Diterbitkan pada 26 Julai 2026, 02:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – “Penggiat muda sastera harus ikhlas, cekal dan tekal bagi melaksanakan hal-hal yang diusahakan yang berkaitan dengan kesusasteraan,” ujar Hafiz Latiff yang telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pejuang Muda Sastera pada majlis Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-9 (HSDR-9) yang berlangsung Galasa Caldwell, Ipoh semalam.

Anugerah Pejuang Muda Sastera ini merupakan satu daripada empat anugerah utama HSDR-9 yang lainnya, iaitu Anugerah Sasterawan Negeri Perak, Anugerah Karyawan Sepanjang Hayat Negeri Perak dan Ilmuwan Negeri Perak.

Penganugerahan sebagai Pejuang Muda Sastera membolehkan Hafiz Latiff membawa pulang hadiah wang tunai RM10 ribu dan watikah penghormatan daripada Kerajaan Negeri Perak.

Hafiz Latiff ketika menerima Anugerah Pejuang Muda Sastera daripada Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad.

Anugerah Pejuang Muda Sastera merupakan pengiktirafan kepada penulis muda yang berusia 40 tahun ke bawah (usia ketika pencalonan) yang menunjukkan potensi dalam kegiatan sastera dan penghasilan karya sastera. Penilaian diberikan terhadap sumbangan dalam gerakan kesusasteraan melalui persatuan, pertubuhan, organisasi sastera dan sumbangan lain yang berkaitan dengan gerakan pengembangan sastera secara mandiri.

Hafiz Latiff (anak kelahiran Changkat Melintang, Bota) atau lebih dikenali sebagai Abang Pis dalam kalangan penulis muda merupakan aktivis sastera yang terlibat dalam pelbagai perkara berkaitan kesusasteraan bermula daripada penulis, penerbit, penggiat industri buku hinggalah kepada penghubung aktiviti perbukuan antara dalam negara dengan luar negara.

Menurut panel penilai HSDR-9, beliau bukan sekadar seorang pengkarya, tetapi juga merupakan seorang pembina ekosistem yang berperanan menghubungkan idea, karya dan komuniti.

Kekuatan utama dan kelebihan beliau dalam menghubungkan pelbagai peranan dalam rantaian industri termasuklah aspek penciptaan kandungan, penerbitan, pemasaran dan pengurusan intelek melayakkan beliau menerima pengiktirafan tersebut.

Melalui penubuhan Legasi Oakheart, Kuras Buku dan Rimau Rights Sdn. Bhd., Hafiz Latiff memainkan peranan yang signifikan dalam memperkasakan penulis tempatan, mengembangkan capaian karya serta membuka peluang kepada karya Malaysia untuk menembusi pasaran global.

Pada peringkat antarabangsa pula, beliau telah diberikan kepercayaan mewakili Malaysia menerusi pelbagai program termasuklah Istanbul Fellowship Publishing Program, Turkish Literature Abroad Meetings, Indonesia Partnership Program, ASEAN Rights Fair, Sharjah Publishers Conference, Indonesia Rights Fair, G. Con. Action Story IP, Jakarta Content Week, Singapore Writers Festival dan Frankfurter Buchmesse. Segala penglibatan ini menunjukkan komitmen dan kesungguhan beliau untuk memperluaskan jaringan serta membawa perspektif global ke dalam pembangunan industri buku tempatan.

Ketika ditanya wartawan JendelaDBP, beliau mendedikasi anugerah yang diterima tersebut kepada bonda tercinta, Aisah Ideris, almarhum bapanya, Abdul Latiff Radizuan, isteri, Sayidah Mu’izzah dan rakan industri perbukuan di Malaysia dan luar negara yang sentiasa memberikan kepercayaan dan sokongan.

Berkaitan dengan projek terkini, beliau menyatakan bahawa beliau sedang menggerakkan program Kelah Buku di peringkat kebangsaan dan akan dijalankan secara bulanan di pelbagai peringkat dan lokasi dengan kerjasama pihak serta agensi kerajaan.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi