Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Naib juara pencarian Dewi Remaja 2019, Adriana Ghafar, kembali dalam dunia seni tanah air dengan kehadiran kumpulan puisi sulungnya, bertajuk Everything In Between yang dijadualkan bakal dilancarkan pada 15 Jun 2024.
Kemunculan Adriana dalam dunia sastera tempatan merupakan manifestasi visinya untuk mendemokrasikan dan menjadikan puisi sebagai karya yang bersifat lebih inklusif serta dekat dengan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia, latar belakang dan tahap pendidikan.
“Sebelum ini, puisi lazimnya dianggap sebagai karya yang sukar difahami, bersifat tradisional dan khusus untuk golongan elit intelektual. Persepsi ini menjauhkan golongan pemuisi muda yang baharu dan ingin berkongsi karya mereka secara terbuka. Diinspirasikan oleh pemuisi kontemporari, saya berhasrat untuk mempopularkan puisi dan membebaskannya daripada ruang bilik darjah dan golongan elit,” jelas Adriana.
Menurut kenyataan media oleh HBZ International, karya sulung personaliti Malaysia ini sebagai inspirasi kepada pembaca dalam mengekspresikan jiwa dan suara mereka melalui penerapan elemen moden seperti sentuhan unsur interaktif, animasi buku selak (flipbook animation) dan realiti terimbuh (augmented reality) bagi menyuntik nafas baharu kepada bentuk karya malar segar yang sekali gus mewujudkan pengalaman membaca puisi yang menarik.
Everything In Between merupakan sebuah gabungan puisi bahasa Melayu dan Inggeris, dengan menyelitkan tema sejagat antaranya termasuklah, cinta, keluarga, penolakan, dan kecekalan.
Karya ini dilihat mengangkat mesej khusus terutamanya untuk golongan wanita dan anak muda yang mencari ketenangan jiwa, inspirasi, dan kekuatan dalam mendepani cabaran hidup.
Bakat dinamik Adriana Ghafar dalam dunia hiburan Malaysia mula mencuri perhatian ramai menerusi program pencarian Dewi Remaja, dengan memikul pelbagai peranan sebagai pengacara, model, pelakon dan pembaca berita.
Istimewa bersempena dengan pelancaran ini, Everything In Between akan ditawarkan dengan tiga pilihan kulit buku edisi terhad, yang ditandatangani Adriana. Koleksi puisi sulungnya ini akan dijual pada harga RM48 dan pra-tempahan boleh dibuat menerusi laman web rasmi adthebuku.com tidak lama lagi.