Diterbitkan pada 19 Jun 2026, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Putrajaya (PEWIRA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Bengkel Penghayatan Deklamasi Sajak: “Mengangkat Layar Juang Gaya Deklamator” di Pusat Kejiranan Presint 16 pada 13 Jun lepas.

Bengkel yang berlangsung dari pukul 9:00 pagi hingga 5:00 petang itu dipenuhi dengan tiga sesi bimbingan, iaitu Asas Deklamasi Sajak, Teknik Vokal dan Penghayatan serta Praktikal Deklamasi Sajak.

Dihadiri oleh 21 orang peserta, bengkel tersebut dikendalikan oleh Encik Zaifulnizam Wagiran, hakim tetap DBP, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia dan MAKUM untuk sayembara deklamasi sajak.

Dalam kalangan penjawat awam, kakitangan sektor swasta dan pelajar sekolah menengah dari Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, serta sejauh Perlis sebagai peserta, terdapat mereka yang baharu berjinak-jinak dalam bidang deklamasi, serta pernah menyertai dan memenangi pertandingan pada pelbagai peringkat.

Encik Zaifulnizam Wagiran ketika menyampaikan bimbingan deklamasi sajak.

Mereka yang pernah bergelar juara pertandingan deklamasi turut menyertai bengkel ini kerana tertarik dengan kepakaran penceramah, selain keinginan untuk memperkukuhkan teknik persembahan dan menambah ilmu dalam bidang tersebut.

Encik Zaifulnizam mencurahkan ilmu dan pengalaman beliau merangkumi aspek penting pendeklamasi sajak termasuklah teknik vokal, sebutan yang jelas, kawalan intonasi, penggunaan bahasa tubuh, penghayatan teks dan penyampaian mesej sajak secara berkesan.

Selain mengangkat seni pendeklamasian sajak, bengkel ini juga merupakan susulan daripada kunjungan hormat PEWIRA ke DBP pada 2 Mac 2026, yang membincangkan usaha kerjasama strategik bagi memperkasakan program bahasa dan sastera pada peringkat komuniti.

Penganjurannya menjadi antara inisiatif awal hasil kerjasama tersebut dalam memperluaskan penghayatan bahasa dan sastera kepada masyarakat.

Menurut Puan Mar Umairah Yusoff, Pengarah Projek merangkap Bendahari PEWIRA, program berkenaan bertujuan menyediakan ruang pembelajaran yang berkualiti kepada masyarakat yang meminati seni deklamasi sajak dan kesusasteraan. Terangnya,

PEWIRA sentiasa berusaha menyediakan platform yang boleh mengasah bakat, dan meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap karya sastera.

Encik Subroto Haji Katimin, Pengerusi PEWIRA, pula menyifatkan kerjasama antara PEWIRA dengan DBP merupakan langkah penting bagi memperkasakan ekosistem bahasa dan sastera negara. Katanya,

Program sebegini membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali sastera secara lebih dekat dan bermakna. Kami berharap kerjasama strategik dengan DBP dapat diteruskan melalui pelbagai program yang mampu menyuburkan budaya ilmu, bahasa dan sastera dalam komuniti.

Turut hadir ialah Encik Mohazam Rezali, Timbalan Pengerusi PEWIRA, Liz Jamal (Setiausaha PEWIRA), Al-Ameen MK (Penolong Setiausaha PEWIRA) dan Jamie Jamielah Aziz (Ahli Jawatankuasa PEWIRA).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi