Diterbitkan pada 11 Jun 2026, 09:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – Seminar Sastera Kanak-Kanak dan Remaja (SSKKR) Ke-15 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Sastera Kanak-kanak dan Remaja (BPSKR) dengan kerjasama Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), melabuhkan tirainya dengan merumuskan pelbagai isu, cabaran dan hala tuju yang perlu diberi perhatian dalam usaha memperkasa sastera kanak-kanak dan remaja di negara ini.

Seminar yang bertemakan “Memperkasa Sastera Kanak-kanak dan Remaja dalam Era Global” itu menghimpunkan sarjana, pengkaji, penulis dan pengamal sastera dari universiti-universiti tempatan dan Universitas Negeri Padang bagi membincangkan perkembangan semasa serta masa depan bidang sastera kanak-kanak dan remaja.

Dalam ucapan penangguhan seminar, Pengerusi Seminar, Profesor Madya Datin Nik Rafidah Nik Muhammad Affendi, merakamkan penghargaan kepada DBP yang terus menyokong penganjuran seminar tersebut sejak tahun 2009.

Menurut beliau, pelbagai dapatan penting telah diperoleh sepanjang seminar yang berlangsung dari pagi hingga petang, termasuk beberapa persoalan utama yang perlu direnungi bersama oleh semua pihak yang terlibat dalam bidang berkenaan.

Antara isu yang diketengahkan termasuklah polemik berkaitan konsep, usia sasaran, bentuk dan falsafah sastera kanak-kanak dan remaja, selain aspek kandungan teks, tahap pemikiran, kualiti karya, nilai pengajaran serta cabaran yang dibawa oleh media baharu.

Beliau turut membangkitkan persoalan tentang kekeliruan yang masih wujud antara buku kanak-kanak dan buku cerita kanak-kanak, yang sering dianggap sama walaupun kedua-duanya mempunyai fungsi dan ciri yang berbeza.

“Buku kanak-kanak tidak semestinya karya sastera. Perbezaan ini perlu difahami dengan jelas agar pembangunan sastera kanak-kanak dapat digerakkan secara lebih tepat dan berkesan,” katanya.

Selain itu, seminar turut membincangkan persoalan sama ada sastera remaja perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi digital, sejauh mana sastera kanak-kanak dan remaja mampu menjadi pemangkin kepada perkembangan sastera dewasa, serta tahap kesediaan genre tersebut untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Menurut beliau, perbezaan pandangan yang dikemukakan sepanjang seminar membuktikan bahawa bidang sastera kanak-kanak dan remaja merupakan suatu disiplin yang dinamik dan sentiasa berkembang, sekali gus memerlukan penelitian serta perbincangan yang berterusan.

“Melalui ucap utama, forum dan sesi pembentangan, kita memperoleh pelbagai maklumat, idea serta perspektif baharu yang perlu diberikan perhatian dalam usaha memartabatkan sastera kanak-kanak dan remaja pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berharap ilmu, pengalaman serta jaringan kerjasama yang terjalin sepanjang seminar itu akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelidikan, penerbitan, program dan penghasilan karya kreatif yang mampu mengangkat martabat sastera kanak-kanak dan remaja di peringkat nasional dan antarabangsa.

Pada akhir majlis, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja Ke-15 sebelum secara rasmi menangguhkan seminar tersebut.

Majlis diteruskan dengan sesi penyampaian saguhati kepada para peserta dan pembentang sebagai penghargaan atas sumbangan mereka dalam menjayakan seminar yang menjadi wadah penting perbincangan ilmu berkaitan sastera kanak-kanak dan remaja di Malaysia.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi