sejarah Anak Muda: Menjejak Akar yang Kian Dilupa”.

Sekolah tersebut turut memenangi kategori Pengerusi Terbaik yang disandang oleh Hamzey Mikael Hasmi. Ahli Forum Terbaik pula menjadi milik Zulaikha Faridzuan Teo, manakala Montaj Terbaik dimenangi oleh SMK Mutiara.

Para pemenang Pertandingan Forum Remaja MADANI Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik wakil kepada Yang Berhormat Datuk James Ratib, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YBrs. Encik Justinus Jalang.

Yang turut hadir bersama-sama ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid wakil kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, YBrs. Encik Muddin Beting; dan Pengarah Syarikat SazaRice Sdn. Bhd., YBrs. Encik Akip Ismaila sebagai rakan sinergi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi