Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan berkongsi kisah pengalamannya dalam dunia penulisan bersempena dengan Festival PeTA di Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Beliau menekankan bahawa laluan menjadi penulis yang berjaya memerlukan disiplin dan pengorbanan yang tinggi, sebagaimana yang pernah dialaminya sendiri.
Dalam ucapan alu-aluannya di majlis Baca Peta, Anwar mendedahkan bahawa minat menulisnya bermula sejak di bangku sekolah rendah melalui bacaan cerpen dalam akhbar Utusan Melayu yang dilanggan oleh bapanya.
Beliau mula menghantar karya seawal tingkatan satu dan dua, namun sering ditolak oleh editor kerana karya tersebut bertulisan tangan. Kongsinya,
Editor Utusan Melayu pernah memberikan nota supaya karya ditaip, bukan ditulis tangan. Disebabkan tiada mesin taip di rumah, saya terpaksa menjala dan menjual ikan seperti ikan keli, haruan dan sepat di parit kawasan sawah Sungai Besar untuk mengumpul wang.
Usaha gigih itu membolehkannya membeli sebuah mesin taip terpakai, dan akhirnya karya beliau mula diterbitkan semasa di tingkatan tiga dengan bayaran RM15.
Beliau turut membandingkan pengalamannya belajar menulis secara sendiri dengan peluang yang ada di ASWARA.
Menurut beliau, pelajar kini sangat bertuah kerana mendapat bimbingan secara ilmiah dan sistematik daripada para pensyarah untuk menghasilkan novel, cerpen, skrip drama mahupun lakon layar.
Beliau memberikan pujian tinggi kepada kualiti karya pelajar tahun akhir, khususnya karya novel bertajuk Nulus dan kumpulan cerpen Sepuluh.
“Karya-karya ini menunjukkan anda mempunyai bakat yang besar. Malah, saya telah meminta salinan cerpen bertajuk ‘Retak’ untuk dipertimbangkan bagi siaran dalam majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),” tambah beliau lagi sambil menggalakkan pelajar mencari penerbit dan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Sesi Bicara Karya: Perkongsian Penulis Muda Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan sesi “Bicara Karya” yang menampilkan dua penulis muda ASWARA yang berjaya menerbitkan karya di pasaran, iaitu Hizwin Faziha dan Ian Arasah Shahmi.
Hizwin, yang telah menerbitkan tujuh buah novel sepanjang tiga tahun pengajiannya di ASWARA, berkongsi bahawa beliau sering menyelitkan elemen kebudayaan seperti Mulong Kedah dalam karyanya untuk mendidik pembaca.
Manakala Ian Arasah pula berkongsi cabarannya menulis karya berlatarbelakangkan sejarah kurun ke-14 dan pengaruh media sosial seperti Tiktok serta muzik menjadi sumber inspirasi idea penulisannya.
Program Baca Peta merupakan platform apresiasi bagi karya penilaian tahun akhir pelajar diploma.
Pelbagai persembahan menarik telah dipentaskan, antaranya persembahan fragmen drama pentas Nulus oleh Mira Diana, bacaan puisi “Kurung” oleh Faziha, serta monolog dan drama daripada naskah seperti Los Lara, Sulaman Terakhir dan Penjajahan Harapan.
Mira Diana melalui karyanya Nulus telah dinobatkan sebagai Johan persembahan baca peta terbaik, manakala Ian Arasah memenangi kategori poster terbaik melalui karya Gemilang Semalam.