Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang – Kajian terhadap sastera lisan berbentuk folklor dan pendidikan informal dalam keluarga perlu diberikan perhatian yang lebih besar kerana kedua-duanya memainkan peranan penting dalam pembentukan nilai, sahsiah dan tingkah laku anak-anak sejak peringkat awal kehidupan.
Pandangan tersebut dikemukakan oleh Dr. Ridha Hasnul Ulya ketika membentangkan sebahagian daripada kertas kerja penyelidikan bertajuk “Ekoliterasi dalam Sastra Anak di Indonesia” pada Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja (SSKKR) Ke-15 yang berlangsung di Auditorium Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.
Beliau menjelaskan bahawa sastera perlu difahami dalam konteks yang lebih luas daripada hanya karya bertulis kerana sastera juga termasuk amalan tradisi lisan yang diwariskan secara turun-temurun dalam sesebuah keluarga dan masyarakat.
Menurut beliau, pelbagai ungkapan larangan, nasihat dan kepercayaan yang sering disampaikan oleh ibu bapa kepada anak-anak sejak kecil sebenarnya mengandungi unsur pendidikan yang bertujuan membentuk disiplin dan akhlak.
“Ungkapan tradisional Minangkbau seperti larangan duduk di atas bantal (indak buliah duduak di ateh banta, beko bisua) atau membuka payung di dalam rumah (indak buliah mambuka payuang di dalam rumah, beko ditembak patuih) selalu dianggap sebagai tahyul, namun di sebalik ungkapan tersebut terdapat nilai pendidikan yang ingin diterapkan oleh orang tua kepada anak-anak,” katanya.
Beliau merujuk kepada pandangan sarjana folklor seperti Alan Dundes, William Bascom dan Jan Harold Brunvand yang mengakui bahawa salah satu fungsi utama folklor adalah sebagai alat pendidikan masyarakat.
Dalam pembentangannya, beliau turut mengemukakan konsep pendidikan pranatal yang menurutnya telah lama diamalkan dalam masyarakat tradisional melalui pelbagai petua dan nasihat kepada wanita hamil.
Katanya, banyak amalan dan larangan tradisional yang diwariskan oleh generasi terdahulu mempunyai tujuan untuk menjaga kesejahteraan ibu dan anak, selain mengurangkan tekanan emosi sepanjang tempoh kehamilan.
Beliau berpendapat bahawa nilai-nilai yang diwariskan oleh nenek moyang perlu diteliti semula kerana sebahagiannya mempunyai asas pengalaman hidup, kepercayaan agama dan pemerhatian sosial yang telah teruji oleh masa.
Dalam masa yang sama, beliau menggesa para akademik dan penyelidik supaya memberi perhatian yang lebih seimbang antara pendidikan formal dengan pendidikan informal yang berlaku dalam institusi keluarga dan masyarakat.
“Sastera perlu kembali kepada landasan ontologinya sebagai alat mendidik. Penyelidikan akademik hendaklah membantu pengkarya menghasilkan karya yang bukan sahaja menarik, tetapi juga membawa nilai pendidikan yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa sastera yang berkesan ialah sastera yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada pembaca, sekali gus menjadi medium pendidikan yang dekat dengan kehidupan kanak-kanak.
Menurut beliau, kerjasama antara penyelidik, pendidik dan pengkarya amat penting bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada karya sastera yang relevan, bermakna dan mampu menyumbang kepada pembangunan generasi masa hadapan.